Pandu Uji Toyota Supra 2020 - Kami pandu sendiri Supra baharu di Sepanyol

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Akhirnya tirai dibuka untuk model paling dinanti-nantikan oleh semua fanatik kereta.

Supra generasi kelima dengan nombor kod A90 ini memang nyata berlainan dari yang sebelumnya, walaupun sifat tradisi dikekalkan.

Artikel-artikel Careta sebelum ini membincangkan kenapa Toyota bekerjasama dengan BMW untuk menghasilkan Supra ini berdasarkan model Z4 baharu.

Ia juga menerangkan bagaimana A90 masih tetap sebuah Toyota, walaupun mempunyai darah Jerman.

Namun begitu, tiada cara terbaik untuk mengenalinya selain dari memandu Supra ini sendiri dan Careta terbang ke Madrid, Sepanyol bersama UMW Toyota untuk memandu uji model prototaip Supra A90.

 

 

Supra, yang bermaksud "diturunkan dari syurga" dalam bahasa Latin mempunyai tugasan yang sangat berat - ia perlu menghidupkan legenda kereta sport pacuan roda belakang Toyota.

Selepas kemunculan model GT86 yang kekal sebagai antara kereta sport ringkas paling menarik untuk dipandu dalam lingkungan harganya, Toyota memulakan projek Supra menggunakan platform BMW Z4.

Penolong Ketua Jurutera Toyota untuk projek ini, Masayuki Kai (gambar atas) duduk bersama Careta untuk menerangkan bahawa A90 ini masih sebuah Supra sejati.

"Supra mesti mempunyai enjin di hadapan, pacuan roda belakang, enjin 6-silinder sebaris dengan 300 hp dan pengendalian yang mantap," terang Kai ketika kami berjumpa dengan beliau di sebuah hotel kecil yang terletak tidak jauh dari Stadium Santiago Bernabéu milik Real Madrid.

 

 

Sementara enjin B58 milik BMW itu mempunyai ciri-ciri yang sama tetapi dengan 335 hp dan daya kilas setinggi 495 Nm, platform Z4 itu jauh lebih baik dari Supra yang lama.

"Supra lama sebenarnya tidak mempunyai imbangan yang sekata antara depan dan belakangnya. Enjin Supra A80 generasi keempat terletak di hadapan gandar hadapan, menjadikan ia berat di depan dan pengendaliannya sedikit sukar dikawal dalam kelajuan tinggi di selekoh," sambung Kai.

"Supra baharu ini mempunyai imbangan berat 50:50 kerana enjinnya lebih kompak dan ringan dan paling penting, ia terletak di belakang gandar roda hadapan!" ujar Kai sambil menyeringai.

Supra baharu ini juga jauh lebih moden - ia adalah Supra pertama dengan sistem gantungan aktif dengan differential belakang yang sangat pantas (umpama LSD dua hala).

 

 

Jurutera-jurutera cuma diberikan platform kosong, dan mereka membuat penalaan yang sangat tepat agar Supra ini berbeza bukan sahaja dari BMW Z4, tetapi menjadi kereta prestasi yang terbaik dari Toyota.

Contoh perubahan yang dilakukan ialah:

  • Palang penstabil di depan yang baharu
  • Bearing roda lebih keras
  • Hab roda lebih ringan dan mempunyai pergerakan yang lebih baik untuk mengurangkan sifat "understeer".
  • Tindakbalas stereng yang lebih cepat, responsif, lancar dan telus
  • Kerangka yang lebih tegap, malah lebih tegap dari Lexus LFA yang dibuat dari gentian karbon.

Kereta sport bukan diukur berdasarkan bentuk sahaja. Ia perlu mempunyai nisbah panjang dan lebar di bawah 1.6, di mana ia akan memberikan pengendalian yang setaraf dengan gelaran kereta sport. 

 

 

Contohnya, Ferrari F488 mempunyai nisbah 1.59 dan go-kart mempunyai nisbah 1.14.

Supra A90 juga mempunyai nisbah panjang dan lebar dibawah angka 1.6 (2,450mm panjang dan 1,580mm lebar), menjanjikan pengendalian yang lebih tepat dan responsif.

Titik graviti Supra ini juga jauh lebih rendah dari GT86.

Ini yang membuatkan penulis tersentak kerana sebagai seorang yang pernah memiliki GT86 selama tiga tahun, adakah Supra yang lebih besar, lebih debab dan lebih gergasi ini mempunyai pengendalian yang lebih baik dari GT86 yang ringan dan lincah itu? 

Hmmmm .... 

 

 

Rakan-rakan di Malaysia pula sibuk bertanyakan, adakah Supra ini lebih terasa seperti sebuah Supra dan bukan sebuah BMW Z4?

Untuk menjawab soalan-soalan itu, penulis keluar untuk memandu Supra A90 ini untuk seharian.

Selepas subuh, kami keluar dengan memandu sebuah GT86 varian terbaharu menghala ke arah kawasan pergunungan di hujung bandaraya Madrid.

Setelah memandu GT86 itu sehingga ke pinggir bandar, kami tukar kepada Supra A90 prototaip untuk masuk ke lebuhraya.

 

 

Perkara pertama yang penulis perhatikan ialah kabin Supra ini lebih sempit dari GT86. Bukaan pintu juga lebih kecil, mengingatkan penulis kepada azamnya dalam tahun 1998 untuk menurunkan berat badan.

Walaupun prototaip, Kai berkata model ini sebenarnya sudah siap semuanya, kecuali paparan meter masih dari BMW dan juga panel luar yang masih belum siap. 

Talaan enjin, transmisi, kerangka, sistem gantungan - semuanya hasil kerjatangan Toyota.

Kerana jam baharu sahaja mencecah 7.30 pagi, lebuhraya itu lengang. Toyota menyediakan kenderaan-kenderaan pengiring untuk membantu kami dan kerana itu, penulis dapat mencuba kadar pecutan Supra ini.

Nyata ia memang jauh lebih berkuasa dari GT86 (duh ...) dan sangat lancar. Turunkan nisbah gear dan Supra ini memecut tanpa goyang sehingga jarum meter mencapai 245 kmsj.

Daya pecutan rasmi A90 ini pula ialah hanya 4.1 saat untuk bergerak dari pegun ke 100 kmsj. 

 

 

Walaupun ia lebih pendek dari GT86, Supra ini jauh lebih selesa di atas lebuhraya. Mungkin kerana ia senyap dan sistem gantungan pula lebih baik menyebabkan penulis rasa sangat selesa.

Setelah membuktikan Supra ini mempunyai ciri-ciri sebuah GT untuk pemanduan "touring", kami keluar dari lebuhraya dan mula mendaki jalan-jalan pergunungan. 

Ia umpama jalanraya di kawasan Kuala Kelawang, kecuali pokok-pokok di sini lebih kepada kawasan pergunungan dan tebing jalanraya dipenuhi gaung-gaung yang sangat dalam.

Cuaca jauh lebih sejuk, dan dengan tayar belakang bersaiz 275/30 R19 dari Michelin, penulis seronok "menggeli-geli" ketika keluar dari selekoh dengan pendikit di tekan banyak.

Jalan berliku ini memang seronok dengan GT86, tetapi enjin 2.0L boxer akan terasa mengah. 

 

 

Dengan Supra ini, tiada masalah dengan tenaga pecutan. Dari enjin ke roda belakang melalui transmisi 8-kelajuan lengkap dengan Paddle Shifters, memang pengalaman memandu di situ sudah seperti membawa sebuah Porsche Cayman GTS.  
 
Selepas 160 km, penulis tiba ke destinasi sebenar untuk hari itu - Litar Jarama.

Jarama ini sebenarnya dahulu ialah sebuah litar Formula 1, tetapi bila kereta-kereta F1 semakin berkuasa dan semakin laju, litar Jarama dilucutkan hak untuk menganjurkan sebarang perlumbaan Formula 1 kerana ia terlalu sempit dan terlalu teknikal.

Tidak untuk Supra A90 kerana Jarama ialah sebuah litar yang sangat "perfect" untuk prestasi dan pengendalian kereta sport dua pintu ini (BMW Z4 hadir dalam bentuk convertible, sementara Supra hanya hadir dalam bentuk coupe berbumbung).

 

 

Penulis diberikan hampir 10 pusingan di atas litar teknikal ini dan itu pun belum cukup banyak untuk menghafal semua selekoh yang ada di Jarama itu.

Yang pasti, bila mod pemaanduan Sport digunakan (tidak seperti BMW, Toyota cuma mahukan dua mod untuk Supra - Normal dan Sport), sistem komputer seolah-olah mahukan penulis untuk memandu dengan lebih agresif.

Ekor menggelungsur keluar bila pendikit ditekan banyak ketika keluar dari apex selekoh, tetapi kemudian ditangkap dengan lancar oleh sistem komputer untuk memastikan Supra itu tidak bergabung dengan tembok Jarama.

Peralihan berat dari kiri ke kanan dirasakan sangat minimum, menyebabkan Supra ini jauh lebih mudah dikawal berbanding dengan Supra lama.

Malah, yang menarik, Supra baharu ini membolehkan penulis menekan pendikit lebih awal ketika keluar dari selekoh tanpa takut ekornya menggelepai seperti ekor ular sawa yang sedang dipukul kerana mencuri ayam di reban.

Adakah ia terasa seperti sebuah BMW?

 

 

Tidak langsung, walaupun ruang kabin itu benar-benar terasa seperti duduk di dalam sebuah BMW.

Itu yang membuatkan penulis terasa sedikit bingung. Tabiat semulajadi ialah bila duduk di dalam kabin BMW, kita akan terus menjangkakan sterengnya berat, pengendaliannya keras dan breknya kuat.

Tidak dengan Supra ini. 

Benar, ruang dalam memang tidak boleh dinafikan sama seperti sebuah BMW (malah bau pun seperti bau pelapik tempat duduk kulit Dakota itu pun wujud). Tombol iDrive terletak megah di konsol tengah dan skrin LCD tercatuk di atas papan pemuka.

Namun bila dipandu seharian di lebuhraya, di jalan pergunungan dan di litar Jarama, cara Supra ini berinteraksi memang lebih ke arah negara matahari terbit.

Stereng Supra ini lebih ringan dari BMW, tetapi tetap telus dan responsif. 

 

 

Sistem gantungan juga dirasakan lebih empuk dan tidak kersas seperti BMW. Ia masih boleh mengambil selekoh dengan agresif tanpa menyakitkan punggung.

Brek-brek besar dari Brembo itu pula lebih "lembut" dari BMW. Ya, ia masih mampu memperlahankan Supra ini dengan sangat baik, penulis masih mampu tahu setakat mana brek itu akan berfungsi dengan tekanan setimpal pada pedal.

Pengendalian yang baik dan kerangka yang neutral mampu menjanjikan pemanduan yang lebih agresif dan menghadiahkan nikmat yang lebih besar kepada pemandunya.

Bila pacuan roda hadapan terasa seperti kereta itu meronta-ronta di selekoh dan pacuan 4-roda terasa bosan kerana terlalu melekat, pacuan roda belakang pula membuatkan anda seolah-olah memuja dan memujuk dengan kereta - memintanya untuk menurut segala kehendak pemanduan anda.

 

 

Toyota GT86 mempunyai sifat-sifat di atas, kecuali prestasi enjin yang sering membuatkan hati anda terdetik, "Kalaulah enjin ini lebih berkuasa dari 200 hp."

Ini jawapan kepada permintaan anda - Toyota Supra Generasi Kelima.

Gabungan pengendalian terbaik dari kereta sport pacuan roda belakang dengan enjin yang membuatkan dahi anda berpeluh tetapi bibir anda tersenyum lebih lebar dari senyuman Kilafairy.

Legenda Supra sudah kembali untuk merampas takhtanya. Nantikan pelancarannya di Malaysia. 

 

 

* Gambar-gambar dari Iwan Shafiee (UMW Toyota) dan Toyota Europe

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Berita Global
Tahun ini, selain dari menjadi pentas persaingan antara jenama-jenama China yang mengusung model-…
Berita Global
  2023 merupakan tahun mencabar yang menyaksikan pemberian paten menurun tiga peratus merentasi…