Pandu Uji: VW Beetle 1.2 TSI Sport - Wak Segan yang sebenarnya ahli sukan! (RM147,888)

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beetle generasi pertama yang dibina dari tahun 1938 sehingga 2003 yang digelar orang di Malaysia sebagai Wak Segan itu memang penuh dengan nostalgia. 

Ia lebih direka sebagai kenderaan untuk rakyat marhaen, walaupun sesiapa yang pernah membaik pulih sebuah Volkswagen lama tahu bahawa kosnya bukanlah murah.

Kemudian, VW melancarkan The New Beetle (gambar di bawah) pada tahun 1997 sehingga 2010. Konsep untuk rakyat marhaen masih kekal, tetapi ia lebih cenderung kepada gaya hidup atau lifestyle menggunakan konsep retro. 

beetle
New Beetle generasi pertama memulakan kegilaan pasaran terhadap konsep retro.

 

Pada masa yang sama juga BMW melancarkan Mini modern mereka dan kegilaan pasaran terhadap retro terus meningkat naik. 

Nasib baik juga Mercedes-Benz tidak melancarkan model retro untuk lori balak LA 911 mereka. Jika tidak, nescaya penuh tempat parkir kereta bila ada perjumpaan TT oleh kelab itu nanti.

New Beetle generasi pertama ini dibina di atas platform VW Golf, dan ia memang direka khusus untuk bentuk.

Mungkin kerana ia lebih mensasarkan kumpulan pembeli yang terdiri dari wanita-wanita bergaya ala isteri orang kenamaan ataupun untuk gadis-gadis comel yang belajar di universiti-universiti swasta.

Apapun, New Beetle generasi pertama mempunyai prestasi yang setangkas ikan paus bunting enam bulan - haram tidak sporty.

VW Beetle 1

 

Masuk pula New Beetle generasi kedua yang dilancarkan dalam tahun 2011 sehingga sekarang. Ya ramai tidak perasan bahawa New Beetle yang ada sekarang ini sebenarnya sudah sedikit berusia.

Namun kerana itulah anda perlu memandang serius kerana pastinya VW sudah menyelesaikan sebarang isu dengan Beetle ini - memberikan anda jaminan bahawa ia akan terus bekerja untuk anda tanpa masalah.

Anda juga perlu tahu satu lagi fakta akan Beetle 2017 ini - ia jauh lebih sporty dari New Beetle generasi pertama. Ini memang dimaklumkan oleh VW sewaktu pelancaran Beetle ini dalam tahun 2011 kerana pada masa itu, objektif Beetle ini bukannya sebagai “People’s Car” tetapi lebih kepada “People’s Porsche”.

VW Beetle 2

 

Ya, Beetle sekarang memang sangat sporti dan mampu membuatkan si jantan menyeringai kesukaan apabila memandu Beetle ini, seperti jantan yang sedang menulis ini.

Careta diberi peluang untuk mencuba Beetle 1.2 TSI Sport terkini dan di bawah ialah apa yang penulis dapat kongsikan.

  • Beetle 1.2 TSI Sport ini adalah varian termahal pada RM147,888. Varian Design adalah lebih mampu milik pada harga RM136,888. Dari segi teknikal, tiada perbezaan. Yang berbeza ialah aksesori seperti fungsi App Connect, pendingin hawa Climatronic, paddle shifter, lampu hadapan Bi-Xenon dan lain-lain fungsi yang tidak begitu besar.
  • Enjin (berada di hadapan ya) ialah enjin 1,197 cc 4-silinder turbo dan direct injection dengan kuasa 103 hp dan 175 Nm.
VW Beetle 3

 

  • Transmisi ialah dari jenis DSG 7-speed automatik yang diperbaiki. Memang ramai akan mula merasa risau akan transmisi itu tetapi cuba fikirkan - pernahkah lagi mendengar masalah itu? Ya, VW Malaysia sudah berjaya memperbaikinya dan nasihat Careta, setiap hujung minggu, bawa kereta luar dari kawasan bandar agar transmisi ini mampu "bersenam". Ramai rakan Careta yang amalkan cara itu tidak mempunyai sebarang masalah langsung pada transmisi DSG 7-speed dengan dry clutch ini.
  • Halaju maksima cuma 180 kmsj dan kadar pecutan dari 0 ke 100 kmsj ialah dalam 10.9 saat. Itupun, ia masih mampu memberikan penjimatan bahan api pada 5.5L/100km, membuktikan bahawa kereta Eropah sebenarnya jauh lebih menjimatkan dari kereta buatan negara lain kerana harga bahan api di Eropah ialah yang tertinggi di dunia!
  • Kemasan kabin memang sangat Eropah - dari balutan kulit Vienna kepada pendingin hawa dua zon Climatronic, sistem audio yang mampu menerima input dari CD, USB, kad SD, port Aux-In atau menggunakan aplikasi CarPlay, Android Auto dan Mirrorlink.
VW Beetle 4

 

  • Kualiti bunyi dari sistem audio standard dengan lapan speaker itu sudah cukup baik. Biarpun muzik sekeras Metallica hingga ke lagu artis kegemaran Hafiz Takumi The Stick kami, Ramlah Ram, sistem audio ini mampu menghasilkan kualiti audio yang baik.
  • Lampu hadapan berkembar Xenon sangat terang pada malam hari dan pada siang, ia mempunyai barisan lampu LED sebagai fungsi DRL. Kami kira DRL itu sahaja akan membuatkan mereka membeli Beetle Sport dari Beetle Design yang lebih murah.
  • Apa yang menarik ialah warna badan Beetle ini akan sama seperti warna pada panel-panel di dalam kabin. Ini adalah konsep retro zaman dahulu kala. Contohnya, jika kereta itu berwarna ungu belang hijau di luar, maka papan pemuka dan panel pintu juga membawa warna yang sama.
VW Beetle 5

 

  • Dari segi keluasan kabin, dua tempat duduk di hadapan memang selesa. Ia mempunyai ruang-ruang untuk meletak barang tetapi tidak sebanyak kenderaan lain.
  • Glovebox pada papan pemuka memang nampak cantik - dan papan pemuka serta bingkai pintu yang sama warna dengan warna kereta di luar juga menarik. Namun begitu, ia perlu dijaga agar tidak bercalar.
  • Tidak seperti New Beetle generasi pertama, ia tidak ada tempat untuk meletak sekuntum bunga dan jarak antara penghujung cermin hadapan dengan papan pemuka tidaklah seluas ladang kelapa sawit Felda Lepar Hilir. Beetle ini lebih nampak normal dan praktikal sebenarnya.
VW Beetle 6

 

  • Untuk tempat duduk belakang, ia mampu memuatkan dua orang kanak-kanak atau dua orang dewasa yang bersaiz seperti toyol tetapi pastikan mereka tidak tinggi kerana bentuk cermin belakang yang melengkung ke bawah itu merendahkan ruang kepala. Sekiranya anda ada kawan yang anda benci, jemputlah dia untuk duduk di belakang dan pandu beliau dari JB ke Kangar. 
  • Ruang tempat barang kecil sediki dari VW Golf kerana sudut cermin belakang yang menghadkan ketinggian. Namun begitu, ia masih jauh lebih besar dari boot Mini dan tempat duduk belakang boleh dibaringkan jika anda mahu membawa objek yang besar. Dalam erti kata lain, Beetle baharu ini lebih praktikal.
VW Beetle 7

 

  • Dari segi keselamatan, ia lengkap dengan enam beg udara, ESC, ABS, BA dan segalanya yang biasa terdapat pada sebuah jentera Jerman.
  • Tayar simpanan juga diberikan, tetapi dari jenis space saver yang kecil. Ini lebih bagus kerana ia ringan dan mampu membantu kita menjimatkan bahan api.
  • Pemanduan di dalam bandar sebenarnya tidak begitu susah, cuma kerana bumbung yang seksi itu, tiang A menjadi tebal dan ini melecehkan pemandu untuk melihat ke luar.
  • Pemandu juga akan sukar untuk mengagak depan dan belakang Beetle ini kerana bentuknya itu - nasib baik VW Malaysia melengkapkan Beetle ini dengan sistem pengesan Park Distance Control untuk depan dan belakang.
VW Beetle 8

 

  • Di dalam kawasan bandar, tidak ramai yang menjeling. Mungkin kerana Beetle ini sudah menjadi pemandangan biasa di bandar-bandar besar. Kalau ada pun yang menjeling, mungkin tertanya kenapa anda membawa keluar kereta isteri anda.
  • Di kawasan luar bandar, Beetle ini masih mampu membuat orang tersenyum, seperti Pakcik Nordin yang menjual pisang goreng di Chenor, Pahang. Kata beliau, teringat kereta arwah sahabatnya dahulu yang memandu Beetle generasi pertama. Namun kerana internet, Pakcik Nordin yang berusia 70 tahun sudah tahu enjin Beetle baharu ini berada di hadapan - menyebabkan kami tersipu-sipu malu kerana lawak “Pakcik nak tengok enjin dia di belakang ke” itu tidak menjadi. Mungkin Pakcik Nordin pembaca setia Careta.my.
VW Beetle 10

 

  • Semasa memandu di Lebuhraya KLK (Kuala Lumpur - Karak), Careta mula merasakan ada sesuatu yang berbeza pada Beetle 1.2 TSi Sport ini - ia tiba-tiba menjadi “hidup” dan sistem transmisi seolah-olah tahu nisbah mana untuk selekoh ini atau untuk dakian itu.
  • Paddle shifters di belakang stereng boleh digunakan untuk memilih nisbah gear bagi menyediakan Beetle Sport ini untuk selekoh yang seterusnya tetapi sebenarnya, kita cuma letak sahaja transmisi di dalam mod S dan ia sudah mencukupi.
  • Sistem gantungan Beetle ini sangat bijak untuk menampan lubang-lubang yang dilanggar, tetapi tidak terlalu lembut untuk menyebabkan olengan atau hayunan semasa selekoh diambil laju.
VW Beetle 12

 

  • Di kawasan selekoh yang tidak putus-putus, imbangan berat oleh Beetle ini sangat baik. Peralihan berat dilakukan dengan sangat lancar dan ini membuatkan pemandu lebih mudah untuk beralih arah dengan segera.
  • Pecutan dari enjin 1.2 TSi turbo yang dipadankan dengan transmisi DSG itu juga memberikan pemanduan yang mirip kepada sebuah kenderaan sport. Bentuk Beetle ini sendiri lebih rendah dan lebih lebar daripada model Beetle sebelum ini, membuktikan fokus lebih kepada keseronokan pemanduan dan bukan hanya rekabentuk retro.
VW Beetle 14

 

Jaminan ialah selama 5-tahun dan bantuan jalanan diberikan secara percuma selama 5-tahun juga. Sela masa servis ialah pada setiap 15,000 km.

Harga VW Beetle ini tidak boleh dikatakan murah tetapi untuk peminat Beetle, ia masih boleh dikategorikan dalam belian berbaloi kerana apa yang anda dapat bukan hanya sebuah hatchback biasa, tetapi sebuah ikon dunia automotif.

Berita Berkenaan

Berita Global
Simbol ‘R’ ini kebanyakkanya telah digunakan pada model Arteon dan T- SUV Roc, Tiguan dan Touareg…
Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Uncategorized
  Pelanggan ditawarkan dua jenis bateri iaitu 79 kilowatt-jam (kWj) atau 86 kWj. Dari segi…