Pandu Uji Mercedes-Benz EQE 350+, perasaan kebimbangan jarak terpadam

oleh Mohamad Hanif|
Genre kereta sedan memang tidak dapat dipisahkan daripada Mercedes-Benz, apatah lagi ia merupakan sebahagian daripada sejarah yang membentuk jenama Jerman itu sendiri.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dalam era EV Mercedes-Benz masih lagi setia menawarkan bentuk badan sedan tatkala pesaing rapat mereka mula mengenepikan bentuk badan tersebut dan memfokuskan kepada penghasilan SUV berkuasa elektrik.
 

EQE


Di Malaysia, ada dua sedan elektrik yang anda boleh beli, iaitu Mercedes-Benz EQS (kini dalam versi pemasangan tempatan CKD) dan juga Mercedes-Benz EQE.

Careta berjaya mencuri peluang untuk memandu uji sedan elektrik EQE beberapa minggu lepas, berikut merupakan input ringkas kami:
 

1. Bentuk badan sedan aerodinamik yang errr.. pelik

EQE


Sama seperti EQS, EQE masih lagi mengekalkan bentuk badan yang disifatkan penulis sebagai sedan yang aneh dan tidak seperti bentuk sedan tiga kotak yang konvensional.

Rupa keseluruhan memang licin, menyumbang kepada kadar pekali seretan yang sangat rendah, sekitar 0.22 sahaja. Sekaligus memberikan kesan yang cukup besar kepada jarak gerak keseluruhan sedan EV ini.
 

EQE


Selain itu, ia turut dibantu dengan pemegang pintu yang tertanam kemas, set roda aerodinamik bersaiz 19 inci, serta rekaan jeriji hadapan yang kosong tanpa hiasan bintang Mercedes seperti abangnya EQS.

Struktur itu menjadikan EQE tampak kurang mewah, dan jika tidak disebabkan logo bintang Mercedes di hadapan, orang akan ingat ia sebuah sedan dari Tanah Besar.

 

2. Jarak gerak yang mampu memadamkan perasaan 'range anxiety'

EQE

 

Faktor kekurangan fasiliti pengecasan serta jarak gerak yang tidak mampu untuk memenuhi keperluan seharian menjadikan EV salah satu pilihan yang kurang mendapat perhatian.

Namun, kehadiran dua model EV EQS dan EQE ternyata mampu menjadikan perjalanan jarak jauh yang lebih menyenangkan jiwa, itupun jika anda berjaya merancang perjalanan pergi dan balik dengan sebaiknya.
 

EQE


Secara standard, EQE dibekalkan dengan pek bateri 90.56 kWh yang membolehkan perjalanan sejauh 669 km dicapai untuk sekali cas penuh.

Untuk perjalanan dalam bandar diselang-selikan dengan kesesakan trafik, kadar penggunaan tenaga EQE yang cukup rendah nyata tidak merisaukan.
 

EQE


Bermakna, penulis boleh senang lenang bergerak dari Klang menuju ke rumah terbuka di Kajang, sebelum singgah menghadiri acara pembukaan premis stesen minyak baharu di Bandar Baru Salak Tinggi dan pulang semula ke Klang tanpa perlu membelek peranti pintar mencari stesen pengecasan berhampiran.

Menariknya, corak pemanduan EQE yang bercampur-campur (santai dan setan) di atas lebuh raya tidak menjadikan kuasa bateri menurun dengan lahap macam EV yang lain.
 

EQE


Secara standard, EQE 350+ datang dengan motor elektrik tunggal 292 hp dan 565 Nm yang memacu roda belakang, dan berdasarkan pemanduan tidak sukar untuk sedan elektrik ini untuk memecut mencapai kelajuan yang diinginkan.

Untuk menjadikan pemanduan elektrik yang lebih menarik, terdapat tiga runut bunyi khas yang boleh dipilih di dalam sistem infohibur. Itu pun jika anda rindukan karakteristik yang ada pada kereta konvensional lah.

 

3. Ruang kabin masih serupa kokpit kapal angkasa lepas

EQE


Elemen susun atur yang ada pada EQS turut diterapkan pada model EQE, namun tanpa kehadiran sistem MBUX Hyperscreen sebesar 56 inci.

Sebaliknya, Mercedes-Benz EQE ini dipasangkan dengan skrin kluster yang lebih konvensional, diikuti dengan skrin tengah yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, serta kemasan hitam berkilat pada sesetengah tempat yang mampu menarik perhatian habuk.
 

EQE


Ia juga hadir dengan sistem lampu tomyam, namun kedudukan jalur sistem pencahayaan ambien yang agak tinggi itu mampu menyakitkan mata jika kadar kecerahan tidak ditetapkan pada tahap minimum.

Nampak cantik pada waktu malam, cuma bila lama-lama rasa bosan pula duduk di dalam kapal angkasa lepas ini.
 

EQE


Selain itu, posisi skrin kluster digital yang serba tak kena itu juga menyebabkan beberapa informasi penting sukar untuk dibaca menerusi roda stereng yang besar itu.

Seperti contoh, penulis mahu memberikan isyarat membelok dengan menarik tuil kiri, namun simbol isyarat membelok tersebut sukar untuk dibaca kerana tersembunyi di sebalik roda stereng.

Larasan stereng yang terlalu tinggi akan menyukarkan aspek pemanduan, jika terlalu rendah mungkin akan tersangkut pada peha yang gebu itu.

 

4. Panjang itu bagus, tapi tidak baik

EQE


Dengan ukuran dimensi sepanjang 4,964 mm dan jarak antara roda melebihi tiga meter, EQE seharusnya menjadi satu pakej sedan yang luas.

Namun, perkara tersebut tidak dapat dirasai pada model EQE 350+ ini disebabkan faktor rekaan yang diterapkan pada ruang kabin itu sendiri.
 

EQE


Bila masuk, perasaan sempit pada ruang kokpit di mana pemandu seakan 'dikepung' oleh susunan papan pemuka yang terlalu besar dan panel pintu yang terlalu tebal.

Perasaan yang sama dirasai apabila memandu EQS tempoh hari.

Disebabkan dimensi antara roda yang panjang itu juga menjadikan pemanduan di laluan yang sempit seperti lapangan kereta menjadi kurang menyenangkan.
 

EQE


Tidak macam EQS, EQE langsung tidak dilengkapi dengan sistem stereng gandar belakang untuk membantu pemandu memastikan tiada sebarang calar hinggap pada badan kereta yang cantik ini.

Mujur juga nisbah putaran stereng EQE yang pantas dan bantuan kamera keliling yang jelas dan 'crispy' boleh mengurangkan kadar peluh yang terhasil sewaktu pemandu bersilat di kawasan parkir.

 

5. EQE - tidak sesuai untuk kawasan perumahan yang banyak bonggol

EQE


Usah cepat marah, penulis tidak menyangkal fakta di mana EQE ini sebenarnya sebuah sedan yang sangat selesa untuk dipandu setiap hari.

Biarpun tidak mempunyai sistem suspensi yang lebih sofistikated, pemanduan seharian adalah cukup menyenangkan di mana sebarang permukaan yang tidak rata berjaya ditapis, dan kadar NVH juga berada di tahap yang baik.

Cuma, ia sebuah sedan elektrik dengan jarak kelegaan tanah yang agak rendah.
 

EQE


Disebabkan pek bateri berat yang berada di lantai kereta dan talaan suspensi yang lembut, urusan naik turun bonggol yang tidak mengikuti spesifikasi SIRIM perlu dibuat dengan berhati-hati supaya sebarang bunyi seretan tidak mencederakan telinga penumpang.

Sampai satu tahap, penulis terpaksa beraksi macam geng kereta lowered - naik bonggol secara senget setiap kali melalui jalan raya yang berbonggol.
 

EQE


Usah percaya bulat-bulat pada tulisan ini, saranan penulis: cuba sendiri dan tentukan sama ada sedan elektrik berharga RM419,888 ini sangat berbaloi ataupun tidak untuk kegunaan anda.

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…