PANDU UJI: Nissan Serena 2.0L S-Hybrid 2018

oleh Mohamad Hanif|
Ramai juga kawan-kawan yang tertanya-tanya adakah Nissan Serena serba baharu ini berbaloi untuk dijadikan kenderaan keluarga, apatah lagi musim perayaan kini menjelang tiba tidak lama lagi.
Kawasaki Legend Reborn

Berikut merupakan input ringkas sepanjang dua hari memandu Nissan Serena S-Hybrid serba baharu ini ke Pulau Pinang. 

  • Kami diberikan unit pandu uji varian Highway Star, manakala pihak ETCM membawa sebuah unit Premium Highway Star sebagai perbandingan. 
  • Apa yang membezakan kedua-dua varian ini ialah penampilan warna dua tona, penggunaan kerusi balutan kulit dua tona dan penawaran rim 16 inci bagi varian premium, berbanding penawaran warna tunggal, kerusi fabrik berwarna hitam serta rim 15 inci bagi varian biasa. 
     

 

  • Rekaan luar telah dikemaskini dengan penawaran lampu projektor LED serta lampu LED berbentuk S di bahagian belakang turut menampakkan imej yang sporty berbanding generasi sebelumnya. 
  • Rekaan bumbung terapung (floating roof) yang menjadi kelaziman di dalam industri juga turut memberikan ilusi betapa luasnya MPV yang memang sangat luas dari segi dimensi berbanding Serena terdahulu. 
  • Dari segi keselesaan yang tiada tandingan, kedua-duanya menawarkan kerusi kapten dengan ciri sifar graviti untuk baris pertama dan kedua serta ciri perehat tangan terbina. Manakala kerusi barisan ketiga pula menawarkan tempat yang cukup muat untuk tiga orang penumpang. 
  • Barisan kerusi ini boleh disusun mengikut beberapa konfigurasi pilihan pengguna yang tentunya mempunyai keperluan yang berbeza. 
     

 

 

  • Menurut ETCM, kadar NVH juga telah ditambah baik menjadikannya lebih senyap, kurang bunyi geseran angin yang ketara ketika halaju kebangsaan di lebuhraya. 
  • Namun, apabila kelajuan melebihi 150 km/j, kedengaran geseran udara yang agak ketara seakan-akan keadaan tingkap kereta yang tidak ditutup rapat. 
  • Masih menggunakan enjin 2.0 liter MR20DD pada model terdahulu dan digandingkan dengan kotak gear CVT XTRONIC menghasilkan kuasa sebanyak 150 PS sememangnya cukup untuk menggerakkan MPV besar ini, walaupun pergerakan awal dirasakan sedikit perlahan disebabkan faktor kotak gear CVT yang direka untuk penjimatan minyak. 
  • Dengan tork sebanyak 200 Nm, MPV ini dengan mudah mampu mencapai kelajuan melebihi 150 km/j, malah ada di antara rakan media yang mampu mencapai kelajuan 191 km/j semasa pemanduan di lebuhraya. 
     

 

  • Walaupun MPV ini menggunakan nama hibrid, namun ia tidak lebih daripada sistem bantuan motor elektrik ECO yang direka untuk membantu sistem enjin berhenti melahu ketika berhenti, serta bantuan tork tambahan ketika memecut di lebuh raya. 
  • Stereng elektrik membantu pengendalian MPV ini terutama ketika mengharungi trafik sibuk dan memasuki ruang parkir pusat membeli belah. Pengendalian di lebuh raya juga tidak mengecewakan, malah mudah untuk menjangka ke mana arah tuju MPV ini. 
  • Cuma suka untuk diingatkan, ia sebuah kenderaan kegunaan keluarga, jadi ada baiknya jika kita faham batasan prestasi kereta sebegini yang bukan direka untuk berlumba di atas lebuhraya mahupun laluan yang berliku. 
     

 

  • Sistem gantungan Nissan Serena ini menggunakan topang MacPherson di hadapan dan jenis torsion beam di bahagian belakang. Dari pengamatan kami, ia sememangnya selesa di dalam di mana sistem suspensi ini menyerap segala hentakan dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. 
  • Sistem ini ditala untuk keselesaan, tidak terlalu lembut sehingga menyebabkan pengendalian menjadi seperti kapal layar dan tidak pula terlalu keras seakan kereta sukan jadi-jadian. Pengendalian ketika di selekoh juga amat mengkagumkan. 
  • Kehadiran angin lintang juga sedikit sebanyak mengganggu kenderaan yang tinggi, namun kebiasaannya ia hanya akan terjadi ketika pemanduan pada halaju yang tinggi. Dinasihatkan supaya sentiasa patuh pada halaju kebangsaan. 
  • Disebabkan dimensi MPV ini besar, ditambah dengan cuaca panas melampau di Malaysia ini, penumpang belakang tidak perlu risau kerana Serena ini sememangnya didatangkan dengan corong penghawa dingin pada baris kedua dan ketiga dengan suis digital berasingan daripada suis utama.
     

 

  • Antara ciri menarik yang ada pada Serena ini ialah bukaan pintu belakang dengan dua cara yang berbeza untuk mengakses ke ruang kargo. Ciri ini memang memudahkan pengguna terutamanya ketika berada di tempat parkir yang agak sempit. 
  • Ketika pintu belakang dibuka penuh, urusan memunggah dan mengangkut beg, kotak minuman dan sebagainya menjadi mudah disebabkan jarak lantai kargo yang tidak terlalu tinggi dari tanah. 
  • Bukaan pintu gelongsor juga telah dimudahkan dengan ciri pengesan sensor kaki di bahagian bawah, jadi pengguna hanya perlu menghayunkan kaki dengan perlahan pada bahagian bawah pintu sebelum menyebut mantera "Niat inson matek'aji Semar ngising." 
  • Pintu ini mempunyai bukaan yang lebih luas bagi membolehkan penumpang baris ketiga keluar dengan mudah. Terdapat suis kecil di pemegang pintu gelongsor itu turut membolehkan pintu dihentikan beberapa posisi mengikut kesesuaian, terutamanya ketika membawa anak kecil di bahagian belakang. 
     

 

  • Nissan Serena didatangkan dengan enam beg udara SRS, kawalan dinamik kenderaan (VDC), ABS, sistem bantuan brek, bantuan mula mendaki (HSA), electronic brake distribution (EBD), sistem kawalan cengkaman (TCS) serta cagak ISOFIX. 
  • Ciri unik yang ada pada MPV ini ialah penawaran kamera 360 darjah bagi memberikan gambaran sekeliling kenderaan dari arah atas memudahkan pemandu melihat persekitaran ketika memarkir MPV yang panjang ini. 
  • Turut disertakan ciri I-MOD yang mampu mengesan pergerakan objek di sekitar kenderaan serta I-DA yang memberikan amaran apabila sistem mengesan ketidakstabilan pengendalian yang disebabkan oleh pemandu yang mengantuk. 
  • Namun, sepanjang dua hari memandu jarak yang jauh, kami tidak menerima amaran tersebut disebabkan MPV ini terlalu sedap dipandu malah dengan penggunaan kerusi kapten sifar graviti mengurangkan lagi kepenatan ketika memandu jauh. 

     

 

  • Sebagai penambah perisa kepada kegemaran rakyat Malaysia, MPV ini turut didatangkan dengan tujuh port USB, tray makanan, 10 ruang botol air, serta 6 cangkuk teh tarik bagi memudahkan pengguna menggantung makanan dan minuman ikat tepi kegemaran mereka. 

Penulis kira, ini merupakan satu pilihan yang ideal buat keluarga di Malaysia terutama mereka yang ingin mencari sebuah MPV menggantikan kereta sedan sebagai kenderaan keluarga. 

Dengan penawaran ruang yang serba luas, ciri praktikaliti yang tiada tandingan serta ciri-ciri moden melengkapi Nissan Serena ini, tiada sebab untuk mengatakan tidak kepada MPV yang serba sporty sejak azali ini. 
 


Spesifikasi penuh Nissan Serena ini boleh dibaca di pautan ini. 


 

Add new comment

banner articles

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Bukan sekadar itu, ETCM juga turut memberikan pilihan trade-in jaminan penjimatan 2 tahun yang…
Berita Domestik
Seramai 120 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan ETCM, ahli keluarga Nissan, rakan-rakan…
Berita Global
Navara Dark Sky Concept dibina dengan kolaborasi Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) dan mempunyai…