PDRM - Pengaruh rakan, kerelaan diri punca terjebak rempit

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Pengaruh rakan sebaya dan kerelaan diri sendiri merupakan penyebab utama seseorang individu itu terjebak dengan aktiviti mat rempit.


Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir berkata, ia merupakan hasil dapatan kajian yang dilakukan pihaknya selama tiga tahun bagi mengetahui faktor seseorang itu terbabit lumba haram.

 

Menurut beliau menerusi kajian itu 300 mat rempit tegar berusia 16 hingga 27 tahun di lima kawasan sekitar bandar raya ini, Seri Alam, Kulai, Skudai dan Iskandar Puteri ditemu bual dan didekati.

 

"Selama ini masing-masing menunding jari, mencari kesalahan (punca masalah mat rempit) ada yang menyalahkan kerajaan, keluarga dan masyarakat.

 

"Hasil daripada kajian membabitkan koresponden mat rempit tegar yang ditemu bual secara personal. Ia bukanlah salah kerajaan, penguatkuasa atau keluarga kerana (hasil kajian yang dilakukan) mendapati ia adalah salah diri sendiri dan paling penting penemuan saya ialah 90 peratus adalah pengaruh rakan sebaya," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku "Rempit Barah Dalam Masyarakat - Salah Siapa?" di sini hari ini.

 

Mohd Roslan berkata, masalah mat rempit boleh ditangani sekiranya pihak kerajaan menerusi badan-badan tertentu berterusan mengadakan program seperti kempen kesedaran.

 

"Antara penyelesaian kita dapat buat mungkin pihak berkuasa boleh mengadakan program untuk pemuda melalui kempen kesedaran… ibu bapa juga perlu main peranan untuk memberi nasihat," katanya.

 

Beliau yang menghasilkan buku "Rempit Barah Dalam Masyarakat - Salah Siapa?" yang dilancarkan hari ini berkata, kajiannya mengenai mat rempit dibukukan menerusi penulisan pertamanya itu.

 

Mohd Roslan berkata, buku berkenaan yang dijual RM30 senaskah menceritakan mengenai mat rempit secara keseluruhannya dan hasil-hasil kajian yang diperoleh.

 

"Mungkin buku ini tidak dibaca oleh mereka yang terjebak mat rempit, mungkin kawan-kawan mereka, jadi saya harap ia boleh memberi kesedaran dorongan sekali gus mereka dapat tahu apa impaknya kepada diri sendiri," katanya.

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Antaranya menunjukkan beberapa motosikal yang ditunggang secara bersaing sesama sendiri sambil…
Berita Domestik
  "Anggota bertugas telah mengekori kenderaan yang dipandu suspek berusia 45 tahun itu sehingga…
Berita Domestik
  "Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung berjaya mengesan…