Pandu Uji Peugeot 2008 Allure - singa kecil yang ganas

oleh Mohamad Hanif|
Tahun lepas, Peugeot memeriahkan pasaran SUV segmen B dengan kemunculan model baharu yang dipasang di kilang Stellantis di Gurun, iaitu Peugeot 2008 2022.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk memudahkan pelanggan yang mahu berjinak-jinak kembali dengan jenama singa Perancis, Bermaz Auto Alliance hanya menawarkan Peugeot 2008 dalam varian tunggal Allure sahaja.
 

SUV


Sama seperti adik-beradiknya yang lain (Peugeot 3008 dan 5008 yang telah dilancarkan sebelum ini), Peugeot 2008 kini membawakan reka bentuk luaran yang serba agresif, menjadikannya satu alternatif yang sangat bergaya di atas jalan raya.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami:

 

1. Singa kecil yang garang

2008


Buat masa ini, Bermaz Auto Alliance tidak merancang untuk membawakan model hatchback Peugeot, sekaligus menjadikan Peugeot 2008 ini sebagai model aras mula untuk pasaran Malaysia.

Penampilan yang garang itu disumbangkan oleh unit lampu utama yang diserikan dengan tiga jalur LED serta tambahan 'gigi taring' yang memanjang ke bawah yang mengingatkan penulis kepada haiwan singa laut dalam siri animasi Digimon.
 

2008


Tema kuku juga turut dibawakan pada lampu belakang yang lebih moden, sementara bahagian sisi dipadankan dengan rim aloi dua tona bersaiz 17 inci.

Memang serba-serbi garanglah senang cerita.

Di sebalik rupa paras yang bertaring itu, adalah Peugeot 2008 sebuah singa yang masih berbisa?

Rujuk nombor dua.

 

2. Enjin bertenaga, tapi pemanduan biasa-biasa

2008


Antara pesaing-pesaing yang wujud di pasaran, Peugeot 2008 tampil dengan nadi tiga silinder bersesaran 1.2 liter yang hadir dengan bantuan induksi paksaan turbo.

Atas kertas, ia berupaya menjana kuasa setinggi 130 hp dan daya kilas 230 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik enam nisbah kelajuan.
 

2008


Gandingan ini membolehkan anda memecut dengan segera terutama selepas lampu bertukar hijau, dan sangat sesuai untuk digunakan di dalam bandar.

Lebih mengujakan bila SUV ini bertemu dengan jalan-jalan yang berselekoh, di mana anda dapat merasakan tindak balas sistem stereng Peugeot 2008 yang sangat patuh pada arahan pemandu.

Beri sahaja arahan, dan 2008 ini akan patuh dan taat untuk pergi ke mana sahaja arah yang dituju.
 

2008


Masalah akan timbul sekiranya SUV cilik ini mula dipandu di kawasan lebuh raya di mana penulis tidak langsung merasakan kualiti kestabilan pengendalian yang selama ini dirasai oleh mana-mana model Peugeot.

Biarpun respons stereng dirasakan tepat, akan tetapi ia tidak diseimbangkan dengan talaan suspensi yang berkesan.
 

2008


Karakteristik enjin tiga silinder sedikit menyerlah sewaktu SUV ini mula bergerak, namun lama kelamaan ia akan hilang dengan sendiri.

Terdapat tiga mod pemanduan yang boleh diubah menerusi butang khas di konsol tengah, iaitu Normal, Eco dan Sport, namun kebanyakan masa penulis gemar mengekalkan mod pemanduan yang normal.

Cuma ada kalanya operasi transmisi automatik itu dirasakan sukar untuk menjadikan pemanduan berkelajuan rendah yang lebih lancar.

 

3. Ruang kabin yang serba moden

2008


Biarpun dengan pakej dimensi yang kecil, Peugeot 2008 tampil dengan beberapa ciri moden untuk ruang kabin.

Yang penulis suka (walaupun sebenarnya tidak gemar) ialah skrin kluster digital penuh dengan elemen paparan tiga dimensi yang boleh berubah bergantung kepada sudut pandangan. Sangat futuristik dan bergaya.
 

2008


Skrin tengah bersaiz tujuh inci itu pula nampak kecil, namun tetap menawarkan fungsi-fungsi yang asas termasuklah sokongan kepada Apple CarPlay.

Sayang sekali apabila fungsi larasan sistem pendingin hawa telah disemadikan dalam skrin tersebut, di mana agak sukar untuk penulis mengubah tetapan semasa memandu.

Secara standard, Peugeot 2008 dibekalkan dengan kamera undur sahaja, namun dengan teknologi Visiopark 1, ia boleh mencipta paparan sehingga 180 darjah di sekeliling kereta.
 

2008


Ruang kargo sebesar 405 liter, tidaklah besar mana, tapi memadai untuk anda meletakkan beberapa barangan peribadi.

Kekurangan yang nyata, anda tidak akan mendapat ciri moden lain seperti paddle shifter, corong pendingin hawa baris kedua, serta tempat duduk larasan elektrik.

Sayang juga apabila sebuah crossover berharga bawah RM130 ribu namun tidak dibekalkan dengan tempat duduk larasan elektrik, mengingatkan penulis pada kereta awal tahun 2000-an.

 

4. Ergonomik pemanduan yang sukar dicapai

2008


Salah satu ciri yang menjadi identiti utama Peugeot adalah susun atur papan pemuka i-Cockpit yang lebih berorientasikan pemandu dan rekaan roda stereng yang lebih kecil dan bersegi berbanding kebiasaan.

Pada model-model Peugeot yang lain, tidak sukar untuk membiasakan diri, namun dalam Peugeot 2008 penulis berdepan kesukaran untuk mencari keselesaan dan ergonomik pemanduan yang terbaik.
 

2008


Silap percaturan, kedudukan roda stereng yang tidak betul akan menghalang mata anda untuk membaca maklumat penting daripada skrin kluster digital.

Dari segi NVH, pemanduan pada kelajuan rendah adalah cukup senyap, namun bunyi bising angin akan mula menerjah masuk saat 2008 mencapai kelajuan tiga digit.

 

5. Pakej SUV cilik yang selamat

2008


Secara standard, Peugeot 2008 Allure dibekalkan dengan kelengkapan seperti enam beg udara, program kestabilan elektronik (ESP), bantuan mula mendaki, serta ciri keselamatan termaju seperti bantuan pengekalan lorong aktif, bantuan tumpuan pemandu, sistem pemantauan titik buta dan sistem brek keselamatan aktif.

Menjadikannya salah satu model dengan kelengkapan keselamatan yang hampir menyeluruh di dalam pasaran.

Jika anda memiliki bajet di bawah RM130 ribu dan sedia untuk melawan arus, Peugeot 2008 Allure ini boleh jadi salah satu alternatif yang lebih menonjol dan bergaya, jika anda tidak begitu menitikberatkan aspek kelemahan yang penulis sebutkan tadi.

Baca: Spesifikasi Peugeot 2008 Allure 2022