Pandu Uji: Toyota Veloz 2022 - terbaik bawah RM100k?

oleh Mohamad Hanif|
Penulis percaya, saat artikel ini masih ditaip tanpa kehadiran perenggan-perenggan isi penting dan penutup, masih lagi wujud perdebatan di laman media sosial berkenaan kebaikan model Veloz berbanding 'kembarnya' Perodua Alza yang jauh lebih murah itu.

Hakikatnya, kedua-dua model berkongsi platform Daihatsu New Global Architecture yang sama, sistem pacuan yang sama, enjin yang sama, susun atur kabin yang hampir sama, malah dipasang dalam kilang yang sama!
 

Alza veloz


Golongan BB (baik beli) akan mempertikaikan lebihan RM20,000 yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seseorang semata-mata untuk mendapatkan sebuah MPV yang bagus.

Namun di mata penulis, Veloz tetap mempunyai kelebihan yang tersendiri, biarpun ia jauh lebih mahal.
 

Veloz


Lebih penting, Veloz sebenarnya cuba untuk melawan sebuah lagi MPV dalam segmen bawah julat RM100,000, dan bukannya Alza.

Berikut merupakan input ringkas penulis berdasarkan pandu uji yang dibuat tempoh hari:

 

1. Kuasa yang memadai untuk membawa seisi keluarga

veloz


Sama macam Alza, Veloz 2022 dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris 2NR-VE 1.5 liter.

Kuasa yang dihamburkan juga adalah hampir serupa, 105 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 138 Nm @ 4,200 rpm.

Tiada penawaran transmisi manual pada kedua-dua model, sebaliknya hanya dibekalkan dengan transmisi D-CVT yang memacu roda depan.
 

Veloz


Berdasarkan pemanduan solo, penulis langsung tidak berdepan dengan masalah kekurangan kuasa apabila MPV ini dipandu dengan sopan.

Malah, dengan kehadiran sehingga enam orang penumpang di belakang, Veloz masih lagi gagah bergerak tanpa menunjukkan perasaan malas hari Isnin anda.

Kekurangan itu hanyalah dirasai sewaktu kaki kanan anda terlalu berat mengikut daya tarikan graviti bumi untuk memotong lori treler lapan belas tayar di depan.

 

2. Selesa!

Veloz


Veloz memang selesa, dan sesuai digunakan untuk anda yang memiliki keluarga enam atau tujuh orang.

Untuk yang tertanya-tanya, kerusi baris ketiga itu sebenarnya lebih sesuai digunakan oleh golongan kanak-kanak, atau orang dewasa dengan saiz badan yang kecil.

Walaupun Veloz diberikan jarak kelegaan bumi sehingga 190 mm (30 mm lebih tinggi berbanding Alza), ia tidak langsung memberikan kesan kepada keselesaan pemanduan seharian.
 

Veloz


Ternyata, kelebihan itu memberikan Veloz lebih pergerakan suspensi untuk menyerap segala macam hentakan dan jalan yang tidak rata di bumi yang kaya dengan flora dan fauna ini.

Keselesaan itu dibantu dengan ciri kehadiran corong pendingin hawa untuk penumpang baris belakang yang boleh didapati pada bumbung Veloz.

Jadi orang belakang tidak langsung mengadu panas sepanjang perjalanan, terima kasih kepada sistem pendingin hawa yang sangat cemerlang itu.

Selesa, itu sudah pasti namun anda pasti tidak akan menduga poin seterusnya yang akan penulis tekankan sebentar lagi.

 

3. Sedap melayan selekoh

Veloz


Kebiasaannya, penulis tidak gemar untuk menguji pengendalian MPV keluarga - rata-ratanya memang tidak sedap langsung, dan tidak ramai pun yang arif tentang aspek ride & handling sesebuah MPV.

Tapi untuk Veloz kali ini, walaupun dengan respons stereng yang sedikit 'kureng' mengikut pendapat peribadi, Veloz sebenarnya boleh menjadi lincah dan lebih stabil di jalan berselekoh terutama di jalan dalam.
 

Veloz


Satu kelebihan yang ternyata tidak ada pada SUV Perodua Aruz dan Toyota Rush yang penulis pernah uji sebelum ini - disumbangkan oleh casis monocoque DNGA yang jauh lebih moden berbanding casis ladder frame yang digunakan oleh dua SUV yang disebutkan itu tadi.

Namun dari segi pengendalian, penulis nyata lebih menggemari Avanza yang terdahulu, berdasarkan respons stereng yang lebih telus.

 

4. Posisi pemanduan ergonomik, lebih mesra pemandu

Veloz


Satu kelebihan nyata yang tidak ada pada Perodua Alza ialah stereng boleh laras dengan tambahan fungsi larasan teleskopik.

Ia membolehkan pemandu melaraskan kedudukan stereng untuk mendapatkan posisi pemanduan yang jauh lebih baik, dan tidak memenatkan terutama semasa melakukan perjalanan balik kampung.
 

Veloz


Selain itu, kesemua fungsi larasan sistem pendingin hawa automatik dan skrin inforainmen masih lagi berada dalam capaian tangan pemandu.

Satu perkara penulis suka pada Veloz ini ialah kehadiran tombol larasan fizikal, nyata lebih memudahkan niat untuk menurunkan atau meninggikan suhu kabin tanpa perlu meraba-raba mencari butang fungsi yang diinginkan.

 

5. Banyak ruang simpanan, tapi masih kedekut ruang

Veloz


Penulis perasan, selain daripada ruang kargo sebesar 498 liter di belakang tempat duduk baris kedua, Veloz ini menyediakan banyak ruang penyimpanan barang terutama pada bahagian panel pintu, dan terdapat poket tambahan pada bahagian belakang tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

Ia satu perkara yang bagus, namun hakikatnya Veloz ini masih lagi kedekut ruang.
 

Veloz


Anda boleh lihat sendiri ruang yang 'kosong' pada bahagian bawah suis kawalan iklim, di mana ruang tersebut boleh dibebaskan untuk menyediakan tempat meletakkan barangan, terutama slot pengecasan nirwayar.

Ya, Veloz 2022 secara standard turut didatangkan dengan pad pengecasan untuk peranti pintar tanpa menggunakan wayar.

Namun kedudukan komponen tersebut telah memakan ruang konsol tengah yang sepatutnya boleh digunakan untuk meletakkan botol atau cawan kedai kopi hipster.

 

6. Ciri mewah untuk sebuah MPV bawah RM100k

Veloz


Penulis tidak mengharapkan sebarang ciri mewah untuk sebuah MPV di bawah julat RM100 ribu.

Namun untuk Veloz, ia mempunyai ciri-ciri yang membuatkan anda akan rasa teruja, seperti skrin infotainmen dengan sokongan Apple CarPlay secara nirwayar, sokongan kamera keliling 360 darjah yang akan diaktifkan semasa parkir dan keluar dari simpang, dan ruang kabin yang lebih senyap.

Benar, ini merupakan satu perkara yang mungkin tidak ramai orang tahu dan perasan.
 

Veloz


Berbanding Alza, Veloz 2022 ini jauh lebih senyap dan menjadikan pemanduan yang lebih selesa sepanjang perjalanan.

Sama seperti apa yang penulis rasakan semasa memandu uji Toyota Rush jika dibandingkan dengan Perodua Aruz, walaupun kedua-dua model ini sememangnya serupa.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan skrin kluster digital, dan lampu ambien warna biru tunggal yang mampu menyerikan suasana pemanduan malam anda.

 

7. Apa lagi beza Veloz dengan Alza?

Veloz


Dari segi luaran, anda boleh lihat perbezaaan seperti rekaan jeriji hadapan Veloz yang lebih agresif, kehadiran lampu nyalaan siang (LED) pada bampar, rekaan rim bersaiz 17 inci (Alza 16 inci), serta unit lampu belakang yang lebih memanjang dengan grafik yang lebih moden itu.

Veloz 2022 menampilkan kelengkapan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi ciri berikut:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
  • Kawalan Pengekalan Lorong (LKC)
  • Amaran Pergerakan Kereta Hadapan (FDA)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

 

Veloz


Jadi, berbaloikah jika anda melaburkan RM20,000 lebih untuk mendapatkan sebuah Veloz serba baharu? Bagi penulis, ia satu pelaburan yang berbaloi untuk sebuah MPV tiga baris tempat duduk dengan ciri moden dan premium, dan paling penting lebih selamat.

Sebagai makluman, Toyota Veloz 2022 dijual pada harga bermula dari RM95,000, menjadikannya model pesaing secara terus kepada sebuah lagi model MPV yang turut dijual di Malaysia, iaitu Mitsubishi Xpander (harga dari RM92 ribu).

Spesifikasi penuh Veloz anda boleh baca pada pautan di bawah:

Baca: Spesifikasi Toyota Veloz 2022

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sepanjang bulan Oktober 2022, jumlah kereta baru yang dihantar oleh UMW Toyota Motor meningkat…
Berita Domestik
Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, sehingga saat ini UMW Toyota Motor telah…
Pelancaran
Berbanding Avanza yang menggunakan platform ladder frame dan sistem pacuan roda belakang, Toyota…