Pandu Uji: Volvo XC40 T5 R-Design - SUV Scandinavia muda untuk generasi muda!

oleh Mohamad Hanif|
Jika dilihat kepada trend pemilikan semasa, SUV kini menjadi pilihan utama para pembeli, jauh melebihi segmen-segmen kenderaan yang lain.

Disebabkan peningkatan trend inilah kebanyakan pengeluar automotif berlumba-lumba untuk menawarkan SUV tersendiri daripada yang bersaiz kecil sehinggalah kepada SUV bersaiz penuh, semuanya demi memenuhi kehendak pelanggan.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02


Walaupun Volvo XC40 ini hadir cukup lewat (tahun 2017) berbanding abang-abangnya XC90 dan XC60, sambutan yang diberikan oleh orang ramai cukup memberangsangkan terutama di pasaran luar negara. 

SUV kecil yang memenangi anugerah European Car of the Year ini dikhabarkan terpaksa ditambah kapasiti produksinya memandangkan permintaan yang cukup tinggi. 
 


Di Malaysia, Volvo XC40 sudah pun selesai dilancarkan pada Oktober tahun lalu dan kami turut diberikan peluang memandu uji SUV subkompak mewah ini. 

Model pemasangan tempatan (CKD) Volvo XC40 hanya hadir dalam satu varian sahaja, iaitu T5 R-Design dengan harga jualan bermula dari RM255,888 sahaja, tidak termasuk insurans. 

Satu perkara yang cukup untuk membuatkan penulis jatuh hati kepada Volvo kembali (selepas era kotak) ialah reka bentuk luaran hampir setiap model yang semakin bertambah baik. 

Ibarat seperti anda mempunyai seorang isteri semakin hari semakin cantik jelita bak bidadari, dan perasaan cinta tersebut tidak pernah padam dan terus kekal membara. 
 


Begitulah halnya ketika penulis pertama kali diperkenalkan secara berhadapan dengan XC40 ini. 

Pandang kali pertama, sudah jatuh cinta. 

Rekaan yang cukup minimalis namun masih menghadirkan rasa mewah dan elemen bahasa rekaan Scandinavia kepada diri pemiliknya. 
 


Menambahkan seri kepada SUV ini ialah rekaan signatur lampu nyalaan siang tukul Thor jenis LED pada lampu utama dan rekaan ala-ala boomerang pada bahagian belakang. 

Rekaan yang tidak keterlaluan, namun masih menonjolkan imej sebuah SUV Volvo. 

Kit badan R-Design menghiasi segenap ruang luar dan dalam SUV ini bagi menambahkan elemen sporty dan perisa tersebut dihiasi layangan warna dua tona dengan bumbung berwarna hitam. 
 


Memasuki ruang dalaman pula, tempat duduk balutan kulit Charcoal Leather dan Nubuck menyambut kehadiran pemandu, dan didatangkan dengan ciri boleh laras berkuasa eletrik dan fungsi memori bagi tempat duduk pemandu. 

Papan pemuka pula kekal minimalis dengan paparan instrument daripada jenis digital dan sebuah skrin multimedia bersaiz tablet diletakkan di bahagian tengah. 

Di sini, segala tetapan kenderaan boleh diakses dan dimatikan mengikut keperluan, dan daripada pengamatan sepanjang lima hari pemanduan, ia mampu memberikan paparan yang jelas walaupun digunakan ketika panas terik.
 


Namun, usah risau sekiranya anda ralat untuk menggunakan tetapan pada skrin sentuh, kerana Volvo XC40 juga turut mempunyai butang fizikal di bahagian stereng dan bahagian tengah konsol untuk mengawal kandungan multimedia. 

Kualiti audio yang dihasilkan juga amat baik dengan kehadiran lapan buah speaker di sekeliling kabin. 

Antara ciri moden yang disertakan pada bahagian kabin ialah fungsi pengecasan tanpa wayar Qi untuk peranti pintar. 

Jadi, anda yang memiliki peranti pintar dengan keupayaan ini bolehlah mengucapkan selamat tinggal kepada wayar USB yang berselirat. 
 


Ruang penumpang belakang SUV ini sebenarnya banyak mengingatkan penulis kepada sebuah SUV coupe buatan Jepun, di mana keadaan bukaan tingkap yang sedikit kecil mungkin akan menimbulkan rasa lemas bagi mereka yang mengalami claustrophobia atau alahan kepada tempat yang kecil. 

Namun, dalam pengamatan penulis, ia tidaklah seteruk yang disangka memandangkan ruang kepala yang ditawarkan adalah cukup luas dan tidak mendatangkan masalah sekiranya mahu duduk lama di bahagian belakang.

Menjadikan XC40 ini lebih sesuai digunakan sebagai kenderaan harian, ruang kargo sebesar 460 liter boleh diakses menggunakan but berkuasa elektrik yang boleh dikawal menerusi kunci. 

Nak lagi luas? Lipat tempat duduk baris kedua dan nah!  Ruang kargo sebesar 1,336 liter bersedia untuk memuatkan apa jua barangan Ikea. 
 


Atas kertas, enjin berkod B4204T18 2.0 liter Drive-E empat silinder sebaris turbo ini mampu menghasilkan 252 kuasa kuda dan 350 Nm daya kilas (bermula dari 1,800 rpm) yang disalurkan kepada pacuan semua roda menerusi transmisi auto 8 nisbah kelajuan daripada Aisin.

Pemanduan di atas jalan raya pula sebenarnya amat baik sekiranya anda bukan jenis yang suka acah-acah laju di laluan paling kanan (tapi sebenarnya laju juga). 

Namun, ketika diterjemahkan kepada penggunaan yang sedikit agresif, penulis mendapati terdapat sela masa yang diperlukan sebelum kuasa tersebut benar-benar boleh digunakan oleh SUV ini. 

Volvo XC40 turut hadir dengan lima mod pemanduan termasuklah mod off-road, yang mana ia boleh mengubah kadar respons stereng dan suspensi mengikut kesesuaian mod yang digunakan. 
 


Untuk pengendalian ketika kelajuan rendah, penulis secara peribadi amat kurang menggemari rasa stereng elektrik yang terlalu ringan dipadankan untuk sebuah SUV, namun perasaan ini cepat-cepat hilang apabila ia memasuki kelajuan yang sepatutnya. 

Kadar penyerapan hentakan juga memuaskan untuk pemanduan di dalam dan luar bandar, terima kasih kepada penggunaan MacPherson strut di hadapan dan Multilink di belakang.

Namun, apabila SUV ini mula memasuki selekoh dalam kelajuan yang masih dibenarkan, XC40 rasa sedikit beroleng. 

Mujur juga penulis pujuk hati dengan menyatakan ia sebuah SUV dan bukan sebuah hot hatch Volvo yang penulis pernah pandu sebelum ini. 
 


Ciri Pilot Assist merupakan antara ciri pemanduan semi-autonomi yang hadir pada XC40 ini, ditambah pula dengan ciri kawalan pelayaran adaptif sebenarnya membantu anda untuk merehatkan minda sebentar terutama ketika perjalanan jauh. 

Memasuki kawasan bandar pula, sistem radar yang hadir mampu mengesan jarak kereta hadapan yang berhenti, sekaligus akan menghentikan SUV ini dengan serta merta, tanpa perlu anda menekan brek dengan kerap. 

Harus diingat, ciri yang disebutkan diatas bukanlah bertujuan untuk menggantikan peranan pemandu sepenuhnya ya. 

Secara purata, kadar penggunaan bahan api yang dicapai menerusi penggunaan di lebuhraya, jalan raya biasa dan di dalam bandar mampu memberikan bacaan sekitar 8.8 liter/100 km, tidaklah keterlaluan jika dibandingkan dengan bacaan rasmi 7.7 liter/100 km. 
 


Sebagai sebuah Volvo yang masih muda, ciri keselamatannya juga cukup lengkap, pendek kata apa yang abang-abangnya ada, itulah yang ada pada SUV ini.  

Memandangkan Volvo V40 yang pernah kami pandu uji sebelum ini telah dikeluarkan daripada senarai, ia sekaligus menobatkan Volvo XC40 dengan harga RM255,888 ini sebagai Volvo paling mampu milik yang berada di pasaran pada ketika ini. 

Jadi, melihatkan kepada pakej yang ditawarkan, dan melihatkan kepada pesaing-pesaing yang terdekat (kecuali SUV bau-bau bacang tempatan), adakah Volvo XC40 T5 ini sesuai untuk anda?.

 


Spesifikasi ringkas Volvo XC40 T5 AWD R-Design

Enjin: empat silinder sebaris Drive-E 2.0 liter (1969 cc), induksi pendesak turbo
Kuasa: 252 hp/350 Nm
Sistem pacuan: AWD
Transmisi: Automatik lapan nisbah kelajuan
Pecutan 0-100 km/j: 6.4 saat
Penggunaan bahan api: 7.7 liter/100 km (NEDC)
Kapasiti tangki: 54 liter
Kapasiti kargo: 460 liter (mampu dibesarkan sehingga 1336 liter)
Ciri keselamatan aktif: Pilot Assist, Kawalan Pelayaran Adaptif, City Safety yang merangkumi Mitigasi Pelanggaran Autonomi, Pengesan Pejalan Kaki, Pengesan Binatang Besar, Oncoming Lane Mitigation, Run-off Road Protection and Mitigation, Amaran Lintasan Trafik, Bantuan Pengekalan Laluan, Bantuan Parkir, serta Amaran Informasi Titik Buta. 
Ciri keselamatan pasif: tujuh buah beg udara diberikan, selain daripada ciri ABS, EBD, Traction Control, serta cagak ISOFIX bagi kerusi kanak-kanak di bahagian belakang. 

Harga: RM255,888.00 atas jalan tanpa insurans.

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Hadir sebagai generasi kedua, The New All-Electric MINI Cooper menampilkan prestasi dan jarak gerak…
Informasi
Minggu lalu, GWM Malaysia telah mengumumkan harga jualan bagi Tank 300 ini yang diimport sepenuhnya…
Kereta
VW Touareg merupakan SUV pertama bagi jenama VW, tetapi ia seolah-olah ‘underated’ bagi kalangan…