Pandu Uji Ringkas: Hyundai Sonata 2.5 Premium

oleh Mohamad Hanif|
Penulis masih lagi teringat masa zaman sekolah asrama penuh di Batu Kikir, Negeri Sembilan puluhan tahun yang lalu (macam la lamaaa sangat!), penulis amat gemar memerhati gerangan kenderaan apakah yang dibawa oleh ibu bapa ketika waktu melawat tiap hari Ahad.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Ada yang membawa kereta berjenama automotif pertama Malaysia, tidak kurang yang datang dengan kereta-kereta Jepun yang klasik dan baru, ada yang hadir dengan kereta kecil Perodua dan bapa penulis, ada kalanya naik Yamaha Sports II sahaja. Maklumlah, rumah dengan asrama 10 km sahaja.

Namun jenama yang satu ini susah betul nak jumpa, ditambah pula ia bukanlah satu pilihan bagi mereka yang duduk di luar bandar - Hyundai.

Jenama yang menggunakan logo H italik itu pertama kali penulis lihat ketika zaman sekolah dan masa itu tertanya-tanya juga, jenama dari negara manakah ini.

Kenapa tak ramai yang pakai?
 


Tambah memedihkan apabila jenama Hyundai kerap kali diberikan gambaran negatif menerusi filem Fast and Furious Tokyo Drift apabila watak Han menyatakan sebaris ayat berbunyi, "What you think, I'm gonna let you roll in a Hyundai?"

Ok panjang pula pembuka karangan kali ini.

Hyundai Sonata 2.5 Premium.

Sedan segmen D generasi kelapan ini telah pun rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan 10 tahun lalu dan ia berentap secara terus dengan pesaing seperti Honda Accord, Toyota Camry, Mazda6 dan Volkwagen Passat.

 


Apa yang pasti, sedan generasi baharu ini membawakan bahasa rekaan Hyundai yang ternyata lebih sporti (Sensuous Sportiness) dan lebih bertenaga berbanding generasi terdahulu.

Dari segi luaran, reka bentuk yang dibawakan memang tidak syak lagi adalah sebuah Hyundai, dengan rekaan gril bukaan mulut ikan keli yang cukup besar (trend masa kini) dan apa yang menarik perhatian adalah ciri lampu nyalaan siang LED yang berjaya disembunyikan apabila tidak digunakan.

 


Di mana ia disembunyikan? Disebalik jalur krom yang berada di bahagian fender hadapan yang bersambung dengan jalur krom pada bahagian sisi.

Dari sudut sisi, Sonata hadir dengan reka bentuk fastback yang menjadi satu kelaziman rekaan sedan masa kini, dan lampu belakang dengan grafik berbentuk C seakan lampu Civic yang disambungkan dengan jalur merah yang melintang di bawah nama SONATA.

Sememangnya dari sudut luaran, Hyundai Sonata membawakan penampilan yang tersendiri dan mudah untuk dibezakan berbanding model-model Jepun.

 


Sementara ruang kabin Hyundai Sonata yang kami pandu uji kali ini membawakan penggunaan warna dua tona pada papan pemuka, serta warna cerah yang sama digunakan pada upholsteri tempat duduk dan tempat perehat tangan di bahagian tengah.

Susun atur papan pemuka juga cukup kemas berorientasikan pemandu, memudahkan penulis untuk mencapai punat fungsi yang diinginkan tanpa perlu bergerak dengan banyak ketika memandu.

Perasan kan kenapa ruang kabin hadapan nampak lebih luas?

 


Keluasan bahagian tersebut sebenarnya disumbangkan oleh penggunaan sistem shift-by-wire yang hanya menggunakan punat sahaja, di mana kadang-kadang kehadiran tombol tradisional lebih menyukarkan pemandu untuk mencapai barangan di konsol tengah.

Pada permulaan, anda mungkin tidak biasa dengan keadaan ini, namun lama kelamaan, anda pasti akan berterima kasih dengan ciri yang ditawarkan pada Sonata ini.

Tekan-tekan punat untuk pandu, sedap ke?

Usah risau, ketika penulis mula-mula memandu sebuah Mercedes dengan tombol gear yang berada di posisi tuil lampu isyarat membelok, boleh tahan kekok juga.

Namun alah bisa tegal biasa, begitulah yang penulis boleh ungkapkan pada punat gear Hyundai Sonata ini.

 


Dari segi kuasa, Hyundai Sonata datang dengan nadi Smartstream G2.5 yang mampu menjana 180 PS dan daya kilas 232 Nm yang ternyata sudah cukup memadai untuk kegunaan seharian.

Sistem transmisi automatik enam kelajuan itu ditala untuk kelancaran pemanduan yang ideal, baik untuk kegunaan dalam bandar, serta meluncur laju di atas lebuh raya tanpa sebarang sela masa yang melambatkan urusan memotong atau memecut dari pintu pagar tol.

Atau ketika sedang lari dari dikejar oleh hatchback paling laju atas laluan kanan lebuhraya.

 


Sebut pasal pengendalian, penulis kira Sonata ini berada di tengah-tengah, tidaklah terlalu sporti dan tidaklah terlalu membosankan sehinggakan rasa macam nak balik cepat dan tidur atas katil lebih baik.

Cuma penulis lebih menghargai mod pemanduan Sporty itu didatangkan dengan talaan yang sepatutnya kepada sistem suspensi dan stereng, bagi menjadikan pemanduan yang lebih mengujakan.

Aspek pemberhentian sedan ini juga cukup mengkagumkan, di mana penulis tidak perlu sampai berdiri untuk memastikan Sonata ini tidak berjaya menghentam kereta di hadapan.

Dari segi pakej yang disebutkan di atas, penulis amat yakin ia merupakan satu pilihan yang cukup sempurna bagi melawan penguasaan sedan-sedan dari Jepun dan Continental, kecuali satu perkara - keselamatan.

 


Ciri-ciri keselamatan wajib seperti enam beg udara, ABS, ESC, bantuan mula mendaki (HAC), bantuan brek (BAS), pengurusan kestabilan kenderaan (VSM), dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Unik untuk Sonata adalah ciri sistem pemantauan titik buta yang akan memaparkan imej secara terus kepada skrin instrumen - seakan Honda LaneWatch untuk kiri dan kanan, serta bantuan pandangan keliling 360 darjah yang amat berguna ketika memasuki kawasan parkir.

Akan tetapi, amat mengecewakan apabila sebuah sedan yang diletakkan harga sekitar RM200 ribu tidak dilengkapi dengan ciri bantuan pemandu termaju Hyundai SmartSense.

Hyundai Kona yang berharga RM50 ribu kurang dari Sonata pun hadir dengan ciri Hyundai SmartSense (Bantuan Kekal Laluan (LKA), Smart Cruise Control (SCC), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW), Bantuan Suluhan Tinggi (HBA)).

 


Jadi, adakah Hyundai Sonata 2.5 Premium berharga RM189,888 ini satu pilihan yang kurang bijak?

Tidak sebenarnya sekiranya anda mahu beralih kepada sedan-sedan selain daripada buatan Jepun macam Accord, atau Camry.

Tiada salahnya untuk anda sekali sekala berubah angin bukan?

Baca: Spesifikasi Hyundai Sonata 2.5 Premium

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…