Pandu Uji Pertama: Peugeot Landtrek 1.9D Allure - Trak pikap gaya Perancis

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Minggu lepas, Bermaz Auto Alliance selaku pengedar sulung Peugeot di Malaysia telah melancarkan trak pikap Peugeot Landtrek serba baharu untuk pasaran Malaysia.

Kehadiran trak pikap dari perancis itu sememangnya memberikan pelbagai reaksi dari orang ramai, terutama peminat trak pikap dan penggemar aktiviti off-road.

 

2

 

Tentunya ramai diluar sana sama seperti penulis yang skeptikal dengan trak pikap perancis itu, dimana Peugeot bukanlah satu jenama yang terkenal atau memiliki kepakaran dalam menghasilkan model trak pikap.

Serentak dengan hari pelancaran pada minggu lepas, penulis telah mewakili pihak Careta untuk diberi peluang bagi merasai sendiri pemanduan Peugeot Landtrek itu.

 

2

 

Walaupun hanya pemanduan singkat, penulis percaya pengalaman pemanduan yang dikongsikan ini dapat menjawab beberapa persoalan tentang trak pikap Perancis itu.

 

1. Reka bentuk lain daripada yang lain

3

 

Kalau kita perhatikan trend sekarang, kebanyakan pengeluar akan hasilkan trak pikap dengan rupa yang garang dan agresif untuk menonjolkan ciri-ciri jentera off-road.

Berbeza pula dengan Peugeot Landtrek, sebaliknya Peugeot hasilkan trak pikap dengan identiti mereka yang tersendiri bersama bahasa rekaannya.

Seperti pada model-model nya yang lain, Peugeot mengekalkan rupa dan gayanya pada Landtrek melalui reka bentuk lampu nyalaan siang LED berbentuk taring, rekaan jeriji yang besar serta logo singa besar yang terpampang di depan dan belakang.

Walaupun tidak memiliki rupa yang agresif dan garang, Landtrek pastinya dapat menarik pembeli mereka yang tersendiri.

 

2. Trak pikap dengan pemanduan SUV

4

 

Senang penulis ingin mengatakan bahawa perasaan memandu Landtrek itu agak selesa jika dipandu di jalan-jalan bandar bagi sebuah trak pikap.

Walapun dilengkapi dengan set roda aloi Diamond Cut 18 inci yang dibaluti tayar Goodyear Wrangler All-Terrain bersaiz 265/60-18, ia tetap dapat memberikan keselesaan hampir seperti sebuah SUV.

 

9

 

Walaupun dengan tayar tersebut, bunyi yang dihasilkan tidak dapat didengar dari dalam trak pikap itu.

Peugeot Landtrek juga dilengkapi dengan sistem suspensi double wishbone di hadapan dan leaf spring di belakang yang memberikan rasa pemanduan agak baik.

 

3. Keselesaan bahagian penumpang yang mencukupi

5

 

Apabila disebut tentang keselesaan penumpang, Peugeot merupakan antara jenama yang mementingkan aspek tersebut dalam penghasilan semua model kereta mereka.

Segala aspek dari segi keselesaan untuk penumpang boleh dikatakan telah digunapakai oleh Peugeot ke dalam model trak pikap mereka.

Kedudukan kerusi belakang juga tidak terlalu tegak hingga membolehkan penulis tertidur seketika semasa perjalanan menuju ke Sekinchan di dalam Landtrek itu.

 

4. Trak pikap dengan ruang kabin yang mewah

6

 

Seperti kebanyakan model Peugeot yang terkini, Landtrek juga menerima sentuhan dengan reka bentuk kabin yang ringkas dan futuristik.

Ianya dilengkapi dengan roda stereng dua jejari, suis kawalan fungsi stail piano di bawah corong pendingin hawa tengah, serta skrin infotainmen terapung 10 inci.

Untuk menawarkan sambungan yang moden, skrin infotainmen dari trak pikap Peugeot itu dilengkapi fungsi sistem kamera keliling 360 darjah, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Bagi penulis, bahagian dalaman trak pikap itu sudah cukup lengkap dengan pelbagai ciri dan fungsi yang akan memberikan pemanduan menyeronokkan.

 

5. Kuasa yang selari dengan gayanya tersendiri

7

 

Setakat ini, Peugeot Landtrek hanya ditawarkan dengan satu pilihan varian sahaja dimana ia dilengkapi dengan enjin 1.9 liter turbodiesel dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan bersama sistem pacuan empat roda yang menghasilkan 150 HP dan 350 Nm.

Walaupun angka tersebut kelihatan kecil bagi sebuah trak pikap, namun kuasa dihasilkan itu cukup untuk memberikan pecutan dan kelajuan mencukupi dengan berat yang dimiliki oleh trak pikap itu

Aksi-aksi memotong dan memanjat jalan berbukit boleh dilakukan dengan mudah melalui hasil teknologi baharu dari Peugeot itu, bersama tambahan mod pemanduan Sport yang boleh dikawal melalui butang di bahagian konsol tengah.

Sayang sekali disebabkan masa yang singkat, kami tidak dapat mencuba kebolehannya dalam menghadapi jalan off-road sebenar, namun penulis yakin dengan semua teknologi yang dimiliki, Landtrek itu mampu harungi jalan off-road ringan dengan mudah.

 

6. Lengkap dengan ciri keselamatan penting

8

 

Dari segi keselamatan Peugeot Landtrek dilengkapi dengan bantuan keselamatan seperti 6 beg udara, program kestabilan elektronik (ESP), kawalan menurun cerun (HADC) dan amaran keluar lorong.

Semua ciri itu sudah cukup untuk memberikan keyakinan kepada penulis memandu dengan rasa selamat dan selesa, lengkap bersama panel meter digital 4.2 inci

 

10

 

Sepanjang perjalanan penulis bersama rakan media lain menuju ke Sekinchan, Peugeot Landtrek itu boleh dikatakan antara yang terbaik walaupun untuk sebuah trak pikap serba baharu dari Peugeot.

Dengan harga RM120,027 yang ditawarkan, Peugeot Landtrek dilihat bakal bersaing dengan jenama lain seperti Toyota Hilux, Isuzu D-MAX, Ford Ranger, Mitsubishi Triton dan Nissan Navara pada harga dan spesifikasi yang sama.

Untuk pasaran Malaysia, Peugeot Landtrek akan ditawarkan dengan 6 pilihan warna iaitu Ceramic White, Silver Grey, Magnetic Blue, Red Rubi, Rockstone Grey dan Olea Green.

 

11

 

Didatangkan dengan satu varian, Peugeot Landtrek 1.9D Allure akan ditawarkan dengan harga bermula dari RM120,072 atas jalan tidak termasuk insurans, jadi anda tidak perlu pening kepala untuk memilih varian yang terbaik.

Peugeot Landtrek 1.9D Allure yang ditawarkan itu lengkap bersama jaminan pengeluar 5 tahun atau 100,000 km, yang mana terdahulu.

 

12

 

Jika diberi peluang, penulis ingin sekali untuk mencuba kebolehan jentera trak pikap Perancis itu menghadapi jalan off-road sebenar.

Apa pendapat anda, adakah trak pikap Perancis itu berpotensi untuk memberi saingan kepada jenama US dan Jepun yang mendominasi pasaran tempatan?

Baca: Pelancaran Peugeot Landtrek

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Ya, tekaan anda sama dengan apa yang penulis fikirkan - dua musuh ketat datang dari pengeluar Jepun…
Telah Diuji
Seperti sedia maklum, Proton S70 ini merupakan sebuah sedan kompak yang menggantikan model sedan…
Telah Diuji
Jentera pacuan roda depan itu dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris 2.3 liter turbo, dengan…