Pandu Uji Ringkas Toyota Corolla Cross 1.8G - SUV berjiwa Corolla!

oleh Mohamad Hanif|
Ketika nama Corolla Cross menjengah dunia tahun lalu, ada di antara pembaca yang skeptikal dengan tindakan Toyota menampal nama sedan terkemuka dunia itu kepada sebuah crossover.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Macam dah takde nama lain pula mereka hendak letak.

Apatah lagi pada ketika itu Toyota sudah pun mempunyai beberapa buah model crossover seperti Toyota C-HR dengan reka bentuk coupe, serta Toyota RAV4 yang jauh lebih besar (dan mahal pula harganya itu).

 


Jadi, untuk nama yang tidak mempunyai banyak pilihan crossover, Toyota Corolla Cross merupakan calon terbaik untuk mengisi kekosongan yang tercipta antara dua model crossover itu tadi.

Kira-kira seminggu yang lalu, para pengamal media telah dijemput untuk menghadiri sesi pandu uji ringkas bagi merasai sendiri pengalaman pemanduan di dalam sebuah Corolla yang di-SUV-kan ini.

Berikut merupakan input kami.

 

1. Rekaan yang sedikit lembut.


Untuk model-model baharu Toyota (lihat sahaja pada contoh Corolla sedan, Camry, RAV4), rata-rata mempunyai bentuk rekaan yang cukup tajam bagi menjadikan penampilan yang lebih sporti.

Walaupun ia bernama Corolla, akan tetapi rupa luaran Corolla Cross ini tidak sedikit pun menyamai model Corolla sedia ada, apatah lagi Corolla hatchback yang tidak terjual di pasaran tempatan.

Sekali imbas, reka bentuk Corolla Cross ini nyata lebih lembut, dan lebih sesuai untuk dijadikan sebagai kereta keluarga.

Walaupun lembut, ia diseimbangkan dengan beberapa garis badan yang menjadikan penampilan Corolla Cross ini lebih dinamik, dan perasaan ruang kabin yang lebih luas.

Pada pendapat penulis, sekali sekala lari dari kebiasaan, apa salahnya.

 

2. Platform yang sudah tersedia sporti - TNGA-C


Platform TNGA-C turut digunakan bagi membangunkan model Corolla sedan, Toyota C-HR, Toyota Prius serta sebuah model crossover Lexus UX.

Apa yang kami boleh dapati, Corolla Cross ini turut menawarkan ciri-ciri yang ditonjolkan oleh adik-beradik TNGA-C-nya, iaitu keselesaan pemanduan seharian, pengendalian yang sporti terutama di kawasan berselekoh dan laluan berbukit, serta ekstra ruang kabin yang cukup luas.

Corolla Cross menggunakan tetapan suspensi yang kurang kompleks (torsion beam) berbanding C-HR (double wishbone), akan tetapi ia masih lagi mampu menawarkan keselesaan yang tersendiri, kurang bunyi bising dan kekasaran menerjah masuk walaupun menempuh laluan yang tidak menyenangkan mata memandang.

Suspensinya cukup lembut, namun apabila Corolla Cross ini dipaksa memasuki laluan berliku, karakteristik sporti mula menyerlah sehinggakan pada satu tahap, anda sendiri terlupa bahawa ia adalah sebuah crossover.

Tidak salah untuk kami katakan, Corolla Cross ini sememangnya layak untuk 'berteduh' di bawah keluarga Corolla.
 

3. Enjin 1.8 liter Corolla + CVT = Tidak mengecewakan


Apa yang dikongsi daripada model sedan Corolla selain daripada platform TNGA adalah enjin empat silinder sebaris 1.8 liter 2ZR-FE yang menghasilkan 139 PS dan 172 Nm serta transmisi CVT tujuh kelajuan.

Jika anda sendiri pernah merasai pemanduan daripada Corolla sedan, anda boleh menjangkakan pengalaman yang sama dibawakan pada crossover Corolla Cross ini.

Untuk pemanduan di dalam bandar, kabin terasa senyap tanpa kehadiran bunyi bising ngauman enjin dan CVT menerjah masuk, seakan Toyota telah berjaya 'menghalau' keluar bunyi itu walaupun ia berusaha untuk masuk dan mengganggu tumpuan pemandu.

Dalam beberapa situasi di mana enjin dipaksa bekerja keras, ngauman nadi 1.8 liter aspirasi natural itu memang kedengaran, akan tetapi ia tetap pada tahap yang minimum dan tidak membuatkan penulis resah seperti memandu kereta pesaing.

Senang cerita, gandingan enjin dan casis TNGA ini memberikan satu pakej kereta keluarga yang cukup selesa, di mana anda masih lagi boleh menikmati pemanduan yang mengujakan (tapi tidak seserius SUV prestasi tinggi ya!).

 

4. Sudut pandangan yang lebih luas


Terus terang penulis akui tidak begitu meminati genre crossover/SUV disebabkan dimensi badan yang agak besar dan mempunyai banyak kelemahan, terutama dari segi titik buta yang besar yang mampu menyukarkan pemanduan seharian terutama di dalam bandar.

Namun, perasaan yang sama tidak didapati pada Corolla Cross ini, di mana dari sudut pandang sebagai seorang pemandu, penulis dapat rasakan sudut pandang keluar crossover ini agak luas.

Menurut slaid persembahan produk, Toyota telah pun melakukan beberapa penambahbaikan seperti:

  • meninggikan posisi tempat duduk
  • mengecilkan sedikit dimensi tiang A

Kedua-dua penambahbaikan ini membolehkan pemandu menikmati sudut pemanduan yang lebih luas dengan kehadiran titik buta yang minima, dibantu dengan posisi kedudukan cermin sisi yang membolehkan pandangan secara terus menerusi tingkap segi tiga tanpa halangan.

Hal ini amat berguna terutama ketika sedang memasuki bandar Shah Alam Darul Bulatan, ataupun ketika anda sedang bersedia untuk meletakkan kenderaan di kawasan parkir yang sempit.

 

5. Sistem infotainmen dah nampak lagi mahal!


Ya, penulis masih tidak boleh melupakan hal ini ketika pelancaran Toyota Corolla sedan dua tahun yang lalu, di mana model itu dilengkapi dengan unit infotainmen yang serupa didapati pada model bawahan Vios dan Yaris.

Sungguh tak kena di jiwa, ibarat luar kondo, dalam macam setinggan.

Tapi usah risau, kerana Corolla sedan kini sudah pun mendapat unit infotainmen yang lebih baik, dan tidak ketinggalan, Corolla Cross.

Saat memasuki ruang kabin yang memang mengikut rapat rekaan Corolla sedan, penulis amat tertarik dengan kehadiran skrin Display Audio bersaiz sembilan inci yang duduk bertenggek di atas papan pemuka.

Ciri yang membuatkan penulis teruja adalah paparan grafik yang jauh lebih tajam (dah macam Mercedes pun ada!), tatalan skrin yang responsif tanpa sela masa yang menjengkelkan, serta pilihan menu yang mudah untuk digunakan.

Untuk peminat gajet, usah risau kerana sistem ini turut hadir sekali dengan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, serta sambungan USB, Miracast dan Bluetooth.

 


Selain daripada lima poin yang disebutkan di atas, Corolla Cross mempunyai kelebihan lain seperti penawaran ruang kargo sebesar 440 liter, radius putaran sekecil 5.2 meter terbaik di dalam kelasnya, serta sudut tuju 18 darjah yang memberikan keyakinan untuk melepasi apa jua halangan termasuklah bonggol jalan yang tidak mengikuti spesifikasi itu.

 

Spesifikasi penuh Toyota Corolla Cross boleh dibaca menerusi pautan di bawah:

Toyota Corolla Cross 2021

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…