Pandu Uji Ringkas Nissan LEAF 2019 - Kejutan dalam kejutan!

oleh Mohamad Hanif|
Selesai sudah pelancaran kereta elektrik generasi kedua dari Nissan, iaitu LEAF pada minggu lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Setelah sesi pelancaran, para media turut diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman memandu di dalam sebuah kereta elektrik sepenuhnya. 

Buat penulis, ini merupakan peluang yang tidak dapat dilepaskan kerana ia sebenarnya adalah kali pertama memandu sebuah kereta yang tidak dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman. 

 

Jadi, bagaimanakah rasanya memandu di dalam sebuah kereta elektrik? 

Ikuti catatan ringkas kami setelah memandu Nissan LEAF dari Glenmarie ke Bangi dan Putrajaya tempoh hari. 


Kejutan Baik - Kuasa elektrik yang menyeronokkan


Seperti yang diterangkan sebelum ini, ia sebuah hatchback dengan nadi kuasa elektrik sepenuhnya. 

Atas kertas, motor elektrik tunggal ini memacu roda hadapan dengan kuasa 150 PS dan 320 Nm yang masuk penuh sejak dari awal pecutan. 

Dengan hanya sekali tekan, anda boleh merasakan pecutan yang pantas (tidaklah sepantas supercar) terutama ketika ingin mengalahkan mereka yang gemar menguji kuasa di persimpangan lampu isyarat. 
 


Bagi menguji bagaimana prestasi Nissan LEAF dengan enjin yang lebih berkuasa, kami diberikan peluang menguji pecutan bersama dengan 'abang'nya, Nissan Fairlady 370Z sejauh 50 meter. 

Jika diberikan ruang yang cukup, Nissan Fairlady 370Z itu senang-senang sahaja boleh mengalahkan Nissan LEAF.

Jangan tidak tahu, walaupun pecutan yang sepantas 7.9 saat (0-100 km/j), Nissan LEAF dihadkan kelajuannya kepada 155 km/j - bertujuan untuk menjaga kapasiti bateri bagi mengalirkan kuasa yang mencukupi untuk perjalanan anda. 

 


Kejutan Baik - Pemanduan lebih lincah, dan meyakinkan


Nissan LEAF memperoleh kuasanya daripada pek bateri berkapasiti 40 kWh yang diposisikan di lantai kereta ini. 

Apakah kebaikannya? 

Pengendalian yang lebih stabil dan lebih lincah di lebuhraya, jalanraya biasa dan lebih lazat jika dikerah untuk meratah selekoh-selekoh. 

Ini kerana posisi pek bateri yang rendah menjadikan titik graviti yang lebih rendah sekaligus membantu pengendaliannya yang lincah itu. 

Talaan kepada sistem gantungan juga dirasakan amat baik ketika memandu di jalan raya Malaysia yang cemerlang lubangnya itu. 

 

Kejutan Baik - Senyap!


Sebuah kereta elektrik tiada sebarang trenkuasa, sistem ekzos dan juga sistem transmisi yang mana bunyinya boleh tahan mendatangkan ketidakselesaan di telinga, terutama ketika berjalan jauh. 

Memandangkan tiada sebarang gegaran dan bunyi daripada enjin pembakaran dalaman, suasana dalam kabin dirasakan lebih senyap dan lebih selesa. 

Ketika fasa pecutan, anda tidak akan sedar kereta anda sudah pun mencecah kelajuan melebihi had laju lebuhraya dek kerana senyapnya kereta ini. 

 

Kejutan Sederhana - Jarak operasi yang sederhana jauh


Untuk sebuah kereta elektrik dengan pek bateri berkapasiti 40 kWh, Nissan LEAF mampu menawarkan jarak operasi sejauh 311 km mengikut data kitaran NEDC. 

Namun, data tersebut bergantung juga kepada suhu operasi, keadaan pemanduan semasa dan beberapa faktor luaran. 

Jadi, adalah dinasihatkan kepada pemilik LEAF supaya merancang perjalanan terlebih dahulu, kerana tidak banyak stesen pengecasan pantas CHAdeMO 50 kW yang ditawarkan di Malaysia. 

Tiga unit sahaja buat masa ini iaitu di Nichicon (M) Sdn Bhd, Bandar Baru Bangi, dan juga R&R Ayer Keroh, Arah Selatan. 

Manakala di 17 buah pusat pameran ETCM pula dibekalkan pengecasan standard Wallbox 6.6 kWh yang mampu mencapai tujuh jam masa pengecasan penuh. 

 

Kejutan Baik - Anda boleh memilih kereta lain untuk berjalan jauh


Untuk pemilik Nissan LEAF, ETCM memberikan anda tiga unit kenderaan berkuasa petrol yang boleh ditempah dan digunakan dalam masa 23 hari setahun - sekiranya anda ingin melakukan perjalanan jauh. 

Tiga unit kenderaan tersebut termasuklah trak pikap Navara, SUV X-Trail dan juga MPV Serena S-Hybrid. 

Jadi, buangkan jauh-jauh permasalahan jarak operasi Nissan LEAF dan gunakan tawaran yang diberikan oleh Nissan sebaiknya!

 

Kejutan Sederhana - e-Pedal yang mudah, namun sedikit rumit


Nissan LEAF menawarkan sistem operasi pedal tunggal yang digelar sebagai e-Pedal.

Sistem ini boleh diakses pada konsol tengah, dan membolehkan anda memecut dan membrek dengan hanya satu operasi pedal sahaja. 

Ujian awal penulis menggunakan sistem e-Pedal ini mendapati ia mudah untuk dioperasikan setelah beberapa kali fasa pecutan dan berhenti, malah ia sekaligus menghapuskan tanggapan awal penulis bahawa ia akan berhenti mengejut apabila pendikit minyak diangkat secara mendadak. 

Boleh dikatakan, sistem ini 'mempelajari' cara manusia membrek dengan cermat dan dibantu dengan sistem Amaran Pra-Pelanggaran supaya pemandu lebih peka kepada keadaan trafik hadapan. 

Namun, orang belakang mungkin akan rasa jengkel kerana lampu brek LEAF akan menyala saat anda mengangkat sedikit pendikit untuk memperlahankan kenderaan. 

Susah juga jika mahu merehatkan sebentar kaki kanan yang kepenatan. 

Jadi, jika rasa tidak mahu rasa terkeliru, padamkan sahaja fungsi e-Pedal ini dan pandulah seperti biasa. 


Kejutan Sederhana - kabin yang selesa, tapi..


Dari segi kedudukan penulis sebagai seorang penumpang dan juga bertukar posisi kepada seorang pemandu, boleh dikatakan Nissan LEAF cukup selesa ditambah pula dengan kadar NVH yang minima di atas jalan. 

Tempat duduk balutan kulit Alcantara menambahkan lagi rasa mewah yang dibawakan oleh bahagian luaran Nissan LEAF ini. 

Namun, ia terhenti setakat di situ, kerana kemasan papan pemuka pula seakan tidak selari dengan elemen futuristik yang dibawakan di luar. 

Sistem hiburan pula terasa seperti head-unit kereta awal tahun 2000-an, penuh dengan butang-butang fungsi yang mengelilingi skrin paparan yang kecil itu. 

Rasa tidak puas terutama ketika hendak melihat paparan keliling 360 darjah.

 


Memandangkan pek bateri yang terletak di bahagian lantai, memandu sebuah Nissan LEAF seakan anda memandu sebuah crossover, sedikit tinggi walaupun tempat duduk telah diposisikan paling rendah. 

Penumpang belakang juga akan merasakan kekurangan ruang untuk merehatkan kaki disebabkan pek bateri itu tadi. 

Namun bagi penulis, ia bukanlah masalah besar berbanding faktor kemasan yang dibawakan di bahagian papan pemuka itu tadi. 

Teringat pula kata-kata Wahid Senario dalam filem Lagi-lagi Senario. 
 

Kejutan Sederhana - Harga mahal? Ada alternatifnya untuk anda


Untuk sebuah Nissan LEAF, ETCM menetapkan harga jualan bermula dari RM188,888 atas jalan tanpa insurans. 

Untuk sebuah teknologi yang masih belum meluas, ia nampak mahal akan tetapi itu adalah harga yang anda perlu bayar. 

Namun, terdapat alternatif bagi mereka yang tidak mahu memiliki Nissan LEAF, menerusi program langganan bernilai serendah RM3,500 sebulan dan kontrak selama tiga tahun. 

Selepas tiga tahun, anda diberikan pilihan untuk membeli terus unit yang dilanggan atau memperbaharui kontrak sedia ada dengan harga yang masih belum ditetapkan oleh ETCM. 
 


Pada kami, Nissan LEAF bukanlah kereta yang sesuai untuk mereka yang mahu mencari kereta pertama untuk keluarga, memandangkan jarak operasi yang ditawarkan terhad. 

Selain daripada itu, tidak banyak fasiliti pengecasan pantas dibina di Malaysia melainkan di tiga tempat utama iaitu di Subang Jaya, Bandar Baru Bangi dan juga R&R Ayer Keroh. 

Untuk mereka yang tinggal di apartment dan bukan di rumah teres, anda juga sebenarnya perlu risau kerana tidak banyak kawasan kediaman yang menawarkan ruang fasiliti pengecasan untuk kereta elektrik buat masa ini. 

Jadi, ini adalah kejutan dalam kejutan yang harus anda fikirkan terlebih dahulu sebelum benar-benar menjadi seorang pencinta alam sekitar yang mahukan sebuah kenderaan yang sifar emisi. 
 

Berita Berkenaan

Berita Global
  JVC KENWOOD juga menawarkan produk sama dan dijual secara dalam talian. Bateri mudah alih ini…
Berita Global
Menurut laporan Bloomberg lagi, terdapat juga masalah litar pintas yang mampu mengakibatkan motor…
Berita Global
Apabila disebut mengenai EV, pasti ramai akan tertumpu pada jenama besar seperti Tesla, yang…