Pandu Uji: Toyota Fortuner - Diesel atau Petrol?

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Bila bercerita tentang SUV, kebanyakan yang ada di pasaran ialah crossover yang lebih kepada pemanduan urban.

Paling ganas yang tuannya bawa pun kemungkinan besar dusun durian di kampung. Itu pun jika masih ada dusun dan belum ditukar ke sawit.

Oleh itu, ramai yang terpaksa membeli trak pikap. Namun begitu, untuk yang mempunyai bajet yang lebih tinggi, antara SUV yang memang diketahui lasak ialah tak lain tak bukan, Toyota Fortuner.

Dengan harga bermula dari RM170,500 untuk model Fortuner 2.4L AT 4X4 dengan enjin diesel, ia bukan murah.

Masalahnya, harga SUV berasaskan trak pikap ini memang sudah meningkat, baik di sini dan juga di tempat tumpah darahnya, Thailand.

 

 

Ini bukan pengganti Harrier!

Ada yang beranggapan Fortuner generasi kedua ini ialah pengganti model Harrier. 

Ini sama sekali tidak benar. Ia umpama mengatakan 4U2C ialah pengganti kepada kumpulan Search. Boleh direjam batu jika didengari oleh peminat Search.

Fortuner ini sebenarnya ialah hasil projek IMV (Innovative International Multi-purpose Vehicle) di mana tiga model direka berasaskan platform kerangka ladder yang hampir sama - Hilux, Innova dan Fortuner.

 

 

Misi utama kenderaan IMV ialah untuk menghasilkan kenderaan yang lasak untuk pasaran-pasaran dunia ketiga atau negara membangun atau untuk kenderaan lasak.

Fortuner ialah produk IMV yang paling premium dan ia boleh dilihat dari segi harga dan juga kelengkapannya.

Harrier pula ialah sebuah crossover yang lebih sesuai dibawa di kawasan bandar. Kerana itu pemanduan Harrier jauh lebih selesa dan harganya juga lebih "keras" (dari RM243,000).

 

 

Fortuner secara ringkas - luar dan dalam

Penulis diberi peluang untuk memandu uji dua varian Fortuner ini - Fortuner 2.7 SRZ AT 4X4 (Petrol)  dengan harga RM181,200 dan Fortuner 2.4 VRZ AT 4X4 (Diesel) pada RM195,600.

Kedua-dua varian itu ialah yang paling mewah untuk model Fortuner, dan ia jelas dapat dilihat dari bahagian luaran dan dalaman.

Dari luar, bentuk yang lebih futuristik ini diterima baik oleh pasaran. Ia sudah tidak kelihatan seperti sebuah kenderaan yang hanya akan dibeli oleh agensi kerajaan sahaja.

 

 

Varian SRZ dan VRZ ini juga menerima lampu hadapan jenis LED Projektor Berkembar lengkap dengan DRL jenis LED. 

Untuk pakej TRD Sportivo, gril hadir dengan warna hitam dan lengkap dengan spoiler untuk bamper depan dan belakang. Turut diberikan ialah pelekat jenama TRD bagi memberikan anda perasaan ada penambahan kuasa kuda.

Lompat ke dalam dan kemasan kulit berwarna coklat gelap diberikan untuk tempat duduk dan pintu. 

Sistem audio hadir dengan skrin sesentuh 8-inci yang boleh menerima DVD, HDMI, USB dan Bluetooth. Ia juga boleh menerima WiFi untuk anda melayari internet. Canggih dan bunyi audio yang keluar dari enam pembesar suara itu dikira memadai untuk pendengar santai.

 

 

Untuk sistem navigasi, anda perlu memilih opsyen tersebut tetapi terus terang penulis katakan, peta dari telefon pintar anda jauh lebih berguna.

Fortuner generasi pertama mempunyai papan pemuka yang mengingatkan penulis kepada papan pemuka sebuah lori. Untuk generasi kedua ini, ia jauh lebih mewah.

Paparan meter untuk varian ini dilengkapi dengan skrin LCD dan meter Optitron. Memang ia akan menjadikan anda takjub sebentar bila kunci dipulas dan semua meter-meter dihidupkan.

 

 

Dari segi ruang meletak barang, bahagian hadapan sebenarnya tidak mempunyai banyak ruang. Ia sama dengan Hilux dan ini sangat mengecewakan.

Pesaing-pesaingnya mempunyai ruang untuk meletakan telefon pintar, dompet, spek gelap, SmartTag dan pelbagai lagi. Untuk Fortuner, kebanyakan barang perlu disimpan di ruang "glovebox" atau konsol tengah.

Pelik juga kerana dari luar, Fortuner ini sangat besar tetapi ruang di dalam tidak seluas yang disangka.

Dari segi praktikaliti, jika kesemua barisan tempat duduk digunakan, ruang tempat barang masih mampu memuatkan beg-beg lembut. 

 

 

Ini bukan MPV. Untuk mencari sesuatu yang luas, SUV bukan pilihan terbaik. Tetapi jika perlu, kotak barang seperti Thule boleh dipasang di atas bumbung.

Tempat duduk di barisan ketiga mempunyai ruang yang memadai. Corong-corong pendingin hawa juga wujud dan tidak ada seorang pun yang mengadu kepanasan.

Selain dari itu, tidak ada banyak peralatan lain yang boleh diperkatakan. Oh ya, ia ada skrin LCD di antara barisan pertama dan kedua. Mutu gambar hanya memadai.

 

 

Pengalaman bersama yang petrol

Penulis menguji varian Fortuner 2.7 SRZ AT 4X4 di Sabah selama seminggu.

Dari Kota Kinabalu, Fortuner dipandu dengan enam penumpang ke arah Kundasang melalui Tuaran.

Enjin 2TR-FE 4-silinder 16-injap DOHC Dual VVT-i itu menghasilkan 166PS pada 5,200 rpm dan daya kilas 245 Nm pada 4,000 rpm.

Dengan berat Fortuner ini yang sudah melampaui 2.7 tan dan ditambah dengan penumpang dan beg-beg, penulis benar-benar terpaksa memaksa enjin itu bekerja keras untuk memastikan cukup pecutan bagi memotong atau mendaki jalan gunung itu.

 

 

Transmisi 6-kelajuan automatik dengan Paddle Shifter teragak-agak untuk menukar gear, dan bila ditekan pendikit, nisbah gear turun mengejut kerana sememangnya enjin meneran untuk menghasilkan pecutan yang didamba.

Untuk memastikan kelajuan enjin perlu berada di atas paras 5,000 rpm untuk tenaga masuk, penulis memang terpaksa menggunakan Paddle Shifter untuk menukar gear secara manual.

Tiga mod pemanduan diberikan - Normal, Eco dan Power Mode. Ketiga-tiga mod itu hanya memberikan efek sedikit pada pemetaan enjin. Yang Eco tidak terasa menjimatkan dan Power Mode hanya power pada nama.

Kami mengambil keputusan untuk menggunakan mod Normal sahaja.

 

 

Namun begitu jika dipandu secara santai, atau ketika menuruni bukit, barulah kita akan merasai keistimewaan Fortuner ini.

Ia senyap dan badannya tidak begitu beroleng seperti model sebelumnya. 

Penumpang belakang juga tidak mengadu mabuk dan ini satu pencapaian besar kerana hendak atau tidak, ia menggunakan kerangka trak pikap. 

Mungkin Toyota sudah berjumpa dengan rahsia untuk menala sistem gantungan belakang yang menggunakan sistem pegas gegelung 4-Link dengan rod kawalan sisi dan penstabil (Hilux menggunakan pegas daun atau "leaf spring" ya).

 

 

Kami yakin akan ada yang menyampuk berkata Fortuner ini masih berbuai dan tidak bagus. Seringkali bila kami kaji dan selidik, mereka ini sebenarnya memandu mengikut gaya pemanduan sebuah kereta.

Ini ialah ibarat menunggang motosikal scrambler dan cuba mengambil selekoh selaju menunggang motosikal biasa. 

Tidak akan ada SUV dengan "ladder frame" yang boleh menandingi kawalan badan sebuah "crossover monocoque" kerana sifat fizikal kedua-dua itu berbeza. 

Ia juga umpama seorang pemandu trak pikap berkata ia mampu mengekori sebuah kereta hatchback di lebuhraya berliku. 

Cuba pula ekori hatchback itu di jalan lama Gombak-Bentong atau masuk ke litar - akan terbit sifat lembab trak pikap yang tidak akan mampu mengambil selekoh tajam pada kelajuan tinggi.

Masalahnya ialah kenderaan dengan kerangka "ladder frame" seperti trak pikap dan Fortuner ini lebih berat dan titik gravitinya juga tinggi.

Kelebihannya, ia lasak dan mampu dipandu offroad.

 

 

Bagaimana dengan yang diesel?

Fortuner 2.4 VRZ AT 4X4 ialah varian termahal untuk model Fortuner. 

Menggunakan enjin 2GD-FTV 4-silinder 16-injap DOHC Intercooler VNT diesel yang sama dengan Hilux, kuasa maksimum ialah pada 150PS, 16 PS lebih rendah dari enjin petrol.

Daya kilas pula ialah pada 400 Nm, 155 Nm lebih tinggi. Bukan itu sahaja. Daya kilas maksimum itu boleh dicapai dari putaran enjin serendah 1,600 rpm!

Walaupun pandu uji Fortuner diesel ini dilakukan di sekitar Lembah Kelang, Johor dan Pantai Timur, penulis singgah sebentar ke Genting Premium Outlet untuk mencuba kekuatan varian diesel ini.

 

 

Ternyata, model VRZ enjin diesel ini jauh lebih baik dari varian petrol.

Di kawasan bandar, turbodiesel dengan fungsi VNT memberikan pecutan yang hampir sama pantas dengan Fortuner petrol.

Di atas lebuhraya, ia lebih bersahaja dipandu dan daya kilas 400 Nm itu benar-benar menjadikan Fortuner ini bersahaja dan tidak perlu meneran untuk memotong atau mendaki.

Jika dipaksa bermain dengan lebih agresif, kita boleh rasakan enjin itu juga akhirnya terpaksa bekerja lebih keras, tetapi tidaklah seteruk enjin petrol.

 

 

Fortuner diesel ini memang tidak akan menjadi setangkas Hilux kerana pikap itu lebih ringan. 

Tetapi jika dibandingkan antara Fortuner petrol dan Fortuner diesel, ternyata varian petrol itu seperti siamang bunting sembilan bulan. 

Toyota juga berjaya memastikan bunyi enjin diesel itu tinggal di luar kabin. Ini adalah satu kejayaan besar untuk Fortuner kerana model sebelumnya masih terasa seperti di dalam trak pikap.

 

 

Jadi, diesel atau petrol?

Semestinya penulis akan mencadangkan untuk melupakan terus varian petrol.

Ini ialah kerana:

  1. Fortuner ialah sebuah kenderaan yang berat dan hanya enjin diesel mempunyai daya kilas yang cukup untuk menggerakannya dengan selesa.
  2. Cukai jalan setahun untuk enjin petrol 2.7L itu ialah RM1,150.40 sementara enjin diesel 2.4L itu cuma berharga RM754.40. 
  3. Penggunaan bahanapi untuk varian diesel adalah sekali ganda lebih baik dari petrol. Dengan setangki diesel 80 liter, dengan mudah kami memandu sejauh lebih dari 650 km.

Nampak jelas bahawa kami rasa Fortuner dengan nadi diesel jauh lebih berbaloi dari yang petrol, walaupun varian premium diesel ini lebih mahal.Untuk yang suka singgah di stesen minyak dan mempunyai terlalu banyak wang di dalam akaun, mungkin model petrol itu lebih sesuai. 
 

 

Spesifikasi Toyota Fortuner 2.7 SRZ AT 4X4 (Petrol)

  • Enjin: 2TR-FE 4-silinder 16-injap DOHC Dual VVT-i
  • Transmisi: 6-kelajuan automatik dengan Sequential Shifter dan Paddle Shift
  • Kuasa maksimum: 166PS @ 5,200 rpm
  • Daya kilas maksimum: 245 Nm @ 4,000 rpm
  • Alatan keselamatan: 7-beg udara, VSC, HAC, A-TRC, DAC, ABS, BA, ESS, Isofix
  • Harga: RM181,200


Spesifikasi Toyota Fortuner 2.4 VRZ AT 4X4 (Diesel)

  • Enjin: 2GD-FTV 4-silinder 16-injap DOHC Intercooler VNT
  • Transmisi: 6-kelajuan automatik dengan Sequential Shifter dan Paddle Shift
  • Kuasa maksimum: 150 PS @ 3,400 rpm
  • Daya kilas maksimum: 400 Nm @ 1,600 - 2,000 rpm
  • Alatan keselamatan: 7-beg udara, VSC, HAC, A-TRC, DAC, ABS, BA, ESS, Isofix
  • Harga: RM195,600

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Berita Global
Tahun ini, selain dari menjadi pentas persaingan antara jenama-jenama China yang mengusung model-…
Berita Global
  2023 merupakan tahun mencabar yang menyaksikan pemberian paten menurun tiga peratus merentasi…