Pandu Uji Ringkas Toyota Hilux Rogue - kuda Hailak yang lebih bertenaga!

oleh Mohamad Hanif|
Tanggal lima haribulan Oktober, jam 8.00 pagi lagi Careta telah pun terpacak di ibu pejabat UMW Toyota Shah Alam bagi memenuhi jemputan pandu uji media bagi model terbaharu mereka Toyota Hilux 2020 facelift.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sejak daripada pandang kali pertama Hilux facelift dilancarkan di peringkat global, hati penulis yang tidak pernah menggemari rupa bentuk Hilux yang terdahulu terus rasa tidak keruan.

Manakan tidaknya, memang ternyata seksi habis jika dilihat di depan mata!

 


Dari segi luaran, apa yang dibawakan pada Hilux facelift kali ini sememangnya mengikuti trend semasa - trak pikap dengan rupa paras yang lebih menawan, lebih hensem, dan lebih agresif, bahkan ia sebenarnya disasarkan lebih kepada golongan kebanyakan, dan bukan digunakan sebagai kuda kerja semata-mata.

Ciri-ciri moden banyak dibawakan pada Hilux Rogue, seperti lampu utama bi-LED yang lebih tajam, dan hadir dengan ciri lampu posisi yang boleh digunakan sebagai lampu nyalaan siang (DRL).

Lampu kabus juga adalah jenis LED dengan rekaan bezel bersegi, bersambung dengan fender flare yang menjadikan rupa paras Hilux Rogue ini lebih gagah.

 


Paling diingati adalah rekaan lampu belakang Hilux ini yang datang dengan rekaan yang diinspirasikan daripada Toyota Tacoma, setidak-tidaknya rekaan tersebut tidaklah menjadikan rupa trak pikap terlalu bosan - sebab rekaan lampu belakang memang sepesen untuk semua model!

Identiti Rogue dikemaskan dengan pelekat badan pada bahagian bed belakang, sementara set rim pula adalah bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar bersaiz 265/60 R18 Highway Terrain.

Antara ciri lain yang didatangkan adalah lampu penyambut (welcome light) pada kiri dan kanan tempat pemijak sisi, serta lampu ruang kargo yang membantu anda mencari barang di kala kadar pencahayaan yang kurang memuaskan.

 


Memasuki ruang kabin, pemandu akan disambut dengan tempat duduk balutan kulit berliang dengan warna dua tona hitam dan kelabu, sistem pelarasan lapan cara, serta roda stereng balutan kulit.

Sistem infotainmen 8 inci di bahagian tengah ini ternyata menawarkan paparan yang lebih baik jika dibandingkan dengan model Vios/Yaris, serta turut datang dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto - ciri wajib di zaman peranti pintar yang jangka hayatnya adalah sangat pendek.

Jika anda gemar menjadi penumpang, anda akan menghargai kehadiran corong pendingin hawa baris kedua bagi memastikan penumpang di belakang tidak kepanasan ketika bergerak di bawah sinaran mentari di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Walaupun tempat duduk belakang boleh dilipat ke atas (nisbah 60:40), ternyata ia masih lagi menawarkan konfigurasi duduk yang terlalu tegak, tidak begitu sesuai untuk perjalanan jauh.

 


Hilux Rogue ini merupakan satu-satunya varian yang datang dengan enjin bersesaran 2.8 liter, manakala varian selebihnya datang dengan enjin 2.4 liter sahaja.

Atas kertas, nadi 1GD-FTV ini telah diberikan penambahbaikan dari segi teknikal supaya mampu menghasilkan angka output 204 PS dan daya kilas 500 Nm, serta menjanjikan penjimatan bahan api yang lebih baik.

Pemanduan santai atas jalan raya Shah Alam memberikan impresi yang cukup baik, di mana pengedaran kuasa yang diberikan tidak menghampakan untuk sebuah trak pikap yang dinaiki oleh dua orang dewasa.

 


Memasuki laluan lebuhraya, sumber tenaga Toyota Hilux ini mula dikerah dan tidak mengejutkan apabila pertambahan kuasa yang dimaksudkan sebelum ini diterjemahkan dengan baik dari segi pecutan selepas palang tol dibuka, dan juga ketika memotong kereta hadapan yang mencari rumah sewa di tengah lebuhraya.

Sedar tak sedar, jarum meter mula melepasi angka yang dibenarkan oleh perbadanan lebuhraya, jadi penulis mula mengingatkan rakan yang memandu supaya menjadi insan yang bersopan santun semula.

Selepas keluar dari lebuhraya, pemanduan kami dihalakan ke arah Genting Sempah menggunakan laluan dalam yang berliku-liku dan banyak pula selekohnya.

Prestasi enjin yang bertenaga membolehkannya mendaki mana-mana curam dengan baik (dengan iringan bunyi bising enjin menerjah kabin seketika), namun secara kasarnya ia menawarkan pemanduan yang lebih senyap di dalam kelajuan yang malar.

 


Di laluan yang berliku ini juga, kami dapat membuktikan dakwaan Toyota yang dikatakan telah menala kembali casis dan sistem suspensi supaya menawarkan pemanduan yang lebih selesa, cuma di sesetengah tempat yang jalannya tidak begitu memuaskan, Hilux tetap bersifat sebuah trak pikap.

Kawalan yang diberikan oleh sistem stereng berkuasa dengan ciri Variable Flow Control (VFC) menjanjikan kawalan yang lebih natural, dan lebih yakin terutama ketika sedang melalui jalan berselekoh.

Harus diingat, Hilux masih lagi sebuah trak pikap, jadi anda tidak perlu melenjan model ini bak sebuah supercar!

Untuk sebuah trak pikap, Toyota tidak memandang remeh ciri keselamatan yang perlu dilengkapkan, ini kerana senarainya boleh tahan panjang juga seperti:

  • 7 beg udara SRS
  • ABS, EBD, BA
  • Kawalan Kestabilan Kenderaan dengan Kawalan Cengkaman
  • Pemantauan Pandangan Panoramik (PVM)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang
  • Trailer Sway Control
  • Toyota Safety Sense - Pre-Collision Warning, Lane Departure Assist dengan Yaw Assist, Dynamic Radar Cruise Control

 


Disebalik kelengkapan keselamatan yang boleh tahan banyak, penulis tidak begitu menggemari Yaw Assist (atau ciri pembetulan arah stereng) yang ditawarkan oleh Hilux ini.

Ini kerana bantuan (baca:gangguan) elektronik Yaw Assist ini adakalanya mengganggu kawalan yang diinginkan, terutama di jalan yang berliku di mana ia ternyata merosakkan rentak pemanduan yang diinginkan.

Jika anda seorang yang yakin dengan skill pemanduan sendiri, cara yang paling mudah adalah mengubah tetapan default menerusi butang fungsi stereng di mana ciri ini boleh dimatikan pada bila-bila masa.

Namun, tidak dapat dinafikan ciri keselamatan yang ditawarkan pada Hilux Rogue ini menjadikannya salah satu trak pikap yang paling selamat di dalam segmennya, dengan penarafan lima bintang oleh ASEAN NCAP.

 


Toyota Hilux Rogue 2020 ini dijual pada harga bermula dari RM146,880 dan dengan spesifikasi yang cukup lengkap, ia menjadikan pemilikan Hilux anda lebih berbaloi-baloi.

Enough said.

 

Berita Berkenaan

Kereta
Meskipun boleh dikatakan agak lewat kemasukannya ke pasaran tempatan, namun pada kami, lewat…
Telah Diuji
Beberapa siri ujian telah pun dijalankan di mana separuh pertama adalah melibatkan ujian prestasi…
Telah Diuji
Sebut sahaja jenama Korea, akan muncul haters-haters (pembenci) dengan alasan-alasan lapuk kenapa…