“Pasukan PROTON R3 menunjukkan kerjasama berpasukan yang sangat baik di sebalik tidak berlumba pada perlumbaan S1k tahun lalu. PROTON memiliki pasukan pelumba, jurutera dan kakitangan teknikal yang sangat berdedikasi untuk pembangunan kereta R3 serta sukan permotoran, dan saya amat berbangga dengan apa yang telah mereka capai pada malam ini. Persediaan, perancangan dan analisis risiko yang telah mereka buat, selain kereta yang baik dan Petronas sebagai penaja, telah membuahkan kemenangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.
“Ramai peminat sukan permotoran mengakui akan pengendalian yang baik pada kereta Proton, di samping berupaya menahan cabaran seperti perlumbaan ini. Kereta Proton tahan lasak dan pada malam ini, pelumba berpengalaman kami mengendalikan kereta ke tahap yang paling optimum untuk menonjolkan kebolehannya. Pasukan R3 berlumba dengan baik dan keputusan yang diterima merupakan perkara yang manis bagi kemunculan semula kami di sukan permotoran. Ini tentunya titik tolak yang baik bagi Proton,” tambah Chunrong.