Untuk makluman, Mercedes-Benz GLE 450 4MATIC AMG Line kini ditawarkan dalam bentuk SUV pemasangan tempatan (CKD) dari Pekan, Pahang, dan sedia untuk membawa golongan berpangkat tinggi ke mana jua yang diinginkan.
Dengan harga jualan yang mencecah hampir paras setengah juta Ringgit, SUV ini memang bukan untuk semua orang.

Tak salah untuk penulis gelarkan model ini sebagai rumah bergerak.
Pencabar kepada model-model seperti BMW X5 dan Volvo XC90 ini telah diperkenalkan pada pertengahan tahun 2021 dengan membawakan nadi enam silinder sebaris 3.0 liter.

Dipadankan dengan transmisi 9G-Tronic sembilan kelajuan, GLE 450 ini mampu menjana kuasa setinggi 367 hp dan 500 Nm, serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat.
Cukup pantas untuk sebuah SUV yang gedabak saiznya itu.

Gandingan sistem pacuan semua roda 4MATIC pula menjadikan SUV gergasi ini lebih lincah, baik di dalam bandar atau semasa dalam perjalanan merentas negeri mengikut jalan dalam.
Dengan teknik yang betul, anda tidak akan menyangka SUV ini sangat mudah untuk dikendalikan walaupun dalam keadaan kelajuan yang tinggi.
Seperkara yang penulis kagum, hamburan kuasa yang dilontarkan oleh enjin enam sebaris itu tidak agresif, ia sangat 'lembut' dan lancar sehinggakan anda tidak sedar SUV itu sudah pun masuk tahap kelajuan tiga angka.

GLE ini turut didatangkan dengan empat mod pemanduan - Eco, Comfort, Sport dan Individual - namun sepanjang masa penulis hanya menggunakan Comfort sahaja sebagai mod lalai.
Disebabkan mod Comfort itu sudah memadai untuk pemanduan seharian, tidak perlu rasanya mod Sport, kerana ia akan lebih membuatkan penulis mahu menziarah stesen minyak dengan lebih kerap.
Rupa paras SUV ini menggandingkan elemen sopan dengan sporti dalam masa yang sama, terima kasih kepada pakej AMG Line yang dilengkapkan secara standard dari kilang.

Keempat-empat sudut dipasangkan rim AMG bersaiz 21 inci, trim arca roda mengikut warna badan, serta balutan tayar Pirelli P Zero yang sentiasa mencengkam tanpa mengira keadaan permukaan jalan.
Seperkara lagi, GLE ini turut dibekalkan dengan sistem suspensi udara Airmatic yang sangat selesa, dan dalam masa yang sama berjaya mengurangkan kadar olengan badan yang terhasil semasa penulis 'membelasah' SUV ini di selekoh jalan lama di Negeri Sembilan.
Atas lebuh raya, prestasi sebenar enjin GLE ini benar-benar membantu penulis untuk mencapai kelajuan yang diinginkan, ia sentiasa bersedia apabila diperlukan dalam waktu-waktu tertentu.
Sistem brek berliang dan berlubang alur gerudi silang berjaya menghentikan SUV seberat 2.2 tan ini tanpa membuatkan pemandu keluar peluh jantan.

Memasuki ruang kabin, GLE 450 menawarkan susun atur papan pemuka yang serba moden, dimulakan dengan paparan skrin berkembar 12.3 inci, konsol tengah yang memisahkan pemandu dan penumpang hadapan, kehadiran sehingga enam corong pendingin hawa baris depan, serta butang kawalan pelarasan ketinggian kenderaan.
Dari tempat pemandu, sudut pandangan keluar yang diberikan amat jelas, cuma kedudukan cermin sisi telah mewujudkan titik buta yang agak besar di situ.

Aspek keselesaan tidak pernah menjadi satu kekurangan buat GLE 450, dengan tempat duduk yang selesa terima kasih kepada balutan upholsteri kulit palsu Artico dan mikrofiber Dinamica, ruang kaki dan kepala yang luas, serta kehadiran bumbung panorama yang mampu menjadikan ruang kabin tampak lebih luas.
Tempat duduk baris ketiga boleh dilipat dengan hanya menggunakan suis kawalan yang terdapat pada ruang kargo.

Malah, tahap ketinggian GLE 450 boleh direndahkan bagi memudahkan anda memuatkan barangan sehingga 630 liter pada ruang tersebut.
Atau sehingga 2,055 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat sama.

Sistem infotainmen MBUX dengan paparan grafik yang sangat tajam dan mudah dibaca itu turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem bunyi keliling Burmester 590-watt dengan 13 pembesar suara yang sangat mengasyikkan itu.
Menjadikan pemanduan yang lebih selamat sudah pasti dengan ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah Active Distance DISTRONIC, bantuan titik buta, brek kecemasan autonomi serta bantuan kekal laluan aktif.

Tidak ketinggalan sistem kamera keliling 360 darjah yang sangat-sangat membantu penulis dalam mengendalikan SUV besar ini terutama di kawasan meletak kenderaan yang sempit.
Rumah penulis seperti contohnya.
Dengan harga bermula dari RM475 ribu, mahukah anda dapatkan sebuah 'rumah bergerak' yang serba mewah dari Mercedes-Benz ini?
Baca: Spesifikasi Mercedes-Benz GLE 450 4MATIC AMG Line 2021