Pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas yakin dengan komitmen Hamilton

oleh SALINA JALIL|
Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff berkata beliau tidak meragui komitmen Lewis Hamilton pada saingan Formula Satu (F1) meskipun hanya menyambung kontrak selama setahun.


Selepas sekian lama berteka-teki, Hamilton akhirnya bersetuju menurunkan tandatangannya bulan lalu untuk menyambung kontrak baru bersama Mercedes bagi musim 2021.

 

Bagaimanapun keputusan juara dunia tujuh kali itu untuk memberikan komitmen hanya setahun mencetuskan spekulasi berhubung masa depannya dan sama ada dia akan bersara selepas berakhir musim ini.

 

Hamilton pernah berkata, sekiranya memecah rekod dengan memenangi kejuaraan dunia buat kali kelapan, ia tidak akan menjadi faktor utama sama ada dia akan kekal beraksi pada musim 2022 dan seterusnya.

 

"Saya tidak ragui komitmennya," kata Wolff ketika ditanya jika beliau berasa bimbang dengan komitmen yang akan diberikan Hamilton.

 

"Pertama sekali, dia sangat gembira dapat berlumba. Kami juga gembira dapat bekerjasama antara satu sama lain.

 

"Saya rasa adalah lebih adil memberi masa kepada pemandu yang sudah memenangi tujuh kejuaraan dunia untuk menentukan sama ada dia mahu terus beraksi pada masa depan."

 

Wolff menegaskan Hamilton adalah pemandu pertama yang Mercedes akan berbincang menjelang musim 2022 di sebalik khabar angin pengeluar dari Jerman itu mahu mendapatkan pemandu Red Bull, Max Verstappen sebagai pengganti kepada Hamilton.

 

"Kami meraih banyak kejayaan bersama sebelum ini dan hubungan kami benar-benar jujur. Bermakna apa sahaja perbincangan untuk musim 2022 akan bermula dengan Hamilton," katanya.

 

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Global
Bercakap kepada Financial Times, Stroll menjelaskan, "Ada satu ungkapan, dan saya tidak percaya…
Sukan Bermotor
Jelasnya, hasrat untuk menganjurkan semula sukan tersebut masih lagi dalam penelitian, apatah lagi…
Model Terbaharu
Kini, unit pertama untuk pasaran Malaysia sudah pun mendarat dan boleh dilihat dengan lebih dekat…