Pandu Uji Pertama: Toyota Vios 2023 - Ini bukan lagi Vios yang anda kenali

oleh Mohamad Hanif|
Terus terang penulis tidak meletakkan harapan yang tinggi buat Vios baharu, disebabkan impresi yang tidak mengujakan pada model Vios yang terdahulu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Namun, penulis harus berterima kasih kepada pihak UMW Toyota kerana mereka telah menjemput Careta untuk 'membunuh' perasaan tersebut saat kami pertama kali memandu uji sedan generasi baharu itu di Langkawi, baru-baru ini.

Ini bukan Vios yang anda kenali, ini ialah Vios serba baharu.
 

Vios


Ucapkan selamat datang kepada Toyota Vios 2023.

Berikut merupakan input ringkas kami sepanjang tiga hari 'bertapa' di Pulau Mutiara untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang Vios baharu ini.

 

1. Sedan segmen B yang serba agresif

Vios


Tidak dapat dinafikan, Toyota Vios 2023 merupakan antara pilihan sedan segmen B garang yang boleh anda beli pada tahun ini, dengan pakej yang menarik.

Reka bentuk sedan fastback, muka depan yang tajam dan lebih garang, dan kehadiran rim bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar Continental PremiumContact.
 

Vios


Perhatilah daripada mana-mana sudut sekalipun, sukar untuk anda tepis hakikat bahawa Vios baharu ini dah jadi lebih cantik dan elegan, terutama jika anda pilih warna hitam.

Kerana apa? Rujuk poin nombor dua.

 

2. Vios ada elemen aerodinamik yang berfungsi

Vios


Sejak daripada dulu, Toyota Vios sudah pun menerapkan beberapa elemen aerodinamik yang kecil, tapi berfungsi.

Cuma kali ini, ia nampak lebih signifikan terutama apabila Vios mengguna pakai bentuk badan sedan fastback (berbanding bentuk tiga kotak konvensional.
 

Vios


Selain itu, rupa garang Vios turut disumbangkan oleh kehadiran bukaan liang udara menegak pada bahagian hujung, bertindak sebagai penjana vortex dan penyejukan untuk cakera brek hadapan!

Bahagian belakang turut dipasangkan dengan struktur vortex generator tanpa sebarang bukaan liang, sebelum disempurnakan dengan struktur diffuser yang ringkas.
 

Vios


Cuma kekurangannya, komponen yang disebutkan itu tadi nampak terlalu menonjol apabila pemilik memilih warna yang terang.

Jadi, pilih sahaja warna hitam, dan anda akan mendapat sebuah Vios baharu yang bukan sahaja sporti, akan tetapi tampil elegan dan garang.

p/s: kecantikan itu subjektif.

 

3. Ruang kabin yang lebih premium

Vios

 

Kalau dulu, ruang kabin Vios nampak 'murah', tapi kali ini Toyota sudah pandai menggunakan elemen yang lebih minimalis, seakan kereta-kereta moden Mazda.

Ada penggunaan bahan jenis sentuh lembut (soft touch), diikuti dengan balutan kulit pada sesetengah tempat seperti panel pintu, perehat tangan dan konsol tengah yang lebih tinggi.
 

Vios


Perkakasan memandu seperti roda stereng, skrin kluster digital tujuh inci itu memang mengingatkan kita kepada 'adik-beradik'nya yang lain, sayang sekali Toyota tidak menggunakan rekaan yang tersendiri untuk Vios ini.

Apa yang penulis suka, elemen takometer grafik Toyota GR86 / GR Corolla yang boleh anda pilih dari skrin kluster digital itu tadi, serta skrin sembilan inci yang menyokong sambungan Apple CarPlay tanpa perlu menggunakan wayar.

 

4. Enjin sama, transmisi?

Vios


Toyota Vios 2023 masih lagi menggunakan enjin 2NR-VE 1.5 liter dengan talaan kuasa 104 hp dan 138 Nm.

Sewaktu sesi penerangan produk, kami difahamkan Vios baharu ini tampil dengan sistem transmisi jenis CVT 'serba baharu'.

Bersandarkan kepada fakta bahawa Vios baharu ini lahir dari platform DNGA, penulis dapat merasakan ini bukan transmisi CVT yang biasa.
 

Vios


Borak-borak dengan ketua jurutera Vios, Kamino Hideyuki-san mengesahkan tekaan tersebut di mana Vios kini tampil dengan transmisi serba baharu, iaitu D-CVT namun ia hadir dengan talaan yang lebih berbeza.

Ia menjadikan Vios baharu ini lebih responsif, menawarkan pemanduan yang lebih mengujakan dan dalam masa yang sama lebih jimat bahan api (5.2 liter/100 km).

 

5. Pemanduan Vios - kami ulang "Ini bukan lagi Vios yang anda tahu"

Vios


Berdasarkan poin nombor empat, Vios tidak menawarkan peningkatan kuasa, akan tetapi kuasa tersebut diturunkan bertujuan untuk penjimatan bahan api.

Satu perkara yang mungkin membuatkan pembeli Vios berbelah bagi.
 

Vios


Tapi, sepanjang kami memandu uji Vios ini di Langkawi, rata-rata para pengamal media mempunyai satu perasaan yang sama - Vios baharu dah jauh lebih sedap berbanding Vios yang lama.

Antara faktor yang menyumbang sudah pasti platform yang digunakan, sistem stereng yang lebih responsif serta talaan suspensi yang menjadikan pengalaman pemanduan Vios yang lebih jitu, lebih senyap, dan juga lebih selesa.
 

Vios


Kalau Vios yang terdahulu, penulis sukar untuk menikmati pemanduan yang ditawarkan disebabkan oleh sistem stereng yang sedikit malas, tapi Vios kali ini cuba menghapuskan perasaan tersebut dengan talaan yang lebih responsif.

Disebabkan penambahbaikan sistem stereng, amat mudah untuk mengagak pergerakan badan Vios ini terutama di laluan berselekoh, dan talaan suspensi yang mampu menyerap segala gegaran dan hentakan yang disebabkan oleh jalan raya Malaysia yang cemerlang dan lubang yang tak terbilang.

Ditambah pula dengan kadar NVH yang berjaya ditetapkan pada tahap minimum (yang turut disumbangkan oleh tayar Continental), anda akan merasakan Vios baharu ini dah jadi lagi mahal.
 

Vios


Harus diingat, Vios baharu bukanlah sebuah model sedan dengan talaan sporti yang sama taraf dengan GR Corolla, GR86 dan GR Yaris.

Vios secara standard dibekalkan dengan sistem topang MacPherson di depan dan torsion beam di belakang, jadi gandingan ini membuatkan Vios rasa membuai apabila ia dipandu dengan lebih agresif di kawasan berselekoh.

Ia bukanlah satu keburukan yang nyata, cuma anda perlu menikmati pemanduan Vios ini pada kelajuan yang munasabah.
 

Vios


Melainkan jika ada bajet lebih dalam tangan, cari sahaja sistem suspensi sports yang banyak berlambak di dalam pasaran tempatan.

Tapi apa yang penulis boleh jamin, pemanduan Vios baharu kini lebih menyeronokkan untuk mereka yang mahu mencari sebuah sedan bawah RM100k yang lebih mengujakan dan boleh mengukir senyuman di wajah pemandu.

Toyota Vios 2023 dijual pada harga bermula dari RM90,000 hingga RM96,000 (atas jalan tanpa insurans), dan ada dua varian sahaja yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia.
 



Nantikan sahaja perincian penuh spesifikasi Toyota Vios 2023 pada hari pelancaran rasmi sedan generasi baharu itu pada 20 Mac ini.

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Para pelumba selebriti dalam kategori Promotional Class berpeluang untuk menjadi antara yang…
Berita Domestik
Tahukah anda? model Vios merupakan antara lapan model pertama yang diuji oleh ASEAN NCAP semasa…
Berita Domestik
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K. berkata, “Bagi pelanggan yang telah menempah Toyota…