Baru-baru ini penulis yang masih muda dan segar telah mendapat peluang mencuba varian tertingginya, iaitu Iriz 1.6L Active CVT dalam perjalanan menuju ke Alor Setar, Kedah untuk tugasan.
Perjalanan dari Shah Alam ke Alor Setar itu melibatkan jarak 453 km sehala, menjadikan jumlah perjalanan pergi dan balik sejauh 906 km.
Seperti kita sedia maklum, enjin yang digunakan pada Iriz bukanlah sebuah enjin baharu yang dibangunkan (R&D) untuk mencapai penjimatan seperti kebanyakan model-model terkini.
Iriz Active dikuasakan enjin CamPro 1.6 liter VVT dipadankan bersama transmisi CVT Punch yang telah ditala semula berbanding model tahun 2014, bagi memberikan kelancaran semasa memecut, di mana ia menghasilkan 107 HP dan 150 Nm.
Secara teknikalnya, enjin tersebut masih mengekalkan asas S4PH yang telah berada di pasaran semenjak dari model Waja pada 2008 bagi menggantikan enjin Mitsubishi 4G18.
Namun, enjin pada Iriz itu merupakan versi terkini yang telah dipertingkatkan dengan pelbagai kemaskini dan naik taraf bagi meningkatkan kecekapan penggunaan minyak.
Walaubagaimanapun, melalui pengalaman sendiri, Iriz 1.6L Active CVT itu tidaklah begitu jimat jika dibandingkan dengan pesaing lain.
Bermula dari Shah Alam dengan tangki penuh, penulis hanya berjaya tiba di R&R Gunung Semanggol, di mana ia mencatatkan jarak keseluruhan 312 km, dengan purata penggunaan bahan api sebanyak 10.2 km/L dan purata kelajuan 122 kmj.
Secara keseluruhan ditambah dengan beberapa tempat perhentian, Iriz 1.6L Active CVT itu telah menempuh perjalanan sejauh 932 km, di mana ia memerlukan tiga kali isian tangki penuh.
Untuk pengetahuan, Iriz memiliki tangki petrol berkapasiti 40L, di mana isian semula semasa di R&R Gunung Semanggol memerlukan RM65 dengan baki di dalam tangki lebih kurang 9 liter.
Ianya sekaligus mencatatkan perbelanjaan minyak pada RM195 secara purata.
Dari segi pengendalian, tidak dinafikan Iriz 1.6L Active CVT boleh dikatakan yang terbaik di dalam segmennya, tidak perlulah penulis bercerita penuh kerana pastinya ramai yang sudah merasai.
Tetapi tetap penulis ingin sentuh, Iriz merupakan antara salah satu model yang penulis yakin untuk mengambil selekoh dengan membrek secara lewat bagi menguji prestasi kendaliannya.
Melihat pada bahagian dalam, penulis agak ralat kerana ianya tidak dilengkapi dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto seperti yang telah ditawarkan oleh kebanyakan jenama.
Bagi penulis, penggunaan sistem Atlas yang dibina di dalam unit infotainment Iriz itu agak sukar untuk digunakan, dan kadangkala ianya terputus sambungan dengan telefon semasa memandu.
Dari segi kedudukan pemanduan, Iriz merupakan salah satu model yang sangat selesa untuk perjalanan jauh, dibantu dengan sistem gantungan yang boleh dikatakan amat baik dalam keadaan standard.
Iriz boleh dikatakan sebagai salah satu model ikonik kerana ianya merupakan sebuah hatchback segmen B yang dibangunkan sepenuhnya oleh Proton, dan telah menerima dua kali kemaskini facelift pada tahun 2019 (MC1) dan tahun 2021 (MC2).
Masih ditawarkan di pasaran pada tahun 2023, Proton Iriz kini ditawarkan dengan tiga varian, iaitu 1.3L Standard CVT, 1.6L Executive CVT dan 1.6L Active CVT, di mana penawaran transmisi manual telah digugurkan pada tahun 2021.
Jika dilihat dari penawaran ciri dan bantuan keselamatan, Iriz masih dilihat relevan bersama ciri-ciri moden yang ditawarkan, di mana ia turut menerima penarafan lima bintang ASEAN NCAP.