Parkir di taman perumahan - dua lori disita, empat dikompaun

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari facebook MPS
Dua lori lebih lima tan disita dan empat dikompaun selepas di parkir di kawasan taman perumahan di Taman Selayang Mutiara dan Taman Garing Gemilang, Selayang pada Rabu.


Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam satu kenyataan berkata, kenderaan melebihi dua tan selain kepunyaan kerajaan atau badan berkanun tidak dibenarkan masuk ke taman perumahan tanpa kebenaran Yang Dipertua MPS.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Menurut kenyataan tersebut, peraturan tersebut termaktub di bawah Undang-Undang Kecil Taman (MPS) 2005, UUK7(1).

 

"Selain sitaan, empat lori turut dikenakan kompaun menerusi operasi kenderaan berat yang dijalankan jabatan penguat kuasa pada malam Rabu yang berakhir jam 3 pagi Khamis.

"MPS akan sentiasa membuat pemantauan dan menjalankan operasi dari semasa ke semasa. Diharapkan pemilik lori dapat mematuhi peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan," ujar kenyataan itu pada Khamis.

 

Operasi diketuai oleh Pengarah Penguatkuasa MPS, Ahmad Faizal Badiuzaman yang turut disertai Timbalan Yang Dipertua MPS, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

 

"Pada masa hadapan, ada keperluan untuk menyediakan kawasan lapang untuk dijadikan parkir kenderaan berat sebagai penyelesaian isu permasalahan itu.

 

"Selain itu, program kesedaran khususnya kepada pemandu lori dipertingkat agar mereka mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan dan mengundang masalah kepada orang awam," katanya.

 

Dalam pada itu, Adi Faizal berkata, tindakan penguatkuasaan dijalankan itu adalah bagi menyelesaikan aduan kacau ganggu yang diterima daripada orang awam.

 

Ujarnya, tindakan memarkir kenderaan berat di kawasan perumahan menimbulkan kacau ganggu kepada kawasan kejiranan selain isu keselamatan.

 

MPS