Papan iklan luar lebuhraya tumbang - bukti agensi terbabit tak peka

oleh HEZERI SAMSURI|
Assalamualaikum dan apa khabar semua. Sudah lama tidak menulis di kolum ini.

Bukannya tidak ada isu, tetapi penerimaan berita-berita begitu sering tidak dapat diterima dengan matang oleh ramai. 

Namun begitu, peristiwa yang berlaku Ahad lalu memaksa saya menulis kembali kerana ia berkaitan dengan isu keselamatan pengguna lebuhraya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ribut yang melanda kawasan Putrajaya dan Bangi pada hari tersebut melihat banyak papan iklan yang tumbang di lebuhraya PLUS.

Menurut lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS), pasukan PLUSRonda dan pasukan penyelenggaraan Propel telah dikerah untuk mengalihkan serpihan papan iklan yang tumbang dan menghalang lalulintas di KM294.4 (arah selatan), berhampiran dengan Exit Bangi.

 

 

Syabas kepada PLUS yang segera mengalihkan sisa-sisa papan iklan tersebut serta terus memantau kawasan agar tiada pengguna lebuhraya yang menjadi mangsa.

Pihak PLUS tidak ada kuasa ke atas papan-papan iklan yang terbabit kerana ia dipasang di luar pagar PLUS.

Umum pasti mengetahui bahawa kebanyakan papan iklan yang dipasang di kiri dan kanan lebuhraya itu dipasang di luar pagar PLUS.

Undang-undang negara membenarkan operator papan-papan iklan ini untuk "mencuri" pengguna lebuhraya. 

Dan dengarnya undang-undang juga melarang PLUS dari membina sebuah struktur papan iklan di hadapan papan iklan di luar pagar.

Kelakar tetapi PLUS tidak ada hak untuk membuat aduan akan papan-papan iklan "nakal" ini.

 

 

Pada jangkaan saya, harga papan iklan di luar pagar PLUS ini juga jauh lebih rendah dari papan iklan yang dipasang oleh PLUS sendiri.

Papan iklan yang dipasang di dalam kawasan PLUS perlu menggunakan agensi yang telah dilantik oleh syarikat konsesi lebuhraya itu sendiri dan pastinya, kos sewaan akan meningkat.

Kita sendiri sudah boleh melihat perbezaan dari segi produk-produk yang diiklankan di luar pagar dan di dalam pagar lebuhraya PLUS.

Yang dipasang di dalam pagar ialah produk dari syarikat ternama dan lebih profesional.

Yang diluar pula ialah dari jenama yang sering ditampal oleh reseller di dalam grup Whatsapp atau di ruangan komen dalam Facebook - mengambil kesempatan untuk mengiklan tanpa memikirkan masalah penjenamaan (branding) yang bakal muncul.

Ia umpama anda dapat meletakan iklan anda di dalam TV3 dengan kos iklan di dalam majalah sekolah. Siapa tak mahu bukan? 

 

 

Yang paling saya risaukan, dan sudah lama bermain di minda saya ialah struktur pembinaan papan iklan itu sendiri.

Dahulu, papan iklan luar pagar ini tidak begitu banyak. Sekarang ini, ia wujud bagai cendawan selepas hujan - melata di kiri dan kanan lebuhraya PLUS dan menyakitkan mata.

Iklan pelangsing tubuh badan, iklan kosmetik dengan bahasa WeChat, iklan motosikal ketandusan idea rekabentuk, semuanya menyerabutkan mata.

Tetapi yang anda patut perhatikan ialah struktur pembinaan papan-papan iklan luar pagar ini.

Papan iklan PLUS mungkin mahal, tetapi struktur pembinaannya tegap. 

Malah, kesemua struktur papan informasi di dalam kawasan lebuhraya PLUS perlu menurut piawaian antarabangsa.

Ini untuk menjamin keselamatan pengguna lebuhraya, bukannya sengaja untuk meningkatkan kos. 

Hasilnya, tidak ada struktur papan iklan di dalam pagar PLUS yang tumbang ketika ribut yang berlaku Ahad lalu.

 

 

Saya bukannya seorang jurutera tetapi dari pengamatan saya, struktur papan iklan di luar pagar PLUS nampak seperti dibina oleh penghuni kampung setinggan di dalam kota Dhaka, Bangladesh.

Terbukti ia tidak kukuh bila banyak papan-papan iklan itu rebah mencium ke bumi. Laluan antara Exit Bangi ke Exit Kajang menjadi seperti medan peperangan kerana struktur lembik papan iklan murahan itu tumbang di sana sini.

PLUS berkata ia memandang serius akan isu ini dan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat untuk mencari penyelesaian berhubung isu kestabilan papan-papan iklan yang berada di luar kawasan lebuhraya demi melindungi keselamatan pelanggan yang berada di lebuhraya kendaliannya.

Persoalan saya ialah adakah mereka-mereka yang bekerja di LLM dan di PBT tidak pernah terfikir akan risiko ini?

Atau mereka ini memandu di lebuhraya PLUS sambil menutup mata?

Atau mereka tidak cukup duit lalu tidak menggunakan lebuhraya langsung?

Atau mereka tidak pernah terfikir akan keselamatan 1.7 juta pengguna yang lalu lalang di atas lebuhraya PLUS setiap hari kerana ia isu remeh? 

 

 

Akhbar The Star tahun lalu melaporkan bahawa Persatuan Pengiklanan Luar Bangunan (Outdoor Advertising Association of Malaysia atau OAAM) sudah bekerjasama dengan agensi kerajaan dan PBT untuk memastikan standard keselamatan papan iklan bagi menyelaraskan kualiti pengiklanan.

Menurut sumber Careta, papan-papan iklan di luar pagar lebuhraya itu perlu mematuhi spesifikasi pembinaan tertentu dan ia juga perlu membayar insuran untuk melindungi mangsa yang terbabit jika papan iklan itu tumbang.

Namun begitu, setiap struktur perlukan pengawasan kerana faktor usia dan cuaca yang mampu mengganggu kestabilannya.

Pihak insurans pula memberikan pampasan dalam bentuk wang ringgit. Adalah nilai nyawa boleh dikira menggunakan ukuran RM?

 

 

Saya berpendapat bahawa LLM dan PBT perlu lebih serius di dalam isu ini. Di dalam era kerajaan baharu yang lebih telus dan lebih "pedas" ini, tidak ada ruang untuk kerja-kerja caca-marba dan juga proses selembab kura-kura bunting.

Ada ratusan struktur papan-papan iklan yang bertaburan di kiri dan kanan pagar lebuhraya PLUS. 

Saya cadangkan caj sewaan dinaikan oleh PBT dan pantauan dilakukan sebelum ada papan iklan yang tumbang dan melayang ke arah kita pengguna lebuhraya.

Tidak ada yang percuma di dalam dunia ini dan jangan sampai ada nyawa terkorban kerana ada orang yang "malas".

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Iklan itu dipertontonkan di Facebook dan ia berkisar sebuah konvoi trak pikap Hilux yang dipandu…
Berita Global
Mereka turut melancarkan kempen iklan bersiri, di mana dua daripadanya telah pun disiarkan sebelum…
Berita Global
Animasi stail Initial D juga kerap kali digunakan oleh Toyota untuk mempromosikan kereta sports…