Pandu Uji Nissan X-Trail 2.5L AWD dan 2.0L Hybrid ke Hutan Hujan Tertua di Dunia

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hutan hujan Belum, salah sebuah hutan hujan tropika terbesar di Semenanjung Malaysia, berusia kira-kira 150 juta tahun dan habitat kepada spesies flora dan fauna terancam. 

Belum dikatakan mendapat namanya daripada bunyi yang dihasilkan oleh spesies belalang besar yang menghuni hutan hujan tertua itu. 

"Belum, belum, belummmmm"

Jadi, jika anda mahukan sebuah tempat yang tenang di hujung minggu dan lari dari kesibukan bandar raya, Belum merupakan antara tempat yang sesuai untuk dipertimbangkan. 

Artikel kali ini tidaklah mahu membicarakan perihal Belum, akan tetapi perjalanan kami ke sana untuk bercuti sambil menguji pandu sebuah lagi model SUV. 
 


Seperti biasa, ETCM dengan baik hatinya menganjurkan sebuah lagi program pandu uji media, kali ini lebih jauh dan lebih mencabar (nasib baik belum puasa masa itu), iaitu lokasi hutan hujan tertua di dunia, Belum, Perak. 

Untuk sesi pandu uji kali ini, pihak kami diberikan peluang untuk merasai sendiri dua varian tertinggi, iaitu X-Trail 2.5L 4WD dan varian terbaharu X-Trail 2.0L Hybrid. 

Sebelum penulis berceloteh perihal pengendalian antara kedua-dua varian ini, mari kita lihat apakah pembaharuan yang dibawakan pada SUV model facelift ini.
 


Beberapa perubahan dibawakan, bermula daripada lampu utama LED yang telah direka semula, bumper hadapan dengan slot lampu kabus yang lebih tajam dan rekaan signatur gril V-motion yang lebih besar dan gagah. 

Perubahan yang sama turut diadaptasikan kepada lampu belakang, dengan rekaan boomerang yang lebih signifikan dan diberikan efek asap (smoked). 

Untuk kesemua varian, rim standard 17 inci dibekalkan untuk keempat-empat sudut, dibaluti tayar Continental Crosscontact. 

Di ruang kabin pula, kerusi Zero Gravity balutan kulit serta stereng balutan kulit lengkap dengan butang kawalan yang menjadi satu kelaziman masa kini menyambut kehadiran pemandu.
 


Unit hiburan pula terdiri daripada sistem infotainmen bersaiz 7 inci yang didatangkan dengan ciri sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dan ia menjalankan fungsinya yang baik sebagai sumber hiburan ketika memandu. 

Konvoi kami memandu keluar dari kawasan Glenmarie dan memasuki laluan lebuhraya, perjalanan yang diberikan sangat selesa dan penggunaan kerusi Zero Gravity benar-benar terbukti membantu mengurangkan rasa penat memandu.

Nissan X-Trail facelift ini telah diberikan banyak ciri keselamatan terkini seperti: 

  • Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar dengan Brek Kecemasan Pintar
  • Kawalan Pelayaran Pintar
  • Bantuan Lampu Suluhan Tinggi
  • Amaran Keluar Laluan
  • Amaran Titik Buta
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang
     


Kami sempat menguji ciri Kawalan Pelayaran Pintar di mana ciri ini dibantu oleh teknologi radar termaju yang mampu mengesan perubahan kelajuan trafik di hadapan. 

Bagi mereka yang biasa menggunakan ciri kawalan pelayaran pada sesetengah kereta, adalah sangat leceh untuk mengaktifkan semula ciri tersebut apabila kenderaan di hadapan sudah beralih ke tepi, namun dengan ciri pintar ini tiada lagi sebarang masalah. 

Cuma, kalau kena highbeam dari arah belakang oleh pemandu Singapura ketika fasa pecutan, janganlah cepat melatah.

Sistem ini memang akan mengambil masa untuk kembali kepada kelajuan yang telah anda tetapkan. 
 


Dari segi penghantaran kuasa, enjin X-Trail 2.5 liter 4WD berjaya menjalankan tugas dengan baik dan berkesan, terima kasih kepada 171 PS dan daya kilas 233 Nm. 

Cuma anda perlu bersabar dengan karakter tipikal transmisi CVT yang ditawarkan dan pecutan empat roda juga dirasakan sedikit lambat pada permulaan pemanduan. 

Respons stereng juga adalah ringan, namun bagi penulis ia tidak begitu memuaskan terutama ketika mengagak kadar respons ketika di laluan yang berliku dan di lebuhraya. 

Namun, apabila ditanya kepada penulis, sudah pasti X-Trail varian 2.0L Hybrid akan menjadi pilihan!
 


Versi hibrid dipasang dengan bantuan motor elektrik yang mampu menghamburkan kuasa tambahan 41 PS dan daya kilas 160 Nm kepada kuasa enjin 2.0 liter MR20DD 144 PS dan 200 Nm sedia ada. 

Pemanduan di dalam varian hibrid nyata lebih menyeronokkan di jalan berliku, terima kasih kepada penggunaan mekanisme Nissan Intelligent Dual Clutch Control antara enjin dan transmisi CVT. 

Kelebihannya? 

Penghantaran kuasa yang lebih lancar, serta pecutan yang lebih berkuasa, dan sudah tentu penjimatan bahan api yang lebih baik. 

Tidak menghairankan jika versi hibrid mampu menawarkan penjimatan bahan api sehingga 6.21 liter untuk setiap 100 km (berbanding 8.2 km/100 km untuk X-Trail 4WD), satu angka yang sangat baik untuk sebuah SUV segmen C. 
 


Respons stereng juga sangat responsif dan neutral terutama ketika melayan selekoh Lebuhraya Timur-Barat ke Hutan Hujan Belum, malah penulis hampir terlupa ia adalah sebuah SUV hibrid. 

Antara perkara yang perlu diambil perhatian adalah respons pedal brek yang dirasakan sedikit kosong (spongy feeling) namun ia tidaklah bermakna sistem brek X-Trail hibrid ini tidak berfungsi dengan cemerlang. 

Perasaan ini sebenarnya adalah standard bagi mana-mana model yang dilengkapi dengan sistem brek regeneratif di mana proses penghentian kenderaan akan mengaktifkan motor elektrik. 

Lebih mudah rasanya jika pembeli diberikan penerangan secara amali oleh para penjual sebelum mereka membuat keputusan. 
 


Barang harus diingat, teknologi hibrid yang didatangkan ini bukan murah semurah anda membeli bateri di pasar malam. 

Ketika sesi soal jawab media di Belum Rainforest Resort, Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM Christopher Tan mendedahkan kos penggantian bateri lithium-ion selepas tamat tempoh jaminan lima tahun (tanpa had perbatuan) adalah sebanyak RM25,000 termasuk kos pemasangan. 

Harga ini adalah seragam untuk rantau Asia Tenggara memandangkan ia adalah diimport sepenuhnya daripada Jepun, selain merangkumi kos kitar semula bateri yang telah rosak ke Norway. 

Usah risau, kerana ETCM menawarkan jaminan tambahan TC Warranty Plus untuk pemilikan yang menenangkan jiwa. 

Jaminan tambahan dua hingga empat tahun ini turut merangkumi perlindungan terhadap komponen hibrid, yang sudah pasti lebih rendah kosnya. 
 


Jika anda perasan, ruang barangan belakang pada X-Trail hibrid sedikit tinggi, dan kurang luas. Kenapa ya? 

Untuk X-Trail hibrid, ia didatangkan dengan lima tempat duduk sahaja berbanding varian yang lain dengan tujuh tempat duduk (lebih tepat lagi 5+2). 

Ini kerana ruang kargo di bahagian belakang memuatkan pek bateri untuk sistem hibrid, menjadikan ruang kargo tersedia hanya bersaiz 404 liter sahaja. 

Namun, kekurangan ini ditampung dengan satu lagi kelebihan yang ada pada X-Trail hibrid, iaitu NVH.

Dari segi kesenyapan kabin, anda boleh merasakan sendiri perbezaan antara kedua model yang kami pandu uji ini, di mana versi hibrid memberikan rasa lebih mewah dan lebih senyap berbanding versi petrol biasa. 
 


Secara keseluruhannya, jika anda sedang mencari alternatif terbaik untuk SUV segmen C, boleh cuba pertimbangkan untuk memandu uji Nissan X-Trail facelift yang lengkap dengan pelbagai ciri moden. 

Harga jualan pula adalah seperti berikut:

X-Trail 2.0L 2WD - RM133,888
X-Trail 2.0L 2WD Mid - RM145,888
X-Trail 2.5L 4WD - RM153,888
X-Trail 2.0L Hybrid 2WD - RM159,888

Kami kira, persaingan di dalam SUV segmen C di Malaysia semakin menarik dan semakin banyak, dan masing-masing ada kelebihan serta kekurangannya. 
 


Bukanlah semua produk itu sempurna, tidak begitu?

Cuba dulu, dan rasai sendiri perbezaan antara varian biasa dan hibrid sebelum membuat pilihan.

Sudahkah anda membuat keputusan? Ke Belum?

 

Berita Berkenaan

Kereta
Sebuah lagi pendatang baharu dalam kategori hatchback segmen B, Toyota Yaris sudah pun dilancarkan…
Kereta
Kira-kira seminggu awal sebelum pelancaran rasmi Mitsubishi Triton, sekumpulan pengamal media telah…