Pasaran aftermarket Thailand bernilai RM162 billion - Kenapa Malaysia tak pandang industri "bikin kereta"?

oleh HEZERI SAMSURI|
Gambaran hasil dari AI.
Hobi mengubah-suai kenderaan mungkin dianggap remeh untuk kebanyakan pengguna Malaysia tetapi untuk kerajaan Thailand, industri tersebut bernilai sebanyak RM162 billion dalam tahun 2024 dan dijangka akan mengalami perkembangan sebanyak 4 peratus, menjadikan industri "aftermarket" Thailand mencecah nilai setinggi RM210 billion menjelang tahun 2030.

Angka-angka ini adalah menurut kajian Agensi SMMT yang berpengkalan di UK dan menurut kajian mereka, industri "aftermarket" di Thailand berkembang pesat kerana 50 peratus dari kenderaan di negara itu berusia di atas 10 tahun dan memerlukan alat ganti dan aksesori.

Selain dari itu, budaya "bikin kenderaan" cukup popular di Thailand dan walaupun pihak berkuasa di sana menghalang kenderaan-kenderaan modifikasi dari berada di atas jalanraya, negara itu mempunyai banyak acara-acara di setiap pelusuk tempat untuk peminat mempamerkan hasil seni kenderaan masing-masing.

Menurut laman web Manufacturing Asia, sektor "aftermarket" Thailand mempunyai lebih kurang 2,200 syarikat pembuatan yang menghasilkan alat ganti OEM dan aksesori aftermarket.

Thailand sudah menjadi salah satu dari hab pemasangan kenderaan untuk asia Tenggara.

Dari segi eksport pula, negara tersebut mengeksport RM93.06 billion alat ganti dan aksesori kenderaan, menjadikan jumlah eksport bagi industri automotif Thailand mencecah RM112.99 billion untuk tahun 2024.

Malaysia pula berjaya mengeksport alat ganti dan aksesori automotif sebanyak RM5.41 billion sementara jumlah eksport keseluruhan untuk industri automotif kita bernilai RM7.44 billion.

Untuk peminat motorsports, baik kereta, motosikal dan juga jentera 4X4, jenama-jenama dari Thailand sudah lebih jauh memasuki pasaran global. Di Australia contohnya, jenama-jenama aksesori 4X4 Thailand menjadi pencabar utama kepada jenama-jenama tempatan di sana.

Malah, ada jenama Australia yang telah dibeli oleh syarikat Thailand sendiri. Begitu juga dengan industri motosikal di mana jenama Lambretta kini dimiliki oleh syarikat Thailand dan dieksport ke seluruh dunia.

Aksesori jenama Thailand semakin banyak di pasaran global.

Malaysia sebenarnya mempunyai fokus yang cukup berbeza kerana industri automotif tidak dilihat sebagai punca pendapatan utama negara. 

Ini dibuktikan dengan peratusan industri automotif Malaysia di mana tahun lalu ia cuma mencakupi 4 peratus sahaja dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jumlah pecahan KDNK Thailand juga tidak jauh berbeza dari Malaysia, di mana sektor Perkhidmatan masih menjadi penyumbang kepada lebih dari separuh keluaran dalam negara dan sektor automotif Thailand menyumbang kepada 11 peratus KDNK mereka.

Penulis merasakan dengan jiwa automotif yang kuat di kalangan pengguna tempatan, ditambah dengan pengalaman serta bakat-bakat di dalam bidang kejuruteraan automotif yang cukup banyak, tidak ada sebab mengapa Malaysia tidak mampu meningkatkan lagi peratusan KDNK negara di dalam industri automotif.

Mungkin apa yang perlu ialah Menteri yang lebih memahami industri automotif.

Wallahuallam.

 

Berita Berkenaan

Uncategorized
Acara ini akan diadakan pada 28 - 29 Julai 2018 di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS).…
Berita Global
Art of Speed 2017, acara tempatan Ol-Skool & Kustom Kulture Malaysia tahun ini kembali lagi…