Paten baharu Rivian, Ford jadikan trak pikap lebih praktikal!

oleh Mohamad Hanif|
Masih ingatkah anda kepada imej trak pikap Rivian yang digambarkan mampu menyediakan ruang untuk memasak tanpa perlu memakan ruang yang sangat besar?
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini kerana Rivian R1T menerusi satu konsep, mereka boleh menjelmakan sebuah dapur yang ringkas untuk kegunaan di luar, dan dapur tersebut boleh disimpan di ruang antara kabin dan bed yang digelar sebagai terowong gear (gear tunnel).

Kenapa trak pikap Rivian mampu menyediakan ruang yang sebegitu besar?

Ini kerana trak pikap elektrik secara asasnya kurang peralatan dan komponen mekanikal yang bergerak - seperti gandar, transmisi tidak seperti trak pikap konvensional - menjadikan ruang sedia ada mampu dieksploitasikan dengan lebih mendalam.

 


Untuk menjadikan trak pikap lebih praktikal, Rivian dan rakannya Ford masing-masing telah mendaftarkan paten terbaharu yang mendefinisikan semula praktikaliti dengan lebih baik.

Pada 17 Disember, Ford telah mendaftarkan paten trunk hadapan (digelar sebagai frunk) untuk Ford F-150 elektrik di mana ia menampilkan rekaan yang tidak memerlukan anda membuka 'hud enjin'. 

Sebaliknya, anda boleh mengakses ruang kargo di hadapan dengan membuka komponen bergerak yang menempatkan gril hadapan. 

Ibarat anda mempunyai sebuah bed tambahan di bahagian hadapan. 
 


Selain daripada itu, Ford juga turut memperlihatkan konsep di mana sistem bateri modular mampu dimuatkan pada platform kenderaan. 

Menurut abstrak daripada pendaftaran paten, konsep storan yang boleh diubahsuai itu mampu memuatkan beberapa konfigurasi modul kuasa (pek bateri) yang mampu memberikan jarak operasi yang lebih jauh, bergantung kepada varian yang ditawarkan. 

Rekaan crossbeam juga telah diperkukuh untuk mencipta sebuah struktur yang lebih kuat dan lebih selamat untuk kegunaan tugas-tugas lasak. 
 


Beralih kepada ruang belakang, Rivian pula telah mendaftarkan sebuah paten baharu yang memperlihatkan rekaan pintu bed yang lebih fleksibel, dikenali sebagai Swing and Drop tailgate. 

Terima kasih kepada penggunaan rekaan baharu pada engsel, tailgate trak pikap kini boleh dibuka seperti biasa, atau dilepaskan ke bawah bergantung kepada penggunaan semasa. 

Menurut Rivian, penggunaan tailgate konvensional yang kekal di satu posisi menghalang pengguna untuk bekerja rapat dengan kenderaan, selain menyukarkan usaha untuk memuatnaik atau mengambil barang daripada ruang belakang. 

 


Jadi, rekaan baharu ini membolehkan pengguna mendapatkan akses yang lebih baik ketika bekerja. 

Tailgate ini boleh berfungsi secara manual atau diaktifkan menggunakan suis biasa, selain menawarkan platform tambahan sekiranya pengguna inginkan sebuah ruang yang rata untuk memuatkan barang.