Perjalanan kembara itu bakal meliputi jarak sejauh 27 ribu km dari Kutub Utara ke Kutub Selatan, dengan jangkaan tempoh selama 10 bulan.

Menurut laporan dari Motor Authority, pasangan itu mahu membuktikan kebolehan EV crossover yang telah diubah suai tersebut dalam menghadapi kembara lasak jarak jauh.
Antara modifikasi yang dilakukan pada Ariya tersebut bagi menghadapi kembara itu ialah naik taraf suspensi, tayar BF Goodrich bersaiz 39 inci dan arch tayar yang dilebarkan untuk memberi ruang pada tayar tersebut.

Apa yang menariknya, trenkuasa dan pek bateri berkapasiti 91 kWj tersebut dibiarkan dalam keadaan asal, tentu sekali seperti tujuan utama pasangan tersebut, ianya untuk membuktikan kebolehan dan ketahanan EV itu.
Sebelum ini pada tahun 2017, pasangan itu juga pernah melengkapkan Rali Mongol sejauh 17 ribu km dalam sebuah EV Nissan Leaf.

Selain dari modifikasi saiz tayar dan naik taraf suspensi, Ariya tersebut turut dilengkapi dengan mesin espresso yang terbina bagi memenuhi kehendak pencinta kopi sepanjang menjalani kembara.
Ariya itu juga akan menunda sebuah treler dengan panel solar dan turbin angin, dimana ianya akan berfungsi memberikan tenaga untuk mengecas semasa berhenti.

Ariya yang bakal digunakan untuk kembara tersebut didatangkan dengan sistem pacuan semua roda e-4ORCE, dikuasakan oleh dua motor elektrik menghasilkan 389 HP dan 600 Nm yang memberikan jarak gerak sehingga 580 km.