Pandu Uji: MINI Cooper Convertible S (F67) – Masih ada tempat dalam era SUV?

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Kalau kita tengok jalan raya hari ini, SUV di mana-mana. Semua orang nak kereta tinggi, ruang besar, praktikal untuk keluarga dan perjalanan harian.

Dalam dunia automotif yang semakin rasional, kereta kecil yang fokus kepada keseronokan memandu makin jarang kelihatan.

Tetapi sesekali, ada juga model yang tidak peduli dengan trend semasa, antaranya MINI Cooper Convertible S generasi baharu F67. 

 

2

 

Dengan harga atas jalan sekitar RM318,888 tanpa insurans, ia bukan kereta untuk semua orang, dan MINI sendiri pun tahu perkara itu.

Dalam pasaran Malaysia, kedudukan model ini sebenarnya agak unik, pada harga sekitar RM318K, ia berada dalam zon premium kompak, tetapi jika bercakap tentang convertible kecil di bawah RM350,000, pilihan memang hampir tiada. 

MINI Cooper Convertible S bukan kereta utama keluarga, bukan juga pilihan paling praktikal, kebiasaannya ia akan menjadi kereta kedua atau ketiga dalam garaj, untuk pemilik yang mungkin sudah ada SUV atau sedan besar, tetapi mahu sesuatu yang lebih personal untuk dipandu sendiri.

 

3

 

Bagi menjamin keseronokan, ia dikuasakan enjin B48 2.0 liter empat silinder turbo, dipadankan dengan transmisi DCT 7 kelajuan yang menghasilkan 204 HP dan 300 Nm.

Dengan berat keseluruhan pula sekitar 1,380 kg, ia mampu memecut dari 0 - 100 km/j dalam masa 6.9 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 237 km/j. 

Kalau lihat pada angka, ini bukanlah spesifikasi yang akan membuatkan peminat supercar teruja, tetapi untuk sebuah kereta kompak pacuan roda hadapan, nisbah kuasa kepada beratnya cukup untuk memberikan prestasi yang pantas dan responsif.

 

4

 

Dimensi Cooper Convertible S kekal kompak seperti tradisi MINI, panjang keseluruhan tidak sampai 3.9 meter dengan jarak roda 2,495 mm. 

Rekaan luaran pula masih mengekalkan DNA MINI yang sangat jelas, lampu hadapan bulat, proporsi badan yang kompak dan rim 18 inci Night Flash dua tona mengekalkan identiti klasik. 

Bumbung menggunakan fabrik soft-top MINI Yours yang boleh dibuka untuk menikmati pemanduan terbuka, lampu hadapan Bi-LED pula hadir dengan tiga pilihan light signature yang boleh diubah mengikut citarasa pemilik.

 

5

 

Masuk ke dalam kabin, perkara pertama yang menarik perhatian ialah paparan OLED bulat bersaiz 240 mm di tengah papan pemuka.

Ia menjadi pusat kawalan utama bagi sistem infotainment generasi baharu MINI yang menyokong Navigation Augmented Reality, MINI Experience Modes serta Head-Up Display, serta sistem audio Harman Kardon.

Dari sudut keselamatan dan bantuan pemandu, ia hadir dengan pakej Driving Assistant Plus termasuk Active Cruise Control dengan Stop & Go, Lane Control Assistant, Rear Crossing Traffic Warning, Reversing Assistant, sistem kamera Surround View serta Remote 3D View. 

 

6

 

Bahagian paling penting bagi sebuah MINI ialah pengalaman memandu, sistem stereng Servotronic memberikan bantuan kuasa yang berubah mengikut kelajuan. 

Pada kelajuan rendah ia ringan dan mudah dikendalikan, tetapi apabila kelajuan meningkat, stereng menjadi lebih berat dan stabil, respons ketika memasuki selekoh juga sangat cepat, dengan bahagian hadapan kereta terasa tajam dan responsif.

Dengan 300 Nm tork yang sudah tersedia seawal sekitar 1,450 rpm, tarikan dari rpm rendah memang terasa kuat, apabila pedal ditekan keluar dari selekoh, sedikit torque steer boleh dirasai tetapi masih dalam tahap yang terkawal. 

 

7

 

Convertible biasanya berdepan cabaran dari segi ketegaran casis kerana tiada struktur bumbung tetap, namun generasi F67 ini terasa cukup solid. 

Tiada bunyi flex yang pelik apabila melalui permukaan jalan yang tidak rata, suspensi menggunakan twin-tube gas-filled dampers dengan talaan yang agak firm. 

Di jalan bandar yang kasar, tekstur permukaan jalan memang dapat dirasai, tetapi kereta tidak melantun secara tidak terkawal.

 

7

 

Jika anda biasa memandu SUV, pengalaman masuk ke dalam MINI ini ibarat menukar kasut boots kepada kasut sukan, kedudukan pemanduan lebih rendah, respons kereta lebih langsung dan hubungan antara pemandu dengan jalan terasa lebih jelas.

Apabila bumbung soft-top dibuka, karakter kereta berubah sepenuhnya, bunyi enjin dua liter turbo menjadi lebih jelas, sementara angin mula masuk ke dalam kabin. 

Dengan bantuan wind deflector, turbulens masih boleh dikawal pada kelajuan sederhana, ini bukan grand tourer besar untuk perjalanan jarak jauh, tetapi convertible kompak yang menjadikan pengalaman pemanduan terasa lebih hidup dan lebih dekat dengan persekitaran.

 

8

 

MINI Cooper Convertible S ini bukanlah pilihan logik untuk semua orang di Malaysia, ia bukan kereta paling praktikal, bukan paling luas dan jelas bukan paling murah. 

Tetapi dalam dunia automotif yang semakin dipenuhi SUV dan crossover, kereta seperti ini menawarkan sesuatu yang semakin jarang ditemui, sebuah kereta kecil, ringan, fokus kepada pemandu dan mampu memberikan pengalaman pemanduan terbuka.

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
S5 EV, khususnya varian Lux Long Range, bukan sekadar nak jual jarak pemanduan atau skrin besar, ia…
Telah Diuji
Di sinilah segalanya bermula, asas kepada Civic baharu, Accord seterusnya, dan mungkin satu era…
Telah Diuji
Kecil, ringkas dan nampak seperti mainan, tapi bila duduk di belakang stereng, Super-One bukan…