Desas-desus berkenaan enjin ini telah pun lama muncul semenjak Mazda memperkenalkan model konsep RX-Vision lagi, diikuti dengan berita berkenaan kelahiran semula enjin ini sebagai unit penambah jarak (range extender) pada model MX-30.
Tidak lama selepas itu, berita dari Jepun melaporkan Mazda sedang membangunkan enjin rotari yang mampu disuapkan dengan bahan api hidrogen, konsep yang sama digunakan oleh Toyota menerusi jentera lumba Corolla Sport tempoh hari.
Tidak terhenti setakat itu, Mazda dikatakan telah pun hadir dengan lapan permohonan tanda dagang seperti mana yang ditemui oleh laman web Hatena Blog baru-baru ini.
Permohonan terhadap tanda dagang trenkuasa terdiri daripada sebuah logo baharu beserta tiga nama yang berkaitan iaitu e-SKYACTIV R-Energy, e-SKYACTIV R-HEV dan e-SKYACTIV R-EV!
Menurut Hatena Blog, permohonan terbaharu Mazda itu nampaknya berkait rapat dengan teknologi XEV yang menggunakan enjin rotari kecil di dalam trenkuasa hibrid kompak yang boleh bertindak sebagai sebuah mild-hybrid, series hybrid dan juga EV penambah jarak.
Menerusi logo yang dipaparkan, jelas kelihatan bentuk yang digunakan melambangkan enjin rotari Wankel dengan rekaan huruf 'e' di bahagian tengah.
Jika benar Mazda mengikuti format penamaan semasa, besar kemungkinan R-EV dan R-HEV masing-masing merujuk kepada model EV dan hibrid, manakala model R-Energy pula merujuk kepada penggunaan tenaga alternatif - seperti hidrogen.
Atau R-Energy mungkin sekali salah sebuah enjin rotari yang tulen tanpa bantuan tenaga elektrik?
Jika anda masih ingat, bulan lalu Mazda turut mendaftarkan logo R baharu di mana kebanyakan media automotif mencadangkan ia berkemungkian besar merujuk kepada model berprestasi tinggi yang dilengkapi dengan enjin rotari.
Walau apapun, kita tunggu dan lihat bagaimana Mazda mahu mengembalikan semula enjin rotari Wankel ini dalam dunia yang sudah dipenuhi dengan pelbagai teknologi hibrid yang serba moden.
Empat lagi permohonan pendaftaran tanda dagang yang dibuat oleh Mazda adalah berkait rapat dengan penawaran varian model di Jepun, iaitu Field Journey dan Sports Appearance untuk Mazda CX-5, Terracotta Selection untuk Mazda Roadster RF, serta Pro-X Ross Style yang masih lagi menjadi satu misteri.
Sumber: Hatena Blog