Pandu Uji Pertama: Jaguar I-PACE - EV premium dengan pakej terbaik?

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Pada bulan Mac lepas, Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) telah melancarkan model SUV EV pertama mereka untuk pasaran tempatan iaitu Jaguar I-PACE 2023.

Ketibaan Jaguar I-PACE sekaligus merancakkan lagi persaingan di dalam segmen EV premium di Malaysia yang dilihat semakin menarik.

Untuk pasaran Malaysia, Jaguar I-PACE ditawarkan dengan dua varian iaitu LE atau Black Edition pada harga RM460,800 dan varian tertingginya HSE pada harga RM498,800.

 

2

 

Perbezaan harga yang ditawarkan agak jauh iaitu hampir RM40,000, namun setelah dilihat pada penambahan dan dirasai sendiri pemanduannya, harga yang tambahan yang perlu dibayar itu amat berbaloi.

Penulis sendiri telah diberi peluang untuk merasai dan mengenali lebih mendalam tentang EV premium itu, walaupun masa yang agak singkat, namun penulis yakin jika berkemampuan, Jaguar I-PACE akan menjadi pilihan utama untuk dimiliki.

Berikut merupakan ulasan ringkas yang mampu diterjemahkan melalui pengalaman penulis:

 

1. Reka bentuk tersendiri yang mengiurkan

3

 

Kalau dah namanya Jaguar, jarang sekali model yang ditawarkan hadir dengan reka bentuk yang tidak mampu menambat hati semua petrolhead.

Di bahagian hadapan, rekaan yang dihadirkan tidak terlalu ke arah futuristik, namun ia mengekalkan imej Jaguar yang kemas dan garang pada masa yang sama.

Tentu sekali rupanya yang cukup menawan tidak terlalu mencuba untuk kelihatan serabut menjadikannya antara salah satu model Jaguar yang terbaik.

 

4

 

Pada bahagian garis bumbung terutamanya, yang di pandang dari sisi menyerlahkan lagi rupa menarik bagi sebuah SUV EV dengan garis bumbung yang sporty.

Rupa sporty itu dilengkapkan dengan bahagian belakang yang hadir dengan rekaan lampu tirus dan badan lebar, yang boleh dilihat menggunakan DNA kereta sport Jaguar.

 

2. Keselesaan penumpang yang sememangnya premium

6

 

Sebagai model SUV EV pertamanya, Jaguar I-PACE meneruskan penawaran sebuah kereta mewah yang serba lengkap dan mewah.

Pada bahagian penumpang belakang, ruang kepala dan kakinya mencukupi untuk memberikan keselesaan premium, dengan tempat duduk yang tidak begitu tegak, walaupun dengan ruang kargo berkapasiti 557 liter.

 

7

 

Khusus untuk varian HSE pula, ia ditawarkan dengan tempat duduk hadapan jenis bucket yang memfokuskan ke arah prestasi, dan walaupun fokusnya ke arah prestasi ia tetap menawarkan keselesaan yang terbaik.

Untuk varian HSE juga, tempat duduk hadapan didatangkan dengan fungsi pemanas dan penyejuk bagi meningkatkan lagi kefungsian sebagai sebuah model premium.

 

3. Ruang kabin yang kemas dan minimalis

8

 

Trend masa kini menyaksikan pengeluar untuk menghasilkan rekaan dengan imej signature masing-masing, ia termasuk juga dengan rekaan pada ruang kabin.

Pada ruang kabin Jaguar I-PACE, penulis merasakan ianya direka dengan cukup kemas dan minimalis yang meletakkan segala fungsi tepat pada tempatnya.

Pada bahagian pemandu, ia dilengkapi skrin kluster instrumen bersaiz 12.3 inci, yang memaparkan segala maklumat penting untuk pemandu.

 

9

 

Ia turut mempunyai pelbagai ciri paparan termasuk pilihan susun atur bagi memberikan fungsi yang diperlukan, termasuk sistem navigasi Jaguar.

Pada bahagian tengah, ia dilengkapi dengan sistem infotainmen Pivi Pro yang terdiri dari skrin bersaiz 10 inci di bahagian atas dan skrin kedua di bahagian bawah bersaiz 5 inci.

Butang gear turut disusun secara menegak di bahagian kanan bawah skrin kedua yang membolehkan ia diakses dengan mudah semasa memandu.

Khusus untuk varian HSE pula, ia dilengkapi butang mod pemanduan dan tetapan ketinggian bagi suspensi udara di bahagian kiri bawah skrin kedua.

 

4. Kendalian seakan sebuah kereta sport

10

 

Walaupun ia dikategorikan sebagai sebuah SUV EV, namun DNA lumba Jaguar dapat dirasakan dalam pemanduan terutama di jalan selekoh.

Tentu sekali ia dibantu oleh DNA teknologi dari Jaguar I-Type yang merupakan divisi perlumbaan Jaguar di dalam Formula E.

Kalau dah diberi peluang, pastinya penulis akan mencuba sehabis baik, hasil yang didapati membolehkan untuk penulis berkata bahawa I-PACE merupakan sebuah SUV EV dengan kendalian terbaik.

 

11

 

Turut dibantu sistem AWD dari motor berkembar, ditambah dengan sistem suspensi udara untuk varian HSE, ia membolehkan penulis memandu di selekoh dengan yakin pada kelajuan tinggi, bersama olengan badan yang tidak begitu terasa.

Prestasi brek juga harus dipuji, dimana penulis turut menghadapi situasi apabila pecutan dari 0-100 kmj terpaksa dihentikan akibat mengelak objek di atas jalan, dan situasi berjaya dikawal dengan mudah.

 

5. Kedudukan pemanduan yang ergonomik

12

 

Bagi sebuah model SUV EV dalam segmen premium, kedudukan pemanduan pastinya akan menjadi salah satu faktor utama yang meletakkannya di taraf tersebut.

Jaguar menawarkan model I-PACE dengan dua jenis tempat duduk iaitu jenis sport untuk varian LE dan jenis prestasi untuk varian HSE.

Bagi jenis sport, ianya memfokuskan pada keselesaan dan jenis prestasi, sudah tentu seperti namanya, penulis sendiri telah merasai bagaimana hasil dan rekaan tempat duduk jenis prestasi itu turut mampu memberikan keselesaan semasa memandu.

 

13

 

Walaupun datang dengan tempat duduk jenis bucket, ia tetap menawarkan keselesaan menyeluruh, ditambah dengan prestasi baik yang membantu pemanduan, terutama di jalan berselekoh.

Namun terdapat sedikit perkara yang penulis tidak gemar, dimana butang untuk melaras tempat duduk sukar untuk dicapai kerana kedudukan butang dicelah antara tempat duduk dan pintu terlalu rapat dan sempit.

 

6. Kelajuan dan pecutan yang meningkatkan adrenalin

Seperti biasa, perkara terakhir merupakan perkara terbaik yang penulis ingin kongsikan, dimana kuasa 400 HP dan 696 Nm itu dapat dirasakan mengalir dari hujung pedal ke permukaan jalan.

Dari segi kuasa, kedua-dua varian didatangkan dengan tetapan yang sama, dimana ia dikuasakan dua motor elektrik di depan dan belakang, menjadikannya pacuan semua roda (AWD), dipadankan bersama bateri litium ion 90 kWj.

 

14

 

Tetapan itu juga membolehkan SUV EV Jaguar itu memecut dari 0-100 kmj dalam masa 4.8 saat sahaja! Sangat mengagumkan bagi sebuah SUV.

Tentu sekali dibantu oleh sejumlah 696 Nm yang dihasilkan dua motor elektrik tersebut yang dihamburkan secara segera, bagi kelajuan tertinggi pula, dijalan yang selamat dan kosong, penulis berjaya mencapai kelajuan 180 kmj dengan jarak tidak mencecah sehingga 1 km!

 

15

 

Secara keseluruhan, penulis merasakan pakej dan harga yang ditawarkan amat berbaloi bagi sebuah SUV EV di dalam segmen premium dengan jarak gerak sehingga 470 km.

Bagi perbezaan harga antara varian LE dan HSE juga, penulis rasakan tambahan hampir RM40,000 untuk dibelanjakan itu amat berbaloi dengan naik taraf yang ditawarkan, termasuk sistem suspensi udara adaptif, yang membenarkan Jaguar I-PACE untuk meredah air sedalam 500 mm.

 

16

 

Semakin hari juga, pelbagai jenama mula menawarkan model EV dengan harga premium yang dilihat berbaloi untuk dimiliki sebagai sebuah kereta bandar.

Jaguar I-PACE terbaharu ini juga merupakan salah satu contoh model di pasaran bagi mereka yang mampu untuk dipertimbangkan.

 

 

Berita Berkenaan

Pelancaran
Ia menampilkan trenkuasa elektrik yang terdiri daripada motor elektrik berkembar, menghasilkan…
Berita Global
Unit bateri daripada model prototaip I-Pace telah dikeluarkan dan digunakan kembali untuk mencipta…
Informasi
Namun begitu, Jaguar dan Tesla menyatakan kenderaan elektrik adalah jauh lebih selamat untuk…