Pandu Uji Ringkas Ora Good Cat - 'kucing baik' bertenaga elektrik!

oleh Mohamad Hanif|
Pihak Great Wall Motors (GWM) bakal melancarkan secara rasmi kereta elektrik dari negara China, Ora Good Cat pada bulan November ini.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Sebelum itu, pihak GWM telah menjemput Careta untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan hatchback EV yang sangat comel ini di sekitar Gamuda Cove dan kawasan Putrajaya.



Spesifikasi ringkas Ora Good Cat:

Ora


Dimensi: 4,235 x 1,825 x 1,596 mm, Jarak antara roda 2,650 mm
Motor elektrik: Tunggal, Permanent Magnet Synchronous Motor
Kuasa: 143 PS/210 Nm
Kelajuan tertinggi: 152 km/j
Pek bateri:
1. Lithium Iron Phosphate 47.788 kWh (400 km NEDC)
2. Ternary Lithium 63.129 kWh (500 km NEDC)
Suspensi: Depan Topang MacPherson, Belakang Torsion Beam
Stereng: Elektrik

Bagaimana dengan pemanduan 'kucing baik' ini? Berikut merupakan input ringkas kami:

 

1. Kereta elektrik marhaen dengan sentuhan premium

Ora


Pihak GWM dalam laman web mereka mendedahkan julat harga Ora Good Cat yang bakal dijual kepada umum pada bulan depan, bermula dari RM14X,XXX hingga RM16X,XXX untuk versi yang lebih lengkap.

Antara kereta elektrik baru yang masih boleh dikategorikan sebagai EV yang mampu milik.

Sudut pandang luar, kereta ini memang comel, nak-nak bila anda memilih layangan warna dua tona.
 

Ora


Namun masuk ke dalam ruang kabin, anda akan disambut dengan susun atur papan pemuka yang dibaluti bahan yang rasa agak premium,macam tak padan pula dengan harga yang ditawarkan.

Tempat duduk memang selesa, menyokong postur tubuh badan, dan yang paling penting kaki tidak terasa tergantung.

Anda boleh dapatkan kemasan warna gelap untuk ruang kabin, namun ia hanya dikhususkan untuk varian terendah sahaja. Harus hati-hati kerana warna dalaman Ora Good Cat ini memang cerah dan mengundang kekotoran.

 

2. Kuasa memadai dan mudah dikendalikan

Ora


Kesemua varian Ora Good Cat dilengkapi dengan motor elektrik tunggal pacuan roda depan yang mampu menjana kuasa 143 PS dan 210 Nm.

Tipikal sebuah EV, Ora Good Cat memang 'seekor kucing yang baik', mampu menawarkan kadar pecutan segera, dan untuk mencapai kelajuan tertinggi 150 km/j adalah sangat mudah.

Terdapat beberapa mod pemanduan ditawarkan, termasuklah Normal dan Sport, di mana perbezaan boleh dirasai dari sudut pecutan, manakala tetapan suspensi pula tidak disertakan.
 

Ora


Cuma anda perlu berhati-hati bila membuat pecutan agresif, kerana saat pedal ditekan rapat dalam masa yang singkat, Ora Good Cat ini mampu menghasilkan wheelspin yang sangat jelas kedengaran dari dalam kabin. Silap langkah dan lokasi, kereta hilang kawalan.

Apa yang penulis boleh puji pada kereta Ora Good Cat ini adalah tahap pengendalian yang sangat mudah untuk dikawal, dibantu dengan sistem brek yang tidak rasa palsu, atau rasa 'spongy' seperti tipikal kereta elektrik.

Sistem pemanduan pedal tunggal juga boleh dirasai pada EV ini, cuma ia tidaklah sekuat kereta-kereta elektrik yang lebih mahal harganya. Anda masih lagi perlu bergantung kepada brek asal Ora Good Cat ini.

Input daripada stereng memang cukup rasa, baik dalam pemanduan berkelajuan rendah atau semasa melakukan pemanduan sedikit agresif. Penulis dengan senang hati boleh mengarahkan kucing ini pergi ke mana sahaja.

Namun, sukar untuk penulis ulas dengan lebih lanjut berkenaan karakteristik EV comel ini berdasarkan sesi pandu uji yang sangat singkat. Namun jika diberi peluang dan kesempatan, akan penulis cuba ulas dengan lebih mendalam.

 

3. Kereta elektrik pun ada fungsi urut!

Ora


Jarang untuk kita jumpa fungsi urut pada sesebuah kereta berharga bawah julat RM200k. Mungkin ciri yang biasa kita jumpa adalah ciri pemanas dan ventilasi udara sejuk.

Tapi Ora Good Cat ada menawarkan ciri ini untuk tempat duduk pemandu, dan ia boleh dinikmati sama ada ketika anda sedang berehat atau sedang memandu.

Ogawa? Bukan. Ora Good Cat.

 

4. Kamera 360 darjah yang sangat jelas paparannya

Ora


Seingat penulis, kali terakhir penulis menguji sebuah kereta keluarga dengan sistem kamera keliling yang sangat jelas paparannya adalah menerusi MPV berharga sekitar RM200k buatan Korea Selatan.

Perasaan yang sama kini dialami ketika memandu Ora Good Cat, walaupun pada hakikatnya sebuah hatchback segmen B tidak perlukan sistem kamera 360 darjah yang sangat sofistikated itu.

Tapi bila dah ada secara standard, guna sahaja lah kan?
 

Ora


Dengan paparan yang sangat tajam dan jelas, sistem kamera keliling ini juga akan diaktifkan bukan sahaja sewaktu anda meletakkan kereta di dalam kotak parkir, malah turut digunakan sewaktu membelok dan keluar simpang dalam kelajuan rendah,

Anda juga boleh 'bermain-main' dengan paparan kamera tersebut untuk melihat dengan jelas situasi di sekeliling, mana tahu ada kelibat manusia yang tersembunyi di sebalik titik buta.

 

5. 500 km, cukup ke?

Ora


Bagi penulis, Ora Good Cat direka untuk kegunaan jalan bandar dan urban.
Jadi jarak 500 km itu adalah lebih daripada mencukupi untuk kegunaan pergi dan balik dari tempat kerja.

Ora Good Cat turut menyokong pengecasan AC dengan tempoh masa sehingga 10 jam lamanya untuk penuh, atau pengecasan pantas DC di mana pengecasan 30-80 peratus boleh dibuat dalam tempoh 40 minit sahaja.

 

6. Ora Good Cat tawar pemanduan autonomi Tahap 2+

Ora


Menurut GWM, Ora Good Cat mempunyai sehingga enam kamera, 12 radar ultrabunyi dan gelombang radar 2 mm untuk menyokong ciri keselamatan seperti berikut:

  • Kawalan Jelajah Adaptif + Fungsi Membelok di Selekoh Pintar
  • Brek Kecemasan Automatik
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Pengekalan Tengah Lorong (LCK)
  • Sistem Pengelakan Pintar (Wisdom Dodge System, WDS)

Ciri di atas melengkapi ciri keselamatan pasif seperti enam beg udara, ESC, bantuan mula mendaki, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
 

Ora


Berdasarkan pandu uji ringkas, anda boleh rasakan betapa cekapnya ciri keselamatan itu berfungsi di atas jalan, terutama bantuan pengekalan lorong dan bantuan stereng bagi mengelakkan kereta tersasar ke lorong sebelah.

Bunyi amaran yang dihasilkan juga cukup kuat untuk memastikan pemandu sentiasa peka dengan keadaan pemanduan semasa.

Kalau boleh, penulis ingin menjalankan pemerintahan kuku besi dengan mengarahkan penumpang belakang untuk tidak membuka tali pinggang sewaktu berada di atas jalan raya disebabkan tahap kelantangan bunyi amaran yang dihasilkan itu.
 

Ora


Kesimpulan yang boleh penulis rangkumkan berdasarkan ujian yang sangat ringkas ini, Ora Good Cat mampu untuk menjadi sebuah kereta elektrik all-rounder yang sangat berbaloi, dengan pakej rupa, kelengkapan, serta keselamatan yang ditawarkan.

Nantikan sahaja pelancaran rasmi Ora Good Cat pada bulan depan, di mana pihak GWM akan mengumumkan harga jualan hatchback comel ini untuk pasaran Malaysia.

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Hadir sebagai generasi kedua, The New All-Electric MINI Cooper menampilkan prestasi dan jarak gerak…
Informasi
Minggu lalu, GWM Malaysia telah mengumumkan harga jualan bagi Tank 300 ini yang diimport sepenuhnya…
Kereta
VW Touareg merupakan SUV pertama bagi jenama VW, tetapi ia seolah-olah ‘underated’ bagi kalangan…