S5 EV, khususnya varian Lux Long Range, bukan sekadar nak jual jarak pemanduan atau skrin besar, ia mahu memberikan rasa pemanduan yang tiada pada EV SUV lain.
Pertama sekali, konfigurasi pacuan roda belakang terus memberi hint bahawa ini bukan SUV elektrik tipikal, motor elektrik tunggal di belakang menghasilkan 170 PS dan 250 Nm.
Walaupun angka itu tidak kedengaran ekstrem dalam dunia EV hari ini, cara kuasa itu dihantar cukup meyakinkan, dari pegun, responnya bersih dan linear, tiada drama, tiada tork steer, tiada rasa kelam-kabut di stereng, kuasa datang serta-merta tetapi dengan cara yang terkawal, menjadikan pemanduan bandar lancar dan mudah dijangka.
Bila dipandu sedikit lebih agresif di jalan berselekoh, karakter RWD itu mula terasa, bahagian depan terasa ringan dan neutral ketika masuk selekoh, manakala bahagian belakang membantu menolak kereta keluar dengan lebih stabil.
Ia bukan SUV untuk drifting liar, tetapi keseimbangan casisnya membuatkan ia lebih menyeronokkan berbanding kebanyakan EV pacuan hadapan dalam kelas harga ini.
Suspensi belakang multi-link juga memainkan peranan penting dalam memberi rasa matang dan stabil ketika menukar arah dengan pantas.
Varian Lux Long Range menggunakan bateri 62 kWh jenis LFP dengan jarak WLTP sekitar 430 km, dalam penggunaan sebenar, angka ini cukup praktikal untuk kegunaan harian dan perjalanan antara bandar tanpa perlu terlalu kerap singgah pengecas.
Pengecasan DC sehingga 150 kW, antara yang tertinggi dalam kelasnya, membolehkan 10 ke 80 peratus dicapai dalam sekitar 26 minit, satu tempoh yang realistik untuk berhenti minum kopi sebelum sambung perjalanan.
Untuk pengecasan rumah pula, sokongan 7 kW AC menjadikan rutin harian lebih mudah, walaupun sedikit rendah berbanding pesaing lain yang mampu menyokong sehingga 11 kW.
Dari segi NVH, S5 EV memenuhi jangkaan sebuah EV moden, kabin senyap, getaran hampir tiada, dan bunyi angin pada kelajuan lebuh raya masih terkawal.
Struktur casis terasa solid, tidak ada bunyi berkeriut yang mengganggu walaupun melalui permukaan jalan yang kurang sempurna.
Ini memberi rasa kualiti binaan yang lebih meyakinkan daripada apa yang sesetengah orang mungkin jangkakan daripada jenama yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai pembuat roadster British klasik.
Bahagian dalaman Lux Long Range pula jelas cuba memberi nilai maksimum, skrin infotainment 12.8 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kluster digital 10.25 inci, pengecas telefon tanpa wayar, sunroof panoramik, tailgate elektrik dengan sensor kaki serta kamera 360 darjah semuanya disertakan.
Kedudukan tempat duduk belakang juga selesa dengan sudut sandaran yang tidak terlalu tegak, jadi untuk perjalanan jauh penumpang tidak cepat rasa letih.
Suspensi belakang multi-link membantu menyerap permukaan jalan yang kurang sempurna dengan lebih matang, jadi bila melalui jalan beralun atau sambungan jambatan di lebuh raya, hentakan tidak terasa keras atau melantun berlebihan, peredaman yang seimbang ini memberi rasa stabil dan terkawal, bukan lembik, dan bukan terlalu keras.
Aspek NVH yang baik turut memberi kesan besar kepada pengalaman di belakang, tanpa bunyi enjin dan dengan penebatan kabin yang memadai, suasana dalam kabin terasa tenang walaupun pada kelajuan lebuh raya.
Bunyi angin dan tayar masih wujud seperti mana-mana SUV, tetapi tidak sampai mengganggu perbualan normal antara penumpang, untuk keluarga kecil atau pasangan dengan anak, ini antara faktor yang akan dihargai dalam penggunaan harian.
Tambahan seperti ventilasi pendingin hawa belakang, armrest tengah dan ruang but yang luas menjadikan S5 EV bukan sekadar SUV elektrik untuk pemandu, tetapi juga untuk seluruh isi rumah.
Ruang kabin juga praktikal dengan but 453 liter yang boleh dikembangkan sehingga 1,441 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Harga rasmi Lux Long Range berada sekitar RM136k tanpa insurans, dalam konteks pasaran EV semasa, angka itu meletakkan S5 EV sebagai pilihan yang cukup kompetitif, terutama bila mengambil kira konfigurasi RWD dan tahap kelengkapan yang diberi.