PDRM komited sekat pelumba haram di Lebuhraya Karak

oleh Mohamad Hanif|
Polis akan meneruskan operasi di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak berikutan wujud kegiatan kumpulan pemilik motosikal berkuasa tinggi serta kereta mewah atau 'sport car' yang menjadikan laluan itu sebagai tempat pengujian jentera mereka.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, sejak kebelakangan ini, pihaknya mendapati lebuh raya itu sering dijadikan laluan ‘permainan utama’ kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, mereka yang terlibat dalam aktiviti itu akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama dua tahun

"Operasi di lebuh raya ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa. Operasi itu juga dibuat untuk mengesan kesalahan pengguna jalan raya yang lain," katanya kepada pemberita selepas Op Khas Bersepadu Genting di Plaza Tol Gombak di sini, hari ini.

Mengenai Op Khas Bersepadu Genting itu, beliau berkata sebanyak 302 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan tiada cermin sisi.


"Dalam operasi itu, lima lelaki ditahan kerana melakukan kesalahan seperti memandu dalam keadaan mabuk, memiliki dadah serta mempamerkan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Operasi lima jam bermula 7 pagi itu, disertai 15 pegawai dan 88 anggota polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Alam Sekitar. - Bernama