Pandu Uji Toyota Hilux 2.4L dan 2.8L - Mandrem lain macam!

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Persaingan antara penjualan kenderaan ialah satu perkara normal, dan syarikat automotif akan memantau jualan pesaing mereka untuk memastikan model mereka berada di puncak carta jualan.

Namun begitu, ada satu genre di mana ia bukan normal - trak pikap.

Kami tahu bila ia sampai ke genre trak pikap, syarikat automotif akan memantau kesemua jenama lain kecuali satu - Toyota Hilux.

Untuk mereka, Hilux sudah boleh diketepikan kerana biarpun King Kong datang menyerang Banting, atau Godzilla singgah melawat Kuantan atau pengurus jualan Careta, Salina Jalil mengalahkan Ahli Parlimen Ketari, YB Rara Young Syefura Othman dalam PRU 15, Toyota Hilux akan kekal menjadi trak pikap nombor satu Malaysia.

 

 

Jadi apakah yang benar-benar menjadi penyebab Hilux ini begitu disayangi oleh pengguna trak pikap Malaysia dan beratus-ratus negara yang lain?

Careta meminta sebuah Hilux untuk dipandu uji bagi satu sela masa yang cukup panjang agar penulis faham apakah perubahan yang telah dilakukan agar Hilux model terkini ini terus berada di puncak carta jualan.

UMW Toyota bersetuju dan sebuah Toyota Hilux Double Cab 2.8 L-Edition (AT) 4X4 dan sebuah lagi Hilux Double Cab 2.4L L-Edition diserahkan kepada Careta dengan tujuan pandu uji dan inilah laporan dari Careta.

 

 

Paras rupa

Dari luaran, memang Hilux generasi terkini dan varian terbaharu nampak lebih besar dan lebih gah.

Ini adalah satu benda yang penting kerana walaupun ada yang menggunakan trak pikap mereka untuk kerja-kerja hard core (contohnya syarikat sayur di Cameron Highlands atau peraih durian dari Raub) dan mereka ini langsung tidak kisah akan rekabentuk trak pikap, masih ramai di luar sana yang membeli kerana nampak cantik.

Untuk Hilux ini, ia bukan sahaja lasak, ia nampak cantik.

 

 

Perbezaan ketara anda varian 2.8L dan 2.4L ini ialah yang berenjin besar itu mempunyai lampu projektor LED dengan DRL LED sementara yang satu lagi cuma ada lampu halogen dengan DRL mentol biasa.

Selain dari itu, tidak begitu banyak bezanya.

 

 

Enjin-enjin

UMW Toyota memilih enjin 1GD-FTV dengan sesaran 2,755 cc bagi model paling premium Hilux di Malaysia.

Enjin 4-silinder sebaris dengan 16 injap, DOHC intercoolter VNT turbodiesel menghasilkan 177 PS pada 3,400 rpm dan daya kilas maksimum 450 Nm dari serendah 1,600 rpm sehingga 2,400 rpm.

Enjin baharu ini menggunakan sistem pancitan bahan api bertekanan tinggi yang menambahkan kuasa dan menjimatkan lagi penggunaan diesel. 

 

 

Tak cukup dengan itu, bilah-bilah turbo VNT dikawal secara elektronik agar daya pecutan lebih pantas serta enjin terasa responsif.

Penggunaan rantai pemasa (Timing Chain) pula merendahkan lagi kos pemilikan dan menjadikan ia lasak. 

Bagi varian 2.4L, enjin dari keluarga yang sama digunakan. Enjin 2GD-FTV dengan sesaran 2,393 cc menghasilkan 150 PS pada 3,400 rpm dan daya kilas maksimum 400 Nm (kurang 27 PS dan 50 Nm dari enjin 2.8L) .

 

 

Transmisi

Toyota memang terkenal dengan sifatnya yang mementingkan daya ketahanan agar produk mereka boleh diharap.

Tidak ada guna menggunakan transmisi canggih jika ia tidak lasak dan menambahkan kos servis. 

Untuk Hilux, sebuah trak pikap 4X4, daya tahan lasak memang paling utama kerana UMW Toyota tahu siapakah pelanggan mereka. Untuk itu, Hilux 2.8 L-Edition dan 2.4L L-Edition diberikan transimisi 6-Kelajuan Automatik dengan Sequential Shift.

 

 

Jangan pandang remeh sangat kerana transmisi ini tetap mempunyai sistem kawalan Super ECT yang bijak untuk memilih nisbah yang terbaik. 

Malah, seperti GT86, sistem kawalan transmisi ini cukup cerdik untuk meningkatkan putaran rpm enjin bila nisbah ditukar dari tinggi ke yang rendah - semuanya agar tidak ada kejutan dan pemanduan lebih lancar!

 

 

Mod pemanduan

Toyota juga memberikan tiga mod pemanduan kepada kedua-dua Hilux ini. 

  • Mod Normal
    • Imbangan terbaik dari segi prestasi dan penjimatan bahan api.
  • Mod Eco
    • Mengoptimasikan penggunaan pendingin hawa disamping "melembabkan" sedikit tindak balas pendikit agar penggunaan bahan api dimaksimakan. Mod ini terbaik bila anda tahu stesen minyak masih jauh atau anda memandu di hujung bulan.
  • Mod Power
    • Secara automatik, komputer memberikan kadar pendikit yang paling responsif agar anda boleh menggunakan kesemua tenaga yang ada dengan lebih segera. Bagaimanapun, ia langsung tiada kena mengena dengan kasut Power.

 

 

Tayar dan sistem gantungan

Menurut UMW Toyota, sistem gantungan atau suspensi (kata rakan Indonesia kami) untuk model Hilux ini telah dikemaskini.

Bagus juga kerana yang dahulu memang sedikit bersepah. 

Bahagian hadapan menggunakan Independent Double Wishbone dengan pegas gegelung (coil spring). Di belakang kekal pegas daun dengan gandar tegar (rigid axle).

Nisbah mampatan dan "rebound" pegas diubah agar pemanduan menjadi lebih selesa tanpa mengurangkan kebolehan off-road.

Bagi varian premium ini, UMW tahu ia lebih kepada penggunaan jalanraya. Kerana itu, roda aloi bersaiz 18-inci diberikan, dengan tayar Highway Terrain (HT).

Tayar HT ini memang memberikan pemanduan yang super senyap di atas jalan tar, tetapi cengkaman yang minimum di atas tanah dan lumpur, terutama pasir.

Jangan ditanya bagaimana penulis tahu tayar HT haram tiada cengkaman di atas pasir.

 

 

Ujian pemanduan

Ya, Careta memang bersantai betul dengan Hilux L-Edition ini selama sesi uji pandu tersebut. 

Setiap kali memandu Hilux, terasa diri ini benar-benar bebas dari segala kerunsingan. Tidak ada jalanraya yang teruk berlubang dan tidak ada banjir kilat yang melambatkan perjalanan.

Malah jika secara tiba-tiba bro Lando menjadi diam dan tidak lagi mengeluh tentang keadaan jalanraya, besar kemungkinan beliau sudah menjual motosikal dan menggunakan Toyota Hilux.

Kami redah semua jalanraya teruk di Lembah Kelang, terutama di kawasan Pelabuhan Klang, di jalanraya Banting - Kuala Selangor dan di kawasan Ijok - Bestari Jaya (Batang Berjuntai).

 

 

Ya, bukan sahaja Hilux ini jauh lebih selesa dari model sebelumnya, ia juga jauh lebih senyap. Malah, terlalu senyap sehinggakan kami rasa mungkin ini bukan sebuah jenama Jepun, tetapi jenama Amerika.

Apa yang dilakukan oleh jurutera Toyota ialah meletakan penebat bunyi di lokasi-lokasi strategik. 

Antaranya ialah di hud enjin, di kawasan A-pillar, dihujung pintu, di dinding firewall dan di beberapa lokasi lagi.

Ia memang berkesan dan berjaya menjadikan Hilux ini premium seperti harga yang diminta (RM138,000).

Dari segi luaran, memang varian L-Edition ini nampak lebih gah dan lebih mewah. Jiran sebelah rumah penulis yang mempunyai dua buah Hilux turut memuji cantiknya trak Hilux terbaharu itu. 

 

 

Bahagian kabin cukup kemas dan mewah, walaupun terasa sedikit sempit di hadapan. Paparan meter Optitron memang cantik dan layak diletakkan di dalam model Camry.

Untuk unit audio, varian 2.8L L-edition mempunyai skrin sesentuh bersaiz 6.1 inci sementara varian 2.4L itu cuma ada pemaind CD dengan peralatan biasa. 

Mutu audio terus terang, kedua-duanya hampir sama sahaja.

Bahagian penumpang belakang memang jauh lebih luas dari model dahulu dan ditambah dengan corong pendingin hawa, mereka di belakang tidak akan lagi bersungut. 

Kali ini, ruang di bawah tempat duduk belakang siap dengan dua tempat barang bertutup - khas untuk mereka membawa duit tunai berkepuk-kepuk.

 

 

Dari segi keselamatan, ada pelbagai fungsi elektronik yang diberikan. EBA, BA, HAC, ESS, TSC, DAC (2.8L sahaja) dan A-TRC adalah antara perkara yang anda boleh tanyakan kepada wakil penjual Toyota anda kerana penulis tidak cukup dakwat untuk menerangkan kesemuanya, kecuali sistem A-TRC (yang akan disebut nanti). 

Tidak seperti bekas teman wanita anda dahulu, Hilux ini masih boleh diharap walaupun cantik.

Sistem gantungan belakang Hilux ini mampu menampung beban maksimum (925 kg) tanpa menggangu pemanduan, walaupun akibatnya penumpang belakang akan terasa sedikit melantun di laluan berbonggol.

Penulis mengaku memang bersikap ganas dengan Hilux ini. "Jangan bagi chan," ujar hati penulis kerana Hilux ini memang akan digunakan oleh ribuan pengguna dalam keadaan paling lasak.

 

 

Ini bukan trak pikap hanya untuk koboi-koboi bandar. Ia juga bukan direka semata-mata agar membolehkan Kak Senah bawa ke pasar dan kemudian menghantar anak ke taska atau untuk si kacak membawa pacarnya melihat ketenangan alam semula jadi di sebalik semak di puncak bukit, jauh dari hiruk pikuk kota dan pegawai Jabatan Agama. 

Bukan, walaupun Hilux L-Edition lebih dari mampu melakukan kesemua itu, ia juga akan digunakan oleh pemilik syarikat pembinaan dengan projek di dalam estet sawit. 

Ia juga akan memanjat bukit-bukau di dalam hutan Sabah oleh taukeh-taukeh balak. 

Malah ia juga akan digunakan oleh pemilik-pemilik ladang di seluruh negara. 

 

 

Kerana itu penulis membawa Hilux ini ke kawasan berpasir di Pantai Batu Hitam di Beserah, Kuantan. Kemudian ke dalam kawasan berlumpur di estet kelapa sawit di sekitar Triang, Pahang dan melompat di laluan off-road di sekitar Putrajaya.

Bila masuk ke kawasan offroad yang memerlukan gear L4, penulis bersyukur ke hadrat Illahi kerana memberikan kebolehan kepada Toyota untuk menggunakan teknologi A-TRC agar memudahkan pemanduan di kawasan sukar.

A-TRC bermaksud Active Traction Control bukannya kawalan cengkaman biasa-biasa. Ia hanya aktif ketika nisbah 4X4 L4 digunakan dan sistem komputer akan mengesan roda mana yang hilang cengkaman.

 

 

Bila sudah dikesan, komputer akan menggunakan brek untuk menghentikan putaran membazir roda itu dan menyalurkan semua tenaga ke roda bertentangan pada gandar yang sama. 

Ini menyebabkan Hilux itu mampu membawa momentum ke hadapan dan ia sangat membantu, walaupun Hilux kami itu menggunakan tayar pondan (HT).

Wow bukan?

Nanti, kerana ilmu sakti Hilux tidak berhenti di situ sahaja. 

Setiap kali selepas menguji Hilux ini dan kembali semula ke jalan bertar, trak pikap ini segera meninggalkan sifat agresifnya dan terus berubah menjadi trak yang senyap dan selesa. 

Langsung tidak ada bunyi berkeriut dari mana-mana bahagian kerangka Hilux itu. 

 

 

Tidak pasti mandrem apa yang digunakan oleh Toyota tetapi memang ini ialah trak paling lasak pernah penulis pandu uji. Dalam masa yang sama, ia juga mewah, selesa dan cantik.

Untuk yang sentiasa berjalan jauh dan membawa beban, pastinya varian 2.8L L-Edition memang pilihan terbaik. Namun begitu, varian 2.4L juga tidak kurang mantapnya cuma ia perlu bekerja lebih keras sedikit berbanding abangnya yang lebih berkuasa itu.

Cukai jalan setahun (milikan peribadi) untuk enjin 2.8L ialah RM1,248  sementara enjin 2.4L ialah RM754.40. Tepuk dada tanya selera. Nasihat kami, tepuk dada sendiri. 

Secara ringkas, penulis hanya mampu berkata bahawa Toyota sebenarnya berjaya merealisasikan sesuatu yang sukar dilakukan oleh ramai - sebuah kenderaan yang cantik, serba boleh, kuat dan lasak.

Umpama Lara Croft bukan? 

 

 

Spesifikasi Toyota Hilux Double Cab 2.8 L-Edition (AT) 4X4 (RM138,000)

  • Enjin
    • 1GD-FTV 2,755cc, 4-silinder sebaris, 16V, DOHC Intercooler VNT Turbodiesel
  • Kuasa maksimum
    • 177 PS @ 3,400 rpm
  • Daya kilas maksimum
    • 450 Nm @ 1,600 - 2,400 rpm
  • Transmisi
    • 6-Kelajuan Automatik Super ECT dan Sequential Shifter
    • 4X4 dengan lower transfer case (2H, 4H dan 4L)
  • Berat bersih (kerb)/kasar (gross)
    • 2,100 kg / 2,910 kg
  • Jarak lega bumi
    • 286 mm
  • Saiz tangki diesel
    • 80 liter
  • Ciri keselamatan
    • EBD, BA, HAC, ESS, TSC, DAC, A-TRC
    • 7 beg udara (pemandu, penumpang hadapan, sisi, curtain dan lutut pemandu
    • Lampu hadapan automatik LED projektor dengan DRL LED

 

 

Spesifikasi Toyota Hilux Double Cab 2.4 L-Edition (AT) 4X4 (RM123,600)

  • Enjin
    • 2GD-FTV 2,393cc, 4-silinder sebaris, 16V, DOHC Intercooler VNT Turbodiesel
  • Kuasa maksimum
    • 150 PS @ 3,400 rpm
  • Daya kilas maksimum
    • 400 Nm @ 1,600 - 2,400 rpm
  • Transmisi
    • 6-Kelajuan Automatik Super ECT dan Sequential Shifter
    • 4X4 dengan lower transfer case (2H, 4H dan 4L)
  • Berat bersih (kerb)/kasar (gross)
    • 2,085 kg / 2,910 kg
  • Jarak lega bumi
    • 286 mm
  • Saiz tangki diesel
    • 80 liter
  • Ciri keselamatan
    • EBD, BA, HAC, ESS, TSC, A-TRC
    • 7 beg udara (pemandu, penumpang hadapan, sisi, curtain dan lutut pemandu
    • Lampu hadapan halogen dengan DRL halogen.

Berita Berkenaan

Berita Global
  Tacoma memiliki muka depan yang rugged dan menarik manakala 4Runner mewarisi ciri tersebut dan…
Berita Global
Ia berikutan dengan isu skandal penipuan ujian keselamatannya yang dilaporkan sebelum ini. Toyota…
Berita Domestik
Presiden UMWT, Datuk K Ravindran, berkata komitmen syarikat melangkaui penghantaran kenderaan…