PDAM mohon operasi stesen minyak dilanjutkan

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan dari Autoworld
Pengusaha stesen minyak seluruh negara memohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) memanjangkan waktu operasi stesen minyak bermula jam 6 pagi hingga 10 malam seperti diberikan kepada premis menjual makanan.


Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata stesen minyak seharusnya dibenarkan beroperasi selari dengan waktu operasi kedai atau restoran kerana ia industri penting menyokong semua aktiviti ekonomi dan keselamatan dalam semua fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini.

 

"Kami menyambut baik keputusan MKN menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam namun industri runcit petroleum melalui stesen minyak hanya dapat beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

 

"Membenarkan restoran beroperasi sehingga jam 10 malam amat janggal, terutama kepada stesen minyak yang ada restoran di dalam bangunan sebelah stesen, termasuklah pandu lalu atau kedai makan di dalam stesen minyak.

 

"Oleh itu, saya mewakili semua pengusaha stesen minyak seluruh negara meminta supaya waktu operasi stesen minyak juga ditukarkan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam," katanya dalam kenyataan, semalam.

 

Semalam, MKN memutuskan premis menjual makanan boleh dibuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa hari ini berbanding sebelum ini mulai jam 8 pagi sehingga 8 malam selepas mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan.

 

Khairul Annuar turut berkata, pihaknya meminta kedai serbaneka di dalam stesen minyak dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi, kerana mengasingkan waktu operasi penjualan minyak dan kedai serbaneka adalah rumit.

 

"Ramai pelanggan termasuk anggota pasukan keselamatan dan orang ramai yang hendak ke tempat kerja, memerlukan perkhidmatan seperti pembelian kad tambah nilai dan ingin menggunakan mesin ATM pada waktu pagi sebelum jam 8 pagi," katanya.

 

Beliau berkata, bagi stesen minyak di lebuh raya pula, PDAM meminta supaya waktu operasi kedai serba guna diselaraskan dengan waktu operasi penjualan minyak iaitu dibuka 24 jam kerana ramai pemandu waktu malam perlu membeli barang keperluan mereka.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Penyeragaman itu walaubagaimanapun dikecualikan bagi kawasan yang tertakluk di bawah pelaksanaan…
Berita Domestik
Inisiatif 'Jom Bantu Bank Makanan dan Meja Komuniti' ini mengambil inspirasi daripada mesej "Ambil…
Berita Domestik
  Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP…