Pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS sumbang tenaga bangunkan alat bantuan pernafasan pesakit COVID-19

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada pakar berlumba di litar, pasukan Formula 1 Mercedes-AMG PETRONAS juga kini meringkankan tangan berganding tenaga dengan universiti terkemuka London, UCL bagi membangunkan dan membina alat bantuan pernafasan untuk pesakit COVID-19.

Peranti yang dinamakan sebagai Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) itu difahamkan akan menjalani ujian klinikal di University College London Hospitals NHS Foundation Trust sebelum dihasilkan secara besar-besaran.

Peranti CPAP dibangunkan oleh jurutera mekanikal dari UCL, pegawai perubatan UCLH dengan kerjasama jurutera daripada unit High Performance Powertrains Mercedes-AMG di Brixworth.

Penggunaan CPAP adalah serupa dengan komponen yang digunakan di hospital Itali dan China bagi membantu pesakit COVID-19 untuk bernafas dengan lebih mudah.

Malah, menurut UCL lagi, hampir separuh pesakit yang telah diberikan CPAP tidak memerlukan penggunaan alat ventilasi mekanikal.

Pasukan UCL, UCLH dan HPP Mercedes-AMG telah memulakan projek ini semenjak 18 Mac yang lalu dan peranti pertama berjaya dihasilkan hanya dalam masa 100 jam sahaja.

Malah, menurut UCL, rekaan CPAP tersebut telah dinilai semula kejuruteraannya supaya ia lebih mudah dan cepat untuk dihasilkan dan diedarkan ke hospital-hospital di seluruh UK.

Sumber: Autocar

 

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Bermula dari kedudukan teratas, kedua-dua pelumba daripada pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 itu…
Sukan Bermotor
Namun ia bukanlah satu perkara terbaik yang terdapat pada Mercedes W11, ini kerana sistem suspensi…
Sukan Bermotor
Menurut bekas bos pasukan Scuderia Ferrari dan presiden FIA, Jean Todt menyifatkan Schumacher 'kuat…