Pandu Uji Ringkas: Ford Ranger Wildtrak 4X4 dan Ford Ranger XLT+

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Satu negara tahu bahawa Sime Darby Auto Connexion (SDAC), penjaga jenama Ford di Malaysia sudah melancarkan varian Ford Ranger T6 yang terkini.

Ini ialah kali kedua Ranger model T6 ini menerima pembaharuan, di mana varian pertama meliputi perubahan kosmetik sehinggakan ramai yang memanggilnya model T7.

Menurut SDAC, ini ialah model Ranger 2018 dan sekiranya anda berkata tidak ada yang berubah, perubahan besar sebenarnya berlaku di sebalik wajah tampan trak ini.

Careta sempat diberi peluang untuk memandu uji dua varian terbaharu Ranger ini ke Cherating, Pahang. 

Di bawah ialah laporan ringkas kami.

 

 

Ford Ranger Wildtrak 4X4 2018 (RM144,888)

Untuk Wildtrak, perubahan luaran lebih kepada lampu hadapan yang kini menggunakan lampu HID dan DRL jenis LED dan jua bamper baharu yang menempatkan Lampu kabus bulat jenis LED.

Masih tidak terdapat plastik over-fender di atas ruang roda, menyebabkan ia tidak nampak begitu agresif. 

Warna jingga yang digunakan juga lebih cair, supaya ia tidak begitu nampak seperti Nissan Navara.

Di bahagian kabin, perubahan sangat minima dan hanya boleh diketahui oleh pemilik Wildtrak varian sebelumnya.

 

 

Antara yang berbeza ialah tempat duduk Wildtrak sekarang ialah kulit sepenuhnya, tanpa corak-corak rambu ramba jingga dahulu.

Soket 12V kini tinggal satu kerana yang satu lagi ditukarkan menjadi soket USB. Soket USB satu lagi dibiarkan di bahagian bawah tombol kawalan pendingin hawa.

Juga hadir akhirnya di dalam Ford Ranger ialah butang Start/Stop yang telah lama wujud di dalam trak-trak jenama pesaing. 

 

 

Yang lain kekal sama, termasuk warna hitam dan kelabu gelap untuk keseluruhan kabin, kawalan elektrik untuk tempat duduk pemandu sahaja dan soket tiga-palam 230V di belakang konsol tengah.

Skrin sesentuh 8-inci itu sudah menggunakan sistem operasi SYNC3 yang membenarkan Apple Car Play dan Android Auto. Untuk Apple Car Play, anda perlu menggunakan kabel dan Waze kini boleh digunakan dengan skrin tersebut.

Oh ada satu lagi perubahan yang dilakukan - panel papan pemuka di hadapan tempat duduk penumpang hadapan itu juga berubah coraknya dan sekarang lengkap dengan tulisan Wildtrak. 

Ini bagus untuk memastikan gadis jelita yang anda tumpangkan ke pejabatnya itu tahu Ranger anda bukan Ranger marhaen.

 

 

Satu lagi kelainan di dalam kabin Wildtrak yang memberikan petanda bahawa ada perubahan teknikal yang telah dilakukan di bawah hud itu - tuil gear.

Jika Wildtrak dahulu boleh membuat tukaran nisbah gear secara Plus - Minus dengan menggerakkan tuil gear ke kanan, yang varian terbaharu ini tidak boleh.

Apa yang ada ialah satu butang (rocker switch) pada tombol gear di sebelah kanan yang anda gunakan untuk menukar nisbah gear.

Ya, ini sangat Amerika dan terus terang penulis kata, ia adalah satu perkara yang sungguh penulis tidak suka. 

Ia umpama bermain bola dengan menggunakan lutut sahaja - tidak sesuai dan tidak terasa sporti.

 

 

Enjin lama 2.2L dan 3.2L Wildtrak sebelum ini telah diberhentikan dan digantikan dengan enjin EcoBlue Ford yang terkini - enjin diesel 2.0L dengan teknologi BiTurbo.

Enjin Panther (dulu Puma, mungkin selepas ini Ford akan guna nama Rimau Belang) itu walaupun lebih kecil kapasitinya, tetap menghamburkan tenaga yang jauh lebih mantap dari enjin kuno 3.2L 5-silinder itu.

Enjin 2.0L BiTurbo Wildtrak menghasilkan 213 hp dan 500 Nm dari 1,750 ke 2,000 rpm, jauh beza dari enjin 3.2L lama yang memberikan anda 197 hp dan 470 Nm sahaja. 

Cukai jalan untuk enjin 2.0L juga jauh lebih murah - RM440 berbanding cukai jalan 3.2L sebanyak RM1,960.

 

 

Pasti sesiapa yang memiliki Wildtrak 3.2L terasa mahu menarik rambut sendiri bukan? 

Berbanding dengan seterunya, Wildtrak 2.0L mempunyai kuasa kuda dan daya kilas paling tinggi di dalam pasaran, mengalahkan Toyota Hilux 2.8L atau Nissan Navara 2.5L VL. 

Transmisi automatik 10R80 10-kelajuan dengan SelectShift (tukaran manual dengan butang kecil tadi) menjadi transmisi tunggal untuk Wildtrak.

Dari segi pemanduan, perlu diberitahu bahawa Wildtrak ini jauh lebih senyap dari Wildtrak lama. Mungkin penggunaan Active Noise Cancellation (hanya untuk varian Wildtrak 4X4) menjadi punca utama kenapa ia lebih senyap.

 

 

Sistem itu menggunakan mikrofon di siling atas kepala pemandu dan penumpang hadapan. Ia membaca bunyi-bunyi yang tidak diingini dan komputer akan memproses dan kemudian menghasilkan gelombang bunyi melalui pembesar suara untuk "membunuh" bunyi-bunyi itu.

Bunyi deruman enjin Panther itu juga kedengaran lebih "bertenaga" di dalam Wildtrak 4X4, dan kami syak ia adalah bunyi palsu hasil dari sistem pembesar suara. Enjin diesel tidak boleh menderum seperti bunyi enjin petrol tetapi di dalam Wildtrak, itulah bunyi yang anda akan dapat.

Canggih. Memang canggih. Sudah seperti sebuah sedan premium BMW, Mercedes-Benz atau Jaguar!

 

 

Lebih canggih ialah sistem Semi Automatic Parallel Parking yang mana membuatkan kami sedikit keliru kerana pada kami, tidak ada yang "Semi" pada sistem ini.

Seperti sistem pada kereta mewah, sistem ini memerlukan anda mengawal gear, pendikit dan brek. Komputer akan mengawal stereng ketika melakukan parkir sisi secara automatik. Ini sama seperti sistem parkir automatik yang digunakan oleh jenama Jerman yang lain.

Trak pikap mana yang mempunyai ciri ini? Hanya Wildtrak seorang sahaja. 

Dari segi tukaran gear pula, ada 10 nisbah yang dikawal oleh komputer dan kami langsung tidak merasakan kotak gear itu menukar nisbah. Ia sangat, sangat, sangat lancar.

 

 

Hantaran tenaga dari enjin BiTurbo itu juga seperti tidak ada getaran langsung. Sedar-sedar, anda sudah mencapai kelajuan yang membuatkan polis mengangkat kedua-dua kening. Biarkan seminit lagi, abang polis sudah boleh hidupkan lampu biru dan mula mengejar Ranger Jingga ini.

Sesungguhnya, ia adalah trak pikap yang paling senyap dan  paling lancar (smooth) pernah kami cuba. Tidak pasti samada ini yang anda perlukan dari sebuah trak pikap tetapi jika pemanduan anda 90 peratus di dalam bandar dan di jalan bertar, dan anda mahukan keselesaan untuk perjalanan jauh tanpa runsing, Ranger ini sudah selesa umpama Toyota Camry atau Honda Accord.

Dari segi pengendalian, pastinya sistem gantungan ditala kembali untuk lebih sesuai kepada berat enjin dan transmisi baharu itu.

 

 

Ia masih lagi trak yang mempunyai pengendalian terbaik kerana ujipandu kami di lebuhraya KLK (KL-Karak) membuktikan tidak ada understeer yang melampau dan bahagian belakang stabil walaupun bila brek ditekan ketika masih di dalam selekoh.

Harapan kami, janganlah ramai yang melenjan trak pikap dengan terlalu laju kerana trak pikap ini tidak seperti sebuah kereta - ia tidak memberi amaran bila ia akan membuang.

Sedar-sedar, anda sudah terbalik di dalam longkang. 

 

 

Ford Ranger XLT+ 2018 (RM124,888)

Ford benar-benar mahu memastikan Ranger kali ini mempunyai pelbagai varian.

Tidak seperti jenama lain, Ford tidak membezakan Ranger ini dengan aksesori-aksesori yang dibeli dari kedai di Haat Yai, tetapi perbezaan teknikal yang benar-benar dihasilkan di pejabat R&R Ford di Australia khusus untuk model ini.

Contohnya XLT+ ini tidak menggunakan enjin lama 2.2L, tetapi tetap enjin 2.0L dari keluarga EcoBlue dari Ford. Bezanya, enjin Panther ini menggunakan satu unit turbo, menjadikan kuasa maksimumnya rendah dari Wildtrak dan Raptor.

 

 

Ranger XLT+ dengan enjin Panther 2.0L Single Turbo ini menghasilkan 180 hp dan 420 Nm, masih lebih tinggi dari enjin 2.2L Puma dahulu (158 hp dan 385 Nm).

Namun begitu, enjin 2.0L single turbo ini masih tidak sekuat enjin 2.5L pada Nissan Navara VL yang menghasilkan 190 hp dan 450 Nm.

Navara juga RM5,00 lebih murah (itu pun sebelum diskaun kerana Nissan suka memberi diskaun-diskaun sehingga harga jualan untuk unit terpakai jatuh teruk)  tetapi apa yang XLT+ ini ada sesuatu yang trak pikap lain tidak ada - transmisi automatik 10-kelajuan, sistem gantungan yang lebih selesa dan mantap serta keselesaan yang jauh ketara lebih berbeza.

Walapun Navara mempunyai sistem gantungan multi-link di belakang, trak pikap Nissan itu mudah untuk understeer ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi dan bahagian belakang terasa memantul di jalan biasa. Cuma bila melanggar bonggol jalan, Navara terasa lebih baik "damping" untuk gandar belakang.

Ranger pula memberikan keselesaan dan terasa stabil untuk kebanyakan jenis pemanduan. Tindakbalas stereng juga lebih telus, memberikan keyakinan kepada pemandu.

Apapun, Navara dan Ranger adalah dua trak pikap yang benar-benar mempunyai ciri-ciri pengendalian seperti sebuah kereta. 

 

 

Dari segi kabin, XLT+ mempunyai papan pemuka yang sudah hampir sama dengan varian Wildtrak, cuma tempat duduk kulit warna hitam yang lebih "biasa-biasa" dari Wildtrak dan tempat duduk pemandu menggunakan kawalan manual, bukan elektrik.

Skrin sesentuh 8-inci dengan sistem operasi SYNC3 untuk kawalan audio diberikan sementara skrin 4-inci di kiri dan kanan meter kelajuan turut disertakan sekali - kedua-dua ini memang dari varian Wildtrak.

Ia juga lengkap dengan butang Start/Stop serta kelengkapan elektronik lain seperti MyKey dan beberapa yang lain.

Cuma apa yang XLT+ tidak dapat ialah pakej keselamatan elektronik seperti pada Wildtrak (Lane Keep Assist, Autonomous Emergency Braking dan Forward Collision Warning) serta sistem Adaptive Auto Cruise secanggih Wildtrak  4X4.

Ia juga datang dengan Limited Slip Differential mekanikal, bukan e-locking Rear Differential pada Wildtrak.

 

 

Dari segi luaran, XLT+ masih menerima lampu HID dengan DRL LED, tetapi lampu kabus adalah dari jenis halogen biasa.

Ini adalah set-up terbaik kerana lampu kabus sepatutnya dibiarkan kuning, bukan putih menggunakan LED kerana lampu kuning itu boleh menembusi kabus dan hujan siang dengan lebih baik.

Perjalanan balik dari Cherating ke Setia Alam di Shah Alam membuktikan sekali lagi Ford berjaya mencari formula sistem gantungan yang sangat baik dari segi kawalan badan.

Rakan Careta dari Motor Trader juga terkejut merasakan prestasi pengendalian Ranger ini. Baharu beliau faham kenapa ramai yang menulis Ranger ini sedap dipandu dan beliau memandunya selaju kereta - sehingga penulis berdehem untuk mengingatkannya bahawa penulis ada keluarga di rumah.

 

 

Ia tidak begitu beroleng dan kekal bersahaja di dalam selekoh walaupun cuma menggunakan roda aloi 17-inci (Wildtrak menggunakan roda aloi bersaiz 18 inci). Brek juga tidak begitu menyebabkan bahagian depan menjunam dengan terlalu banyak. 

Bak kata Mat Saleh, sistem gantungan Ranger ini "well sorted out" dan "planted". 

Dari segi keselesaan, ia sama selesa dengan Wildtrak, cuma ia tidak sesenyap Wildtrak dan tidak ada bunyi deruman palsu.

Jika anda mahukan sebuah trak pikap yang modern dan selesa pada bajet di bawah RM125,000, XLT+ ini boleh difikirkan cuma pada pendapat penulis, Ford sepatutnya memberikan sedikit kelainan dari segi kosmetik agar Ranger XLT+ ini nampak lebih segar dari varian sebelumnya.

Buat masa sekarang, XLT+ nampak terlalu bersahaja dan jika diparkir di sebelah varian FX4 yang lama, pasti tenggelam. 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Selepas itu, Latihan Kemahiran 4WD Sarawak 4x4 Training Academy (Sar4Trac) pula akan diadakan, yang…
Berita Global
Isuzu D-Max menjadi kenderaan ketiga paling popular di negara kangaroo itu, dengan jualan sebanyak…
Berita Global
  Selain itu, XR3 dijual pada harga yang berdaya saing dan gabungan ciri-ciri tersebut…