Pandu Uji: Toyota Corolla Cross GR Sport 2023 - SUV sporti mesra famili

oleh Mohamad Hanif|
Buat masa ini, penulis masih lagi setia memandu sebuah sedan buatan tempatan berenjin 1.6 liter NA yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Bagi penulis, biarpun dengan spesifikasi yang tidak begitu moden, kereta tersebut cukup 'sempurna' untuk kegunaan seharian, dengan saiznya yang tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar.

Malah, ada ruang kargo yang cukup besar untuk kegunaan keluarga yang tidak mempunyai anak.

Paling penting, pengendaliannya yang memang langsung tidak mengecewakan walaupun penulis kini jarang menggunakan kereta tersebut disebabkan setiap bulan perlu memandu uji model yang berbeza.
 

Corolla Cross


Memandangkan usia yang semakin meningkat, penulis merasakan sudah tiba masanya untuk 'bersara' daripada memandu kereta sedan (dan manual), seterusnya beralih kepada SUV.

Apa pillihan yang ada? Dekat Malaysia, memang banyak, daripada model segmen A, segmen B, sampailah ke segmen C dengan julat harga yang agak menarik tumpuan.

Dalam banyak-banyak model, penulis sangat berkenan dengan model yang satu ini.  
 

corolla cross


Sejak ia muncul dalam versi CBU, sampailah kepada versi CKD dan hibrid. Sampailah munculnya model yang lebih sporti, iaitu Toyota Corolla Cross GR Sport!

Sebelum mengulas lanjut, penulis ingin merakamkan beribu-ribu penghargaan kepada UMW Toyota kerana sudi membenarkan kami berhari raya dengan SUV idaman.
 

corolla cross


Seperti nama yang tertera, Corolla Cross GR Sport direka untuk pembeli yang mahu mencari sebuah SUV dengan pengendalian yang sporti, dan dalam masa yang sama tidak langsung mengorbankan aspek keselesaan dan praktikaliti.

Nak membezakan varian GR Sport ini mudah sahaja.

Ia datang dengan skema warna dua tona, di mana bumbung diwarnakan hitam, kemasan GR Sport (terutama pada jeriji hadapan dan bampar belakang), perumah lampu belakang jenis jernih, rim aloi 18 inci sporti, dan lencana wajib GR Sport pada fender sisi dan belakang.
 

gr spiort


Kemasan dalaman terdiri daripada butang pandu mula GR, stereng balutan kulit dengan jahitan kontras merah, alas lantai GR, serta logo GR timbul pada headrest.

Membuatkan Corolla Cross GR Sport ini nyata berbeza adalah dari segi pemanduan.

Nadi asal 1.8 liter NA 2ZR-FE masih lagi dikekalkan sama seperti varian Corolla Cross 1.8G dan 1.8V, di mana kuasa 139 PS dan 172 Nm itu sudah cukup berupaya untuk menggerakkan SUV yang lahir dari platform TNGA ini.
 

corolla cross


Dengan platform moden ini, pemanduan Corolla Cross nyata mengujakan walaupun ia asalnya disasarkan untuk menjadi sebuah kereta keluarga.

Kadar NVH yang cukup menenangkan jiwa, bunyi bising enjin mengaum dan transmisi bekerja keras juga berjaya ditapis dengan baik.

Cuma, Toyota telah mendatangkan sistem suspensi yang telah ditala semula untuk pengendalian yang sporti, dan lebih stabil (kurang olengan) terutama di selekoh, dan dalam masa yang sama tidak langsung mengorbankan aspek keselesaan.
 

Corolla Cross


Amat mengejutkan walaupun secara asasnya Corolla Cross hanya didatangkan dengan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan Torsion Beam di bahagian belakang.

Sistem stereng turut dinaiktaraf dengan sistem ECU Sport untuk respons pengendalian yang lebih tajam.

Hasilnya, Corolla Cross GR Sport ini menjadi sebuah pakej SUV yang sangat sedap dipandu, terutama bagi mereka yang gemar melalui jalan dalam yang banyak selekoh.
 

Corolla Cross


Untuk mereka yang sudah menguji Corolla Cross varian standard mungkin setuju dengan apa yang penulis cuba lontarkan daripada Corolla Cross GR Sport ini.

Selain daripada itu, apa yang dapat dirasakan sewaktu memandu ialah respons pendikit juga sebenarnya telah ditala supaya SUV ini rasa lebih bertenaga, dan untuk memotong kereta yang lambat macam kura-kura di hadapan juga tidak menjadi satu masalah.
 

corolla cross


Kapasiti tangki sebesar 47 liter itu membolehkan penulis mencapai jarak pemanduan sejauh 400-450 km tanpa memerlukan ziarah ke stesen minyak dengan lebih kerap.

Sistem pendingin hawa automatik juga berfungsi dengan cemerlang menyejukkan ruang kabin ketika beraya di bawah cuaca Malaysia yang panas terik dan tidak menentu itu.
 

Corolla Cross


Lebih penting, ruang kargo sebesar 440 liter membolehkan penulis sekeluarga memuatkan apa jua barangan yang diperlukan untuk balik kampung tanpa perlu risau ruang yang tidak mencukupi.

Menjadikan SUV sporti ini lebih selamat di atas jalan raya ialah kelengkapan keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi:
• Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
• Amaran Keluar Lorong (LDA)
• Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC)
• Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
• Bantuan Suluhan Tinggi (AHB)
• Sistem Kamera Keliling 3D (PVM)
• Sistem Informasi Titik Buta (BSM)
• Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
• 7 beg udara SRS
• ABS, EBD, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Cengkaman, Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS), cagak ISOFIX, amaran tali pinggang keledar
 

Corolla Cross


Ada beberapa perkara yang membuatkan pengalaman pemilikan Corolla Cross GR Sport ini tidak begitu mengujakan:

1. Walaupun sistem audio Toyota boleh dipuji sebab sedap di telinga, akan tetapi fungsi Apple CarPlay masih lagi menggunakan sambungan wayar yang sukar untuk disembunyikan, agak serabut dan ada kalanya mengganggu urusan untuk menukar posisi gear transmisi.

2. Ada kalanya kelantangan sistem audio Corolla Cross ini sukar untuk dikawal, dan pemilik perlu 'restart' kembali Head Unit.
 

corolla cross


3. Sistem pengecasan peranti tanpa wayar yang tidak konsisten, ada masa fungsi dia ok dan kadang kala tidak berfungsi.

4. Brek parkir di bahagian kaki - makan ruang, dan sukar untuk ditekan bagi mereka yang berbadan sado. (Kejap, ni kereta zaman bila ni ada brek parkir kat kaki ni?)

 

cuba cari berapa banyak telur Easter dalam Corolla Cross ni.


Berita baik, Toyota Corolla Cross GR Sport kini dijual secara rasmi di pasaran Malaysia bersama-sama dengan model Corolla Cross yang lain.

Berikut merupakan senarai harga jualan keluarga Corolla Cross:

  • Corolla Cross 1.8G - RM130,400
  • Corolla Cross 1.8V - RM137,400
  • Corolla Cross 1.8H - RM142,000
  • Corolla Cross GR Sport - RM142,000

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…