'Paus putih' mendarat di Langkawi untuk isi minyak

oleh Penyumbang Rencana|
Pesawat kargo, Airbus Beluga (A300-600ST) mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), di Langkawi pada pukul 3.49 petang Selasa.

Berdasarkan data diperoleh daripada laman web Flightradar24, Beluga siri ketiga itu singgah di LTAL setelah memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, India pada pukul 9.49 pagi waktu tempatan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pesawat itu mendarat di Langkawi untuk mengisi minyak sebelum menyambung penerbangan ke destinasi seterusnya.

Beluga A300-600ST yang memiliki panjang 56.15 meter dan setinggi 17.24 meter merupakan pesawat pengangkut dan berupaya membawa sebuah helikopter selain sering membawa alat ganti pesawat ke seluruh dunia.

Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat pesawat ‘gergasi’ tersebut dengan memenuhi sepanjang pagar di tepi landasan LTAL.

Beluga yang dikendalikan oleh Airbus Transport International (ATI) berpengkalan di Toulouse, Perancis memulakan perjalanan dari Lapangan Terbang Francazal pada 20 Julai lalu ke Lapangan Terbang Marseille.

Dua hari kemudian pesawat itu berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Eleftherios Venizelos di Athens, Greece sebelum menyambung penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sharm el-Sheikh di Mesir diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.

Pada Ahad lalu, Beluga diterbangkan pula ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmedabad dan Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai di India sebelum singgah di LTAL, pada Selasa.