Pandu Uji: Volvo V60 Recharge T8 2022 - wagon yang 'sempurna'

oleh Mohamad Hanif|
Tahun ini, memang banyak kejutan yang penulis dan rakyat Malaysia dapat rasakan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

1. Kejutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut sehari lebih awal berbanding tarikh kalender kuda.
2. Kejutan jalan raya yang semakin sesak, almaklumlah masing-masing sudah berkereta.
3. Kejutan cuti raya yang panjang - Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu.

Namun, perkara yang paling buatkan penulis tidak sangka untuk musim cuti raya kali ini adalah peluang keemasan memandu uji sendiri sebuah kereta idaman.

Sebuah kereta yang paling penulis nanti-nantikan.

Sebuah kereta yang sangat sempurna untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk tahun ini.

Dengan tidak semena-mena, irama lagu Raya Yang Sempurna nyanyian Awie menerjah masuk ke dalam gegendang telinga.

 

Volvo V60 Recharge T8 2022.

V60


Secara peribadi, penulis tidak meletakkan harapan yang tinggi menggunung pada sebuah wagon Volvo.

Ini kerana tidak seperti pesaingnya yang tidak berani membawakan model genre sedemikian, Volvo yang kita ketahui merupakan pengeluar yang mementingkan tahap keselamatan yang cukup tinggi untuk setiap modelnya, walaupun untuk sebuah wagon.

Penulis juga tidak mengharapkan talaan pemanduan yang sporti, memandangkan ia secara asasnya merupakan sebuah wagon. Tidak juga mengharapkan penampilan yang super agresif, sebab ia sebuah wagon.

Apa yang penulis harapkan, ia sebuah kereta keluarga yang sangat selesa.
 

Volvo


Namun, sangkaan awal penulis meleset.

Sejak mula penulis memegang stereng, sehinggalah saat akhir kereta Volvo V60 tersebut dipulangkan semula, ia seakan satu perasaan yang kurang memuaskan.

Kurang puas bukan sebab Volvo ini tidak sedap dipandu, tapi kurang puas kerana penulis merasakan tempoh seminggu itu sebenarnya tidak mencukupi.

Apa yang Volvo cuba tawarkan pada V60 ini adalah trenkuasa plug-in hybrid (PHEV) yang terdiri daripada enjin 2.0 liter dengan induksi paksaan turbo dan supercharger, ditambah pula dengan bantuan motor elektrik.
 

V60


Secara keseluruhan, angka output V60 Recharge T8 ini mampu mencecah 407 hp dan daya kilas 640 Nm, cukup-cukup senang untuk memalukan mana-mana kereta bawah 100 hp yang acah laju dan suka mencucuk di laluan kanan lebuh raya.

Talaan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan juga cukup memadai, membawakan pengedaran kuasa yang terus kepada empat roda tanpa ada sebarang perasaan malas.

Tiada talaan suspensi yang keras seperti jenama pesaing, apa yang Volvo V60 tawarkan adalah tetapan yang selesa, namun masih lagi boleh melayan selekoh dan jalan-jalan yang tidak rata dengan baik tanpa menyebabkan pemandu berpeluh akibat bersilat dengan stereng.

Kerusi depan menawarkan sokongan ergonomik yang cukup baik bukan sahaja untuk pemandu, malah penumpang di sebelah juga turut 'mengadu' kereta ini sangat selesa untuk perjalanan jauh, jauh lebih sedap berbanding kereta hitam yang ada di dalam garaj rumah.

Emmm.. terus dapat lampu hijau nampaknya.
 

V60


Terdapat beberapa mod pemanduan yang ditawarkan pada Volvo V60, seperti:

  • Constant AWD - pacuan semua roda
  • Pure - pemanduan yang lebih menjimatkan
  • Hybrid - kegunaan setiap hari
  • Individual - boleh ditetapkan mengikut keperluan
  • Power - pemanduan yang lebih sporti

Namun penulis lebih teruja memilih mod Power sebagai mod pemanduan lalai (default) sepanjang masa, dan untuk mereka yang merasa bimbang kapasiti bateri menurun dengan cepat biarpun menggunakan mod Hybrid, usah risau.

Ini kerana Volvo turut menyertakan fungsi 'Hold' untuk mengunci bateri berkapasiti 11.6 kWh itu daripada digunakan secara terus oleh kereta.

Ini satu ciri yang sangat berguna, terutama bagi mereka yang pulang ke kampung halaman dan sukar untuk mencari soket kuasa yang berdekatan dengan tempat parkir, seperti kampung penulis.
 

V60


Untuk mengecas kembali bateri ini cukup mudah, jika anda sukar mencari soket kuasa di mana-mana, terdapat fungsi 'Charge' di mana kuasa daripada enjin 2.0 liter itu akan disalurkan secara terus kepada pek bateri, dan kadar pengecasannya boleh dikatakan agak pantas berbanding menggunakan soket kuasa domestik itu tadi.

Cuma kekurangannya, kuasa pemanduan dirasakan kurang bertenaga apabila fungsi Charge itu diaktifkan. Namun ia bukanlah terlalu lemau sehinggakan kereta malas untuk bergerak.

Terima kasih kepada trenkuasa PHEV itu tadi, anda boleh mencapai kelajuan 100 km/j dari pegun dalam masa 4.6 saat sahaja, dan tipikal sebuah kereta Volvo, kelajuan maksimum yang boleh dicapai adalah sekitar 180 km/j sahaja.
 

V60


Untuk mencapai kelajuan cruising di lebuh raya bukanlah satu perkara yang sukar, namun penulis terpaksa menahan diri sepanjang tempoh pandu uji disebabkan banyak kereta di atas jalan raya (dan mata-mata polis yang memerhati).

Karakter sebenar V60 ini sebenarnya lebih terserlah apabila anda mula keluar dari lebuh raya dan melayan laluan-laluan dalam yang berselekoh bagi mengelakkan kesesakan trafik di laluan utama.

Selain daripada respons stereng yang cukup berat untuk menentukan arah tuju wagon ini, ia juga turut dibantu dengan talaan sistem suspensi tanpa menyebabkan penumpang rasa teroleng-oleng walaupun wagon sedang dibelasah dengan agresif (masih dalam keadaan yang selamat) di jalan yang berliku.

Seperkara lagi disebabkan trenkuasa plug-in hybrid, Volvo V60 juga mampu bergerak dalam keadaan sifar emisi tanpa menggunakan setitik petrol sejauh 49 km.

Senang cerita, Volvo V60 ini sebenarnya mampu menjadi sebuah sleeper yang sebenar, kerana ia sebenarnya menyembunyikan potensi kuasa yang terpendam di sebalik rupa paras yang cukup menawan itu.
 

V60


Ya, sebut pasal rupa paras, apa yang penulis boleh katakan, ia adalah sebuah station wagon dan model Volvo yang paling cantik pernah ditawarkan oleh Volvo Car Malaysia.

Tanpa perlu menyertakan sekali elemen agresif, Volvo berjaya menjadikan sebuah wagon yang cukup sempurna seiring dengan falsafah rekaan Volvo yang minimalis, dan tidak syak lagi ia adalah sebuah Volvo yang sejati.
 

V60


Lampu depan dengan DRL tukul Thor, lampu belakang yang menawan, dan bentuk wagon moden yang paling cantik di dalam pasaran.

Setiap kali penulis selesai meletakkan kereta dalam kotak parkir, penulis tidak akan melepaskan peluang untuk menatap kembali wagon ini dari jarak dekat, sehinggalah ia hilang dari pandangan.

Ibarat seorang pria yang jatuh cinta buat kali pertama dan terpesona dengan kecantikan si gadis yang cukup sempurna itu.
 

V60


Penampilan yang serba ringkas itu juga turut dibawakan pada bahagian ruang kabin, di mana V60 menawarkan susun atur yang serba ringkas tanpa kehadiran butang-butang fungsi yang menyemakkan.

Tiada sebarang sistem pencahayaan ambien LED yang berat dimuatkan pada ruang kabin, sebaliknya anda hanya akan ditemani dengan cahaya iluminasi daripada tombol gear kristal Orrefors Sweden yang cukup sedap untuk dipegang itu.

Jadi, jika anda rasa muak dengan penawaran sistem pencahayaan ambien mengalahkan disko pada sesetengah kereta, mungkin anda patut sedar yang diri anda sudah pun bertambah usia - macam penulis.

Di hadapan pemandu, terdapat skrin bersaiz 12.3 inci dan ditambah pula dengan skrin infotainmen menegak bersaiz 9.7 inci.
 

V60


Sama seperti susun atur pada papan pemuka, susun atur menu pada skrin tengah ini juga cukup ringkas, dengan ikon yang besar dan tulisan yang mudah dibaca, menjadikan ia amat mudah untuk digunakan oleh sesiapa sahaja.

Paparan menu juga turut bersifat 'straight to the point', apa yang anda mahukan itulah yang dipaparkan pada skrin.

Sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto masih lagi tersedia untuk Volvo V60, namun sayangnya ia masih lagi kekal dengan sambungan berwayar.
 

V60


Lantunan muzik menerusi sistem audio Harman Kardon (16 pembesar suara) juga sangat mengasyikkan, apatah lagi bila penulis mula memilih playlist lagu-lagu raya serta lagu rock lama.

Tahap NVH (kebisingan, gegaran, hingar) ruang kabin V60 ini juga berada di tahap minimum, di mana bunyi bising daripada luar (terutama bunyi angin) langsung tidak memberikan kesan kepada irama lagu yang dimainkan, juga tidak menyebabkan penumpang disebelah terjaga daripada tidur yang lena.
 

V60


Satu kekurangan yang nyata, disebabkan Volvo V60 didatangkan dengan sistem pacuan semua roda, tetapan ini telah mengorbankan sedikit ruang untuk meletakkan barang di bahagian tengah, terutama pada bahagian tempat merehatkan lengan.

Selain daripada slot pengecasan USB, ruang tersebut hanya menawarkan kapasiti yang cukup untuk meletakkan peranti pintar sahaja.

Namun, kekurangan tersebut bukanlah satu kelemahan yang nyata, ini kerana Volvo V60 mempunyai kelebihan yang tersendiri, iaitu ruang kargo sebesar 529 liter yang cukup-cukup besar untuk memuatkan barangan dan beg untuk balik kampung.

Tidak cukup?
 

V60


Usah risau kerana kerusi baris kedua boleh dilipat rata dan anda boleh menikmati ruang sebesar 1,441 liter di belakang tempat duduk hadapan.

Ruang belakang itu juga turut didatangkan dengan ciri kemudahan cangkuk barangan, serta penghadang yang boleh dilipat bagi memastikan barangan di ruangan kargo itu tidak berselerak.

Peluang cuti beberapa hari turut dimanfaatkan oleh penulis dan isteri untuk memuatkan segala macam barang keperluan untuk berjalan merentas beberapa buah negeri (Selangor - Pahang - Negeri Sembilan - Melaka - Johor), dan ternyata wagon Volvo V60 ini langsung tidak mengecewakan.

Mujur banyak kedai kegemaran tutup, kalau tidak mungkin penulis terpaksa memasang kotak bumbung Thule di atas wagon ini.
 

V60


Dari segi keselamatan, Volvo V60 membawakan kelengkapan Intellisafe yang panjang senarainya, seperti:

  • City Safety
  • Pilot Assist
  • Bantuan Pengelakan Lorong
  • Kawalan Jelajah Adaptif
  • Bantuan Parkir
  • Informasi Papan Tanda
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang
  • Amaran Tumpuan Pemandu
  • Sistem Informasi Titik Buta
  • Amaran Pelanggaran Belakang

Volvo V60 turut didatangkan dengan ciri pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar di mana ia sememangnya amat berguna ketika anda melalui jalan-jalan luar bandar di mana sekali-sekala kereta akan disapa dengan geng-geng basikal dan haiwan ternakan yang meliar.

Ciri yang gemar penulis aktifkan pada sesebuah kereta Volvo ketika sedang mengembara atas lebuh raya dan jalan bandar adalah Adaptive Cruise Control dengan ciri Low Speed Follow, di mana ciri ini membolehkan anda merehatkan seketika kaki anda dan dalam masa yang sama masih lagi mengekalkan kawalan pada roda stereng.

Ini kerana Volvo V60 akan sentiasa mengingatkan pemandu supaya kekal memegang stereng dalam apa jua keadaan, walaupun ciri ACC itu diaktifkan.
 

V60


Satu lagi ciri penting yang membuatkan penulis amat yakin dengan tahap keselamatan sebuah kereta Volvo adalah Pre-Prepared Restraint (PRS).

Di dalam keadaan apabila sistem mengesan kereta mula berada di luar kawalan seperti contoh kereta melambung seketika, sistem PRS ini akan segera mengetatkan ikatan tali pinggang keledar bagi memastikan pemandu dan penumpang kekal berada di tempat masing-masing.

Faham-faham je lah bila pulang ke selatan tanah air terutama jalan kampung di Muar, ada sesetengah seksyen tu dah macam Special Stages sukan rali!
 

V60


Ciri kamera 360 darjah juga sangat membantu terutama ketika sedang meletakkan kereta dalam kotak parkir, memandangkan dimensi wagon ini yang agak panjang, tapi bagi mereka yang sudah terbiasa dengan kereta-kereta yang panjang tidak akan berhadapan dengan masalah untuk mengendalikan V60 ini.

Kesimpulannya, keseronokan pengendalian dan ciri yang ditawarkan pada Volvo V60 Recharge T8 ini membuatkan penulis rasa agak keberatan untuk memulangkan kembali wagon ini kepada Volvo Car Malaysia.

Bagi penulis, Volvo V60 adalah sebuah kereta yang sempurna, biarpun ia tidak mempunyai banyak jajan-jajan merepek yang adakalanya hanya digunakan sekali dua sahaja.
 

V60


Yang paling penting, Volvo V60 Recharge T8 kini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) Shah Alam yang anda boleh beli baru pada harga bermula dari RM286,909.

Tak banyak pengeluar di Malaysia yang berani menawarkan wagon disebabkan permintaan yang kurang memberangsangkan.

Bagi anda yang sudah mula bosan dengan penawaran SUV yang ada di pasaran, wagon seperti V60 ini satu kereta yang sangat sesuai untuk dibeli.

Jika duit bukan faktor penghalang, penulis tidak akan teragak-agak untuk membeli V60 ini, dan mungkin akan meminta Volvo supaya buatkan satu varian V60 ICE tulen tanpa kehadiran sistem plug-in hybrid.
 

V60

 

Spesifikasi ringkas Volvo V60 Recharge T8 2022
Enjin: 2.0 liter dengan turbocharger dan supercharger
Kuasa: 316 hp @ 5,700 rpm, 400 Nm @ 1,200-5,400 rpm
Motor elektrik: 86 hp, 240 Nm
Output gandingan: 407 hp, 640 Nm
Transmisi: Automatik Aisin lapan kelajuan
Pecutan 0-100km/j: 4.6 saat
Pek bateri: 11.6 kWh
Jarak sifar emisi: 49 km
Binaan: CKD Shah Alam
Harga: RM286,909

Berita Berkenaan

Berita Global
Pengakhiran nadi diesel Volvo menyaksikan sebuah SUV XC90 terakhir berwarna biru dengan enjin…
Berita Global
  Volvo membangunkan Accident Ahead Alert bagi membantu pemandu mengelak pelanggaran dan…
Berita Global
Seorang peminat tegar Lego, David Gustafsson kini merealisasikan meme tersebut dengan menghasilkan…