Pandu Uji Ringkas Mazda CX-30 2.0G High 2020 - crossover generasi baharu Mazda!

oleh Mohamad Hanif|
Selesai sudah pelancaran rasmi Mazda CX-30, iaitu sebuah lagi penawaran Mazda untuk para peminat crossover SUV di Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hanya dalam masa beberapa bulan pelancaran rasmi di peringkat global, ia sudah pun mendarat di bumi Malaysia yang terkenal kerana kelambatannya dalam menerima model-model terkini. 

Pihak Mazda Malaysia turut menyediakan sesi pandu uji ringkas untuk kami para pengamal media menilai sendiri bagaimana prestasi Mazda CX-30 ini di dalam dunia nyata. 

Berikut merupakan input-input yang kami dapati berdasarkan pemanduan ringkas dari Putrajaya ke Bentong menerusi lebuhraya yang paling digemari ramai - Karak.
 

Reka bentuk luaran


Ketika artikel berkenaan spesifikasi Mazda CX-30 ditulis beberapa minggu yang lalu, ramai yang mengeluh kerana rupa paras kereta Mazda sebenarnya 'sepesen' je. 

Kami tidak menyalahkan anda, kerana ia sebenarnya merupakan identiti Mazda tersendiri dalam memperlihatkan Kodo Soul of Motion dalam setiap kenderaan mereka. 
 


Bagi mereka yang tajam penglihatannya, anda boleh membayangkan Mazda CX-30 ini sebagai crossover kepada Mazda3 hatchback yang telah kami uji tahun lalu. 

Hakikatnya, Mazda CX-30 ini memang dibangunkan berdasarkan Mazda3, dan merupakan kenderaan kedua yang diproduksikan berdasarkan platform Skyactiv yang terkini selepas Mazda3. 
 

Dimensi


Dari segi dimensi, ia diposisikan antara Mazda CX-3 yang lebih kecil, dan juga Mazda CX-5 yang lebih besar.

Berdasarkan ujian kami sebagai pemandu dan juga penumpang, kami tidak menghadapi sebarang masalah kerana ruang kabin sememangnya direka lebih luas, ruang kepala juga tidaklah terlalu sempit seperti Mazda CX-3.

 


Ruang kargo juga direka lebih besar - 430 liter - dan tiada sebarang masalah untuk memuatkan empat buah beg. 
 

Ruang kabin


Membawakan rekaan yang minimalis dan bertujuan untuk mengurangkan gangguan kepada pemandu, penulis agak tertarik kerana ia sebenarnya jauh lebih sedap mata memandang berbanding Mazda3. 

Penggunaan bahan pada papan pemuka juga lebih sedap untuk dipegang, akan tetapi mata penulis tidak dapat lari daripada mengenepikan kehadiran ruang (gap) yang boleh dirapatkan pada bahagian kiri dan kanan komponen tersebut. 

Namun, ia bukanlah satu masalah yang besar kerana sepanjang pemanduan, ruang kabin kekal menawarkan suasana yang senyap dan selesa. 
 

Pemanduan - seperti biasa sebuah Mazda!


Seperti yang disebutkan, Mazda CX-30 secara teknikalnya merupakan Mazda3 yang lebih besar dan tinggi.

Model asas dan pertengahan didatangkan dengan nadi 2.0 liter Skyactiv-G menghasilkan 163 hp dan 213 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik Skyactiv-Drive enam nisbah kelajuan. 

Talaan yang Mazda berikan bukanlah bertujuan untuk menjadi hero di lampu isyarat, akan tetapi anda akan merasai kuasa tersebut sebenarnya lebih diperlukan terutama di jalan raya dan lebuhraya Karak yang kami lalui. 
 


Ciri G-Vectoring Control Plus pula dalam memastikan dinamik kenderaan kekal stabil sepanjang meratah selekoh, ia tidak pula menjadikan pemanduan sepanjang jalan memenatkan. 

Malah ketika penulis duduk di baris kedua, tidak pula perasaan pening kepala itu hadir walaupun penulis sebenarnya agak benci untuk duduk di belakang, apatah lagi di laluan Lebuhraya Karak yang penuh berselekoh itu. 

Prestasi brek pula cukup cemerlang, ia dibuktikan ketika kami hampir mengalami pelanggaran akibat tindakan pemandu teksi yang enggan memberikan isyarat. 

Syukur tiada sebarang kejadian buruk berlaku. 
 

Apa yang ekstra?


Selain menawarkan pelindungan setinggi 99 peratus (!) kepada penumpang dewasa (Euro NCAP 5 bintang!), Mazda menawarkan beberapa ciri keselamatan tambahan kepada crossover ini seperti:

  • sistem pemantauan titik buta
  • bantuan kekal laluan
  • kawalan pelayaran berasaskan radar
  • brek kecemasan pra-pelanggaran hadapan dan belakang

Ujian demonstrasi telah pun dibuat di atas jalan raya dan juga ujian parkir telah membuktikan Mazda CX-30 mampu beraksi cemerlang dan ia merupakan salah satu kenderaan yang sesuai untuk dijadikan kereta seharian anda. 

Baca: Mazda CX-30 skor markah tinggi Euro NCAP!


Harga


Harga jualan pula bermula dari RM143,059.00 untuk varian CX-30 2.0L (2WD), RM164,059.00 untuk varian pertengahan 2.0L High (2WD), manakala varian diesel 1.8L High pula dijual pada harga bermula RM173,943.60 - kesemua merupakan harga atas jalan tanpa insurans. 

Memandangkan Mazda CX-30 sama seperti Mazda3 yang merupakan unit CBU sepenuhnya dari Jepun, harga jualan sedikit tinggi malah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing rapat di dalam kelas harga bawah RM150,000.
 


Soal ini, kami serahkan kepada anda memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia lebih gemar melontarkan kenyataan "lebih baik model X berbanding model ini" tanpa menguji sendiri model yang dimaksudkan. 

Namun, dalam satu kenyataan Mazda Malaysia mengesahkan bahawa unit CKD akan hadir ke pasaran Malaysia (dengan harga yang lebih murah), hanya selepas 3,000 unit CBU habis terjual di Malaysia. 

Anda sanggup menunggu?

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…