Parkir Bertingkat DBKL Kosong, Jalan PPR Pula Sesak Dengan Kereta Tepi Jalan

oleh Qalif Latif|
Sebuah video tular memaparkan keadaan parkir bertingkat milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang masih lengang walaupun kawasan jalan sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) dipenuhi kenderaan parkir tepi jalan, mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Rakaman berdurasi lebih tiga minit itu dimuat naik pengguna TikTok dikenali sebagai Black Pesol, yang menegur sikap segelintir penduduk masih memilih parkir secara haram di bahu jalan walaupun kemudahan parkir bertingkat sudah dibuka untuk digunakan.

Parkir Bertingkat Banyak Ruang Kosong

Dalam video tersebut, kelihatan tingkat demi tingkat bangunan parkir masih mempunyai banyak petak kosong, manakala laluan luar dipenuhi kenderaan yang diletakkan rapat termasuk secara double park.

Menurut individu berkenaan, penduduk sebelum ini sering meminta kemudahan parkir tambahan disediakan, namun selepas siap dibina, masih ramai enggan menggunakannya.

Dulu masa belum ada bangunan parkir, semua minta. Sekarang dah siap dan kereta dah boleh masuk, masih tak mahu guna,” katanya dalam rakaman tersebut.

Parkir Bertingkat DBKL Kosong

Caj RM60 Sebulan Jadi Isu

Antara punca yang dipercayai menyebabkan kemudahan itu kurang digunakan ialah caj langganan sebanyak RM60 sebulan.

Bagaimanapun, ramai netizen berpendapat kadar tersebut masih munasabah memandangkan pengguna mendapat parkir lebih teratur, selamat dan tidak perlu bersusah payah mencari ruang setiap hari.

Seorang pengguna media sosial menulis, “RM60 sebulan murah. Balik kerja tak perlu pening cari parking.”

Ganggu Laluan Kecemasan

Turut dibangkitkan ialah isu keselamatan apabila kenderaan yang diletakkan di tepi jalan berpotensi menyukarkan laluan kenderaan kecemasan seperti bomba dan ambulans.

Pengguna TikTok itu turut menegaskan sikap pentingkan diri sendiri segelintir pemilik kenderaan menyusahkan penduduk lain yang tinggal di kawasan sama.

DBKL Beri Penjelasan

DBKL dalam respon kepada netizen menjelaskan caj RM60 sebulan itu diperlukan bagi menampung kos penyelenggaraan dan memastikan operasi kemudahan berjalan lancar.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, pembinaan parkir bertingkat juga sebahagian usaha menangani masalah kesesakan serta kekurangan ruang parkir di kawasan PPR.

Isu Lama Kawasan Perumahan Bandar

Kes berkenaan sekali lagi membuka perbincangan mengenai masalah pemilikan kenderaan tinggi di kawasan perumahan padat, selain sikap pengguna yang enggan mematuhi peraturan walaupun kemudahan telah disediakan.


 

Tags

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 4,637 kenderaan ditarik keluar dan dibawa ke depoh DBKL untuk…
Berita Domestik
Foto: MalayMail Fokus Selesai Bottleneck Trafik Bandar Memetik laporan BERNAMA bertarikh 27…
Berita Domestik
DBKL menegaskan komitmen untuk memastikan jalan raya serta ruang parkir awam bebas daripada…