Pasukan Moto3 Honda tampil dengan liveri klasik - sambut ulang tahun ke-60 penyertaan sukan permotoran

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kata-kata hikmat Honda The Power of Dream ini sebenarnya telah bermula sejak daripada awal permulaan penubuhan Honda untuk mencapai puncak tertinggi di dalam cabaran sukan permotoran. 

Untuk membuktikan bahawa Honda adalah yang terbaik, pengasas Honda, Soichiro Honda membuat keputusan untuk menyertai Isle of Man TT di dalam FIM Road Racing World Championship GP pada tahun 1954.
 


Lima tahun Honda berusaha membangunkan jentera lumba dengan keupayaan yang ada dan akhirnya pada 3 Jun 1959, Honda merupakan pengeluar Jepun pertama yang menyertai perlumbaan Isle of Man TT. 

Pelumba Honda, Naomi Taniguchi pada ketika itu bertanding di dalam kategori 125cc Ultra-Lightweigt TT dan berjaya menduduki tangga keenam dengan catatan masa 1:34.48 dan kelajuan purata 109.9 km sejam. 
 


Kini, 60 tahun sudah pun berlalu dan tiada siapa yang menyangka Honda akan terus bertanding dan berjuang untuk membuktikan mereka adalah antara yang terbaik di dunia. 

Menurut Pengarah HRC, Tetsuhiro Kuwata ketika satu acara sambutan ulang tahun ke-60 penyertaan Honda di dalam perlumbaan dua roda, "Honda merupakan satu-satunya syarikat yang bertanding dalam kesemua disiplin sukan permotoran - dari MotoGP ke Formula 1, dari Motocross ke Indycar, dari Dakar ke Trials dan World Superbikes ke Enduro. 
 


"Persaingan adalah satu perkara yang menjadi sebahagian daripada falsafah Honda, dan satu cara untuk membangunkan produk-produk Honda terkini," jelas beliau lagi. 

Bersempena dengan ulang tahun ke-60, Honda merancang untuk mengadakan beberapa acara termasuklah menjemput Kunimitsu Takahashi, pelumba Jepun pertama yang memenangi Grand Prix pada tahun 1961 dan Mick Doohan - pelumba Honda yang memenangi lebih daripada 50 kejuaraan dalam kategori 500cc World Championships. 

 


Pasukan Moto3 Honda juga akan mempamerkan jentera dengan liveri ikonik merah, perak dan kuning berdasarkan jentera RC143 1960, dan membuat kemunculan rasmi di Goodwood Festival of Speed pada minggu ini. 

Selain itu, Honda juga akan membawakan jentera McLaren Honda MP4/4 - jentera yang telah berjaya mendominasi dan memenangi perlumbaan pada Formula One 1988 - pada acara yang sama.