Pandu Uji Toyota Vios 1.5G - Evolusi sedan aras mula rakyat Malaysia

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Perkataan Vios diambil daripada perkataan Latin yang membawa maksud "To Move Forward" dan secara kebetulan pula, ia pernah menjadi slogan bagi UMW Toyota Motor sebelum ini. 

Sejak daripada pengenalan buat pertama kali Vios pada tahun 2002, sedan segmen B tersebut ternyata mencuri tumpuan setiap kali edisi baharu diperkenalkan kepada umum. 

Baik yang versi panel instrument di tengah papan pemuka, sehinggalah kepada Vios Dugong dan kali ini, Vios facelift untuk generasi ketiga kini tampak lebih moden. 

Jadi, adakah dengan Vios 2019 ini benar-benar satu langkah 'move forward' dari Toyota? 
 


Senang cerita, dengan pengenalan Vios 2019 ini sebenarnya boleh membuatkan pengeluar lain tidak senang duduk. 

Manakan tidaknya, ciri-ciri yang ada pada kereta-kereta mewah dan segmen yang lebih besar sudah mula muncul pada sebuah sedan segmen B. 

Careta diberikan peluang untuk memandu uji sendiri Toyota Vios 1.5G versi facelift ini, dan berikut merupakan input kami. 

Ramai yang menyangka Toyota Vios 'serba baharu' ini menggunakan platform baharu, memandangkan Toyota sendiri sudah ada TNGA yang lebih moden. 


 


Namun, ia sebenarnya masih mengekalkan platform generasi ketiga dan diberikan penambahbaikan dari segi luaran, sekaligus menampakkan ia macam model baharu. 

Rekaan eksterior diambil inspirasinya daripada Yaris ATIV, seperti lampu utama yang memanjang ke sisi, posisi lampu nyalaan siang DRL yang sedikit tinggi, dan rekaan bumper hadapan yang baharu (jika dibandingkan dengan Vios terdahulu). 

Tiada sebarang garis-garis badan yang tajam dilihat pada bahagian luaran Vios baharu ini.

Lampu belakang juga direka supaya memanjang bagi menyeimbangkan rekaan hadapan, dan kekal dengan penawaran lampu kabus yang cukup-cukup-cukup-cukup terang di bahagian bawah (dan kekal disalahguna oleh sesetengah pemandu). 
 


Tampak ranggi dan moden sebenarnya bila melihat Vios ini dari belakang di waktu malam dengan lampu LED-nya yang ala-ala Altis itu. 

Dengan dimensi yang sedikit memanjang, lebar dan tinggi itu, jarak antara roda pula masih kekal tidak berubah pada 2,550 mm. 

Pun begitu, secara keseluruhannya rekaan luaran Vios ini nampak seimbang, dan bukan lagi macam Vios dugong, ditambah pula dengan skirting hadapan, sisi, belakang dan spoiler dua tona. 
 


Kemasan di ruang dalaman juga sudah menampakkan evolusi tersendiri untuk Vios. 

Paparan meter juga lebih kemas, namun masih terdapat elemen klasik seperti punat menetapkan masa di sebelah kehadiran paparan info berbilang digital itu. 

Dari ruang tempat duduk pemandu, segala butang fungsi mudah untuk dicapai, terutama ketika menukarkan suhu dan kelajuan kipas yang adakalanya bertindak seperti peti sejuk skala industri, walaupun di tetapan yang biasa penulis buat pada kereta lain.

Akan tetapi, penulis suka kombinasi elemen moden dan klasik yang didapati pada Vios ini. 
 


Sebut pasal dimensi itu tadi, walaupun dengan jarak antara roda yang tidak berubah, keluasan ruang kabin masih lagi menjadi resipi utama Toyota untuk para pembeli. 

Untuk penumpang belakang pula, ruang kaki masih lagi besar dan mencukupi dan ruang kargo sebesar 506 liter yang mampu memuatkan apa jua barangan anda ketika balik kampung.

Perehat tangan merupakan satu ciri yang ada kalanya kerap diketepikan bagi sedan segmen B, oleh kerana kekangan dan batasan ruang yang ada. 

Namun, Vios 2019 ini tetap hadir dengan ciri perehat tangan yang menutupi ruang simpanan yang agak kecil, bolehlah daripada tiada langsung kan? 
 


Sistem hiburan pula didatangkan dalam bentuk unit skrin sentuh dengan elemen lampu warna-warni kehidupan, dan penulis kira apa yang ditawarkan oleh Vios ini memadai untuk harganya. 

Cuma anda harus tahu bahwa imej yang diberikan oleh bantuan kamera keliling agak tidak tajam, dan jika anda bergantung semata-mata pada sistem ini, anda mungkin akan tersalah mengagak jarak. 

Jadi, untuk jalan yang selamat, penulis menggunakan cara manual (rujuk pada cermin sisi) ketika hendak memarkir kereta ini, dan menggunakan ciri paparan kamera ini sebagai bantuan sahaja bagi mengelakkan gambar salah parkir masuk page Facebook. 

Oh, Vios ada kamera 360 darjah?

Ya, benar tuan-tuan!
 


Sedan segmen B dari Toyota ini sudah pun dilengkapi dengan ciri yang biasa kita lihat pada kereta segmen yang lebih besar dan mewah. 

Ia akan masuk ke paparan keliling tatkala anda menukar ke gear undur, atau boleh menekan punat PVM di bahagian bawah. 

Tambah lagi, ia turut dilengkapi dengan ciri pemantauan lintasan trafik belakang (RCTA) dan titik buta yang membantu sekiranya kita tidak perasan kehadiran sesuatu ketika mengundurkan kenderaan. 

Antara ciri yang buat pengeluar lain panas punggung seketika. 
 


Unit enjin pula masih kekal dengan 2NR-FE yang sama seperti yang sama terdapat pada model Vios terdahulu, namun hadir dengan transmisi CVT tujuh nisbah kelajuan. 

Atas kertas, ia mampu menjana 107 PS dan 140 Nm yang memacu roda hadapan, tiada sebarang masalah untuk menggerakkan sedan segmen B ini. 

Namun, bagaimana pula pengalaman pemanduan? 

Dari segi pengedaran kuasa sejak pedal mula ditekan, transmisi CVT bertindak dengan cemerlang memastikan kuasa tersebut disalurkan kepada roda tanpa sebarang sela masa yang ketara. 
 


Cuma anda perlu bersabar dengan ngauman CVT yang adakalanya seakan tercari-cari nisbah gear yang sesuai, dan jalan yang mudah, gunakan sahaja paddle shifter yang terdapat di balik stereng. 

Bagi penulis, bagi mereka yang kaki lenjan, elakkan sahaja mod ECO dan kekal dengan mod pemanduan yang biasa, kerana dalam mod hijau ini respons enjin akan dihadkan bagi memastikan penggunaan bahan api yang lebih jimat. 

Nak lebih, pilih sahaja mod Sport dan paddle shifter yang ada. 

Atas jalan raya, pemanduan dirasakan selesa, cuma talaan suspensi agak lembut dikhususkan lebih kepada keselesaan penumpang. 

Kadar cengkaman yang diberikan oleh tayar Toyo Proxes R50 juga sangat baik di jalan biasa mahupun ketika hujan melanda.  
 


Cuma penulis tidak dapat menikmati pemanduan yang lebih sporti kerana talaan kepada sterengnya seakan tidak begitu menjadi disebalik imejnya yang sporti itu. 

Paling ketara, ketika hendak memasuki ruang parkir pusat membeli belah di mana penulis tidak dapat melakukan placement dengan baik lantaran putaran stereng yang dirasakan sedikit lambat. 

Entah kenapa, kembarnya Yaris Janna Nick terasa lebih seronok dipandu terutama di kawasan-kawasan yang berbukit. 

Namun, prestasi dan kuasa brek yang ditawarkan senang untuk dikawal terutama ketika brek kecemasan, terima kasih kepada penggunaan brek cakera di keempat-empat sudut.
 


Secara purata, berdasarkan pemanduan yang bercampur-campur (sopan dan lenjan), penulis berjaya mendapatkan bacaan penggunaan bahan api sekitar 16.9 km untuk setiap liter yang dibakar, atau 5.9 liter untuk setiap 100 km

Tidak lari jauh daripada bacaan rasmi 5.8 liter/100 km yang dibekalkan oleh Toyota. 

Jadi, adakah Vios 2019 ini berbaloi untuk setiap wang yang anda belanjakan? 

Jika anda merupakan seorang yang praktikal, tidak mahu membelanjakan wang yang lebih untuk petrol dan kekal selamat di atas jalan, Vios 2019 merupakan antara calon  yang sesuai untuk dijadikan sebagai kereta keluarga. 
 


Dengan harga varian tertinggi Vios 1.5G yang bermula dari RM87,300, anda boleh mendapatkan sebuah sedan segmen B dengan kelengkapan seperti tujuh beg udara SRS, ABS, EBD, VSC serta tambahan ciri amaran pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan kamera keliling!

Bagi penulis, tiga ciri terakhir yang disebutkan tadi merupakan game-changer terhadap persaingan sedan mampu milik di bawah julat RM100,000. 

Mungkin bagi sesetengah orang, ia bukanlah sedan yang menawarkan dinamik pemanduan yang terbaik, dan bukanlah paling moden dan mewah, akan tetapi, ia menawarkan pakej yang bernilai yang sukar untuk didapati pada pesaing-pesaingnya. 

Dan sudah pasti, Toyota Vios 2019 'As Never Before'!
 


Spesifikasi Toyota Vios 1.5G 2019

Enjin 
2NR-FE empat silinder sebaris Dual-VVTi

Kuasa
107 PS, 140 Nm

Transmisi
CVT tujuh nisbah kelajuan dengan mod Sport dan paddle shifter

Pacuan
Roda hadapan

Suspensi hadapan
MacPherson

Suspensi belakang
Torsion beam

Saiz tayar 
195/50 R16 Toyo Proxes R50

Saiz rim
16 inci

Ciri keselamatan
7 beg udara SRS (termasuk beg udara lutut), ABS, EBD, VSC, Bantuan Mula Mendaki, Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, kamera 360o

Harga
RM87,300 atas jalan tanpa insurans

Berita Berkenaan

Informasi
Bukan itu sahaja, sejak generasi pertama diperkenalkan pada tahun 2003, ia kekal menjadi sedan…
Sukan Bermotor
Perlumbaan 1 pada hari Sabtu (3 Jun) menyaksikan pelumba muda memberikan saingan sengit kepada…
Sukan Bermotor
2 perlumbaan pusingan 2 yang berlangsung pada hujung minggu lepas (19-21 Mei) di Chang…