Pandu Uji Ringkas: Perodua D55L - Ini Perodua yang paling sedap!

oleh HEZERI SAMSURI|
Pagi tadi Perodua memberikan kesempatan kepada beberapa media tempatan untuk melihat dan menguji sendiri produk terbaharu mereka, SUV segmen A dengan nama kod D55L.

Sebelum itu, hanya 14 orang media automotif yang dijemput untuk sesi hari ini dan selain dari menjalani ujian swab RTK-Antigen sebelum dibenarkan masuk ke dalam bangunan Perodua, semua SOP dan penjarakan fikizal berkaitan Covid-19 dilakukan dengan terperinci.
Modenas

Ujian dilakukan di litar ujian kelajuan sederhana Perodua yang kini siap sepenuhnya. Litar berbentuk gagang telefon dan sepanjang hampir 5 km itu mempunyai laluan lurus dan juga selekoh di kawasan berbukit. 

Di bawah ialah sinopsis ringkas sesi pandu uji kami dan gambar-gambar sebenar, fakta-fakta dan info terpaksa disimpan dahulu dan hanya boleh disiarkan selepas model SUV ini dilancarkan secara online pada 3 Mac depan.

 

 

Pecutan dari pegun

  • Daya pecutan boleh dikatakan "acceptable" untuk SUV segmen A dengan enjin turbo bersaiz 1.0 liter ini.
  • Ia memberikan daya pecutan yang tegar dan dirasakan lebih laju dari Myvi 1.5L.
  • Paling penting, tidak ada ngauman bunyi enjin melalak masuk ke ruang kabin, menjadikan pemanduan lebih selesa kerana ruang kabin jauh lebih senyap.
  • Tidak kami sedar meter digital sudah menunjukan kelajuan tiga angka sebelum diminta untuk memperlahankan kenderaan.

Kebolehan mendaki

  • Dua cerun tinggi yang dilalui dari pegun tidak menjadi masalah untuk D55L dengan dua penumpang.
  • Tidak ada ngauman dan tidak ada deruman kerana kuasa turbo itu memberikan kadar tork maksimum dari RPM rendah.
  • Di sini, ramai yang sudah tahu, ini bukan Perodua yang kita kenali. Ini sudah "lain"!

Pemanduan pada kelajuan 90-120 kmsj

  • Ini boleh dikira sebagai kelajuan lazim kebanyakan kenderaan dan pada kelajuan ini, ia sekali lagi menunjukan peningkatan pada kadar NVH (Noise, Vibration and Harshness) yang jauh lebih baik dari semua model-model Perodua sejak ia ditubuhkan.
  • Ia bukan sahaja lebih senyap, tidak ada getaran dirasakan pada stereng dan pedal kaki semasa kelajuan itu.

 

 

Stereng lebih komunikatif

  • Terus terang, "steering feel" atau rasa stereng pada D55L ini tidaklah sehebat mana tetapi dibandingkan dengan model-model Perodua sebelum ini dan juga pesaing-pesaingnya dari Jepun dan China, ia boleh dikatakan "on-par" atau sama.
  • Stereng juga terasa lebih berat bila kelajuan meningkat dan tidak terlalu "longgar" atau "loose" pada kelajuan ruang parkir.

Kualiti semasa memegang

  • Tiga tempat paling "romantik" pada kenderaan ialah stereng, tuil gear dan pedal kaki kerana ini adalah bahagian-bahagian yang sering dipegang, diusap, digenggam dan dihenyak.
  • Untuk D55L, stereng terasa sedap untuk digenggam, tuil gear pula lebih pendek dan terasa lebih solid seperti Toyota (model generasi baharu, bukan zaman Unser atau seperti Hilux).
  • Pedal kaki juga tidak menghasilkan gegaran atau getaran atau kenyal bila digunakan.
  • Malah kawasan panel pintu mempunyai balutan "soft plastic" yang memberikan rasa premium.
  • Corong-corong pendingin hawa juga jauh lebih sedap digunakan dan tidak lagi terasa "murah".
  • Butang-butang kawalan pada stereng (ada banyak!) juga memberikan tindak balas yang sama - premium.

Transmisi CVT - adakah terasa sebu?

  • Transmisi baharu yang digunakan ini tidak menderu, mengaum atau terasa seperti elastik.
  • Biarpun dipecut atau menggunakannya secara manual dengan 7-kelajuan maya, ia dirasakan sama dengan apa yang digunakan oleh abangnya, jenama T.
  • "Engine braking" juga dirasakan linear bila menuruni bukit dan gear dikawal secara manual.

 

 

Lubang, lekuk, bonggol dan jalan tak rata?

  • Sekali lagi, Perodua memastikan pemandu merasakan kehebatan platform global baharu ini dengan memastikan kawalan sistem gantungan dan bunyi lebih baik ketika melanda jalan-jalan bermasalah.
  • Ia tidak sehebat SUV yang berharga atas dari RM100k, tetapi masih membuatkan kami teruja kerana sebelum ini, Perodua tidak begitu mementingkan tahap ini.
  • D55L tidak menghasilkan bunyi "crashing" atau seperti nak runtuh bila bonggol-bonggol kecil dan lekuk dilanda pada kelajuan 40 ke 60 kmsj.
  • Malah Perodua berkata bunyi hujan juga lebih kedap dari dahulu.
  • Sayang sekali bomoh hujan tidak hadir untuk memberi kerjasama.

Selekoh macam mana? Masih bersepah? 

  • Litar ujian Perodua sebenarnya mempunyai satu bahagian yang penulis secara peribadi memanggilnya "The Karak Section".
  • Ia bermula dengan selekoh ke kanan yang mendaki dan kemudian terus membelok ke kiri sambil menuruni bukit tersebut.
  • Dalam kelajuan 120 kmsj, tidak ada rasa "floaty" atau terbang, stereng masih mampu memberikan sedikit informasi mengenai cengkaman tayar hadapan dan ekor mengikut sahaja ke mana muncungnya menghala.
  • Ini jauh lebih baik dari Myvi KOTR (King Of The Road) yang pernah penulis pandu di litar yang sama dahulu.

 

 

Sistem ASA - berfungsi atau auta?

  • Kami juga dibenarkan merasai sendiri sistem-sistem keselamatan elektronik yang ada pada varian tertinggi D55L itu.
  • Sistem ASA menggunakan dua kamera stereoskopik yang diletakkan pada cermin hadapan.
  • Ia memberikan standard Pemanduan Autonomi Tahap 2 dan adalah yang terbaik bagi segmen kenderaan di bawah harga RM80k.
  • Ia juga adalah ASA yang lebih lengkap dari sistem ASA Perodua yang terdahulu kerana ia mampu mengesan motosikal dan basikal.

Lane Departure Warning (LDW) and Prevention

  • Bila kenderaan mula "melelong" ke tepi garisan putih, amaran bunyi dan visual diberikan.
  • Jika pemandu masih engkar atau masih dilamun memori lama bersama kekasih dahulu, ASA (Sistem Bantuan Pemanduan Selamat) akan mula mengawal stereng untuk membawa kenderaan ke laluan yang betul.
  • Ia tidak terasa terlalu intrusif atau kasar dan dilakukan dengan rasa yang neutral agar pemandu tidak terkejut.

Lane Keep Control (hanya pada AV)

  • Ia menjadikan sistem LDW lebih lancar dan tidak agresif kerana ia "membaca" lorong dihadapan agaar bantuan atau input stereng dilakukan secara diam-diam.

Blind Spot Monitor

  • Menggunakan dua radar di dalam bamper belakang. Ia berfungsi, seperti pada kenderaan lain dengan sistem yang sama.

Rear Cross Traffic Alert

  • Memberikan amaran bila ada kenderaan sedang menghampiri belakang kenderaan bila kita mahu mengundur keluar dari parkir.
  • Amaran dalam bentuk audio dan visual diberikan.

 

 

Adaptive Cruise Control

  • Cruise Control kali ini memberikan ia fungsi untuk mengikut kelajuan kenderaan di hadapan.
  • Namun begitu, ia hanya berfungsi pada kelajuan minimum 30 kmsj, dan tidak boleh berfungsi dari keadaan pegun.
  • Kami mencuba sistem ini pada kelajuan 80 kmsj, dan kenderaan hadapan memperlahankan kelajuannya kepada 50 kmsj dan D55L memperlahankan kelajuannya dengan lancar.
  • Penulis terus terang tidak berapa minat dengan fungsi ini kerana menjadikan pemandu mengantuk tetapi untuk mereka yang mahu memandu secara santai di lebuhraya, fungsi ini memang sangat berguna.

Sistem audio dengan tweeter

  • Penulis mencuba secara ringkas kualiti audio pada varian AV yang datang dengan tambahan tweeter.
  • Selepas 10 saat, penulis menutup terus audio.
  • Penulis juga melihat ada kemudahan kabel HDMI untuk sistem infotainment ini, yang menandakan ia tidak ada Apple Car Play ataupun Android Auto.
  • Oleh kerana ia menggunakan touch-screen gaya Toyota sekarang, sukar untuk menukarkan sistem audio standard kepada yang "aftermarket".

 

 

Tempat duduk akhirnya muat untuk Hezeri Samsuri

  • Perodua terkenal dengan tempat duduk yang comel lote, dan untuk mereka yang berbadan besar, pipi punggung akan "duduk" di birai tempat duduk.
  • Untuk D55L, penulis dengan bangga memberitahu ini ialah tempat duduk paling selesa setakat ini dari kilang automotif di Sungai Choh ini.
  • Harapnya nanti, bila dapat diuji secara lebih lama, tempat duduk ini tidak mengecewakan kerana dengan prestasi enjin, pecutan, keselesaan dan penghalusan dari segi pemanduan, ini ialah Perodua yang terbaik pernah penulis uji.


D55L akan dilancarkan secara online pada 3 Mac ini dan tempahan sudahpun dibuka.

Harga yang disasarkan ialah antara RM62,500 dan RM73,400 di Semenanjung Malaysia.

Varian X dan H boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue – varian
H turut didatangkan dengan pilihan Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red. 

Tiga warna terakhir adalah baharu buat Perodua. Varian AV boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White, Pearl Delima Red dan dua warna terakhir dengan bumbung hitam ala "floating roof".

 

 

Waranti pula ialah selama lima tahun atau 150,000 km ditawarkan. Sela masa servis ialah setiap 10,000 km seperti biasa. 

Dengan rekabentuk yang dikongsi bersama Daihatsu dan Toyota, serta beberapa ciri-ciri khusus untuk tempatan kerana kerja R&D untuk model ini turut membabitkan anak tempatan sejak dari awal, ditambah dengan kualiti dan sifat tahan lasak jenama Jepun, Careta pasti ini adalah pakej yang sangat menarik untuk ramai.

Nantikan laporan lanjut Careta selepas D55L dilancarkan.

* Gambar-gambar yang digunakan hanyalah hiasan kerana Perodua D55L mempunyai perbezaan dari segi fizikal dan juga dimensi berbanding dengan model Toyota Raize dan Daihatsu Rocky.
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Beliau menjelaskan bahawa pencapaian 2021 lebih sesuai dibandingkan dengan prestasi 2019, di…
Berita Domestik
Bekalan perubatan itu merangkumi 5,000 pelindung muka, kerusi roda, kerusi tandas duduk, papan…
Berita Domestik
Aruz varian X masih mengekalkan harga RM68,526 sementara varian AV pula kekal RM73,226 (harga atas…