Pandu Uji: Mercedes-Benz C200 Avantgarde - sedan Mercedes sebenar yang patut anda beli

oleh Mohamad Hanif|
Untuk rekod, penulis sudah pun menguji beberapa jenis sedan berjenama Mercedes-Benz pada tahun ini.

MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Baik yang elektrik sepenuh masa, atau model sedan yang dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman.

Tatkala sedan elektrik tidak memberikan impresi "Mercedes" yang cukup mendalam, namun ada satu model sedan yang benar-benar membuatkan penulis rasa teruja.
 

C200


Mercedes-Benz C 200 Avantgarde.

Boleh dikatakan, sejak model import sepenuhnya (CBU) dilancarkan dan disusuli dengan versi pemasangan tempatan (CKD), sedan yang satu ini gagal untuk membuatkan penulis melahirkan rasa benci untuk memandunya. 

Berdasarkan pandu uji yang dibuat, C 200 Avantgarde ini sebenarnya mempunyai beberapa kelebihan tersendiri untuk menjadi sebuah sedan mewah yang patut anda beli, dan ada juga kekurangan yang boleh dimaafkan.

 

1. Sedan Mercedes yang sebenar

C200


Dari sudut pandang luar, Mercedes-Benz C 200 Avantgarde ini membawakan penampilan yang lebih minimalis dan matang, mengikut pengaruh yang dibawakan oleh Mercedes-Benz S-Class generasi baharu yang jauh lebih mewah.

Tak salah untuk penulis gelarkan C-Class baharu ini sebagai sebuah 'baby S-Class'.
 

C200


Sebab bila diperhatikan pergerakan kereta ini meluncur di atas jalan raya, ia membawakan prestij sedan yang sepatutnya ditonjolkan oleh sebuah model Mercedes-Benz.

Sukar untuk penulis rasakan perkara itu pada sedan elektrik EQE dan EQS, serta model A-Class yang lebih mampu milik itu.

Secara standard, C 200 Avantgarde didatangkan dengan unit lampu LED depan dan belakang, diikuti dengan rim aloi lima jejari bersaiz 18 inci yang memang nampak kena dengan imej sedan ini.

 

2. Kabin memang macam S-Class

C200


Pengaruh S-Class sebenarnya bukan sahaja dilihat pada bahagian luar, akan tetapi turut dibawakan pada ruang kabin.

Rekaan papan pemuka yang hampir sama, diikuti dengan kehadiran skrin tengah bersaiz 11.9 inci yang memiliki paparan grafik yang jelas dan tajam, dan skrin kluster 12.3 inci di sebalik roda stereng.

Tiada skrin tambahan untuk penumpang hadapan, sebenarnya tidak perlu pun.
 

C200


Seperkara yang penulis hargai pada C-Class terbaharu ini ialah susun atur papan pemuka yang lebih kemas, dan unit pencahayaan ambien yang diposisikan dengan baik tanpa mengganggu pemanduan terutama pada waktu malam.

Mengikut dimensi, C-Class terbaharu ini membawakan ukuran jarak antara roda yang lebih panjang, jadi perubahan ini turut menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas dan selesa untuk penumpang belakang.
 

C200


Kualiti bahan yang digunakan pada tempat duduk, roda stereng, panel pintu, papan pemuka dan konsol tengah juga tidak nampak murah, melainkan di sesetengah tempat seperti contoh butang kawalan pada roda stereng dan bawah skrin tengah yang mampu memerangkap cap jari.

Kemasan ala gentian karbon pada papan pemuka juga nampak cantik bila dipandang.

 

3. Anda akan terlupa ia sebuah sedan mewah dengan enjin 1.5 liter turbo

C200


Trend penurunan kapasiti enjin telah menyebabkan model-model mewah kini tidak lagi didatangkan dengan enjin bersesaran besar.

Untuk C 200 Avantgarde ini, anda sememangnya tidak perlu risau dengan prestasinya walaupun atas kertas ia didatangkan dengan spesifikasi enjin 1.5 liter turbo.

Ini kerana nadi empat silinder itu telah dipadankan dengan sistem hibrid ringan 48 voltan, dengan kuasa keseluruhan 201 hp dan daya kilas 300 Nm yang menggerakkan roda belakang menerusi kotak gear automatik sembilan kelajuan.
 

C200


Perasaan pemanduan yang mewah sebenarnya boleh dirasai saat enjin dihidupkan, di mana tiada langsung gegaran enjin yang ketara.

Operasi sistem start/stop juga sangat cekap, di mana pemandu langsung tidak perasan bila masa enjin dimatikan dan dihidupkan semula, disebabkan gegaran yang dirasakan agak minima.
 

C200


Kuasa yang dihamburkan juga cukup memadai untuk menggerakkan C 200 ini dari pegun dengan lancar, dan di atas jalan raya, ia tidak perlu bekerja keras untuk mencapai kelajuan tiga angka yang diinginkan.

Tahap deruman enjin juga berjaya dikekalkan pada tahap minimum tanpa menjadikan ruang kabin bising.

Aspek pemanduan juga dibantu dengan talaan suspensi yang lebih berorientasikan keselesaan, tapi masih lagi mampu menawarkan pemanduan yang meyakinkan terutama apabila keadaan memerlukan.

Jauh lebih baik berbanding C-Class yang terdahulu.

 

4. C-Class yang tidak mesra jalan berbonggol

C200

Dimensi yang rendah pada C-Class ini menjadikan ia sebuah sedan yang tampak sporti sejak azali, tanpa perlukan ubahsuai suspensi aftermarket.

Akan tetapi, disebabkan penulis tinggal di kawasan rakyat kebanyakan, memandu C-Class ini memerlukan tumpuan yang lebih.

Bukan disebabkan oleh dimensinya yang bertambah besar, akan tetapi jarak kelegaan tanah yang rendah, dan tidak pula mesra bonggol yang tidak mengikut spesifikasi.

Namun ia bukanlah satu masalah yang besar pun, memandangkan boleh dibilang dengan jari berapa kali dalam sehari penulis perlu berdepan dengan bonggol jalan.
 

5. Butang kawalan tidak mesra pemandu

C200


Disebalik kesukaan penulis pada model C-Class generasi baharu ini, ada beberapa perkara pada ruang kabin yang tidak begitu digemari.

Satu daripadanya ialah butang kawalan berasaskan sentuhan pada roda stereng yang ada kalanya sukar untuk dioperasikan, terutama butang kelantangan bunyi audio.

Terlebih tatal, lantunan bunyi dari sistem audio yang sangat sedap di telinga itu akan membingit tak tentu pasal, atau tiba-tiba senyap macam malaikat melintas.
 

C200


Kedua, butang kawalan tempat duduk.

Ya! Sejak bertahun-tahun, ia merupakan antara ciri yang sangat digemari oleh penulis, disebabkan betapa mudahnya pengguna untuk melaraskan posisi kegemaran mereka.

Namun pada model C-Class terbaharu ini, ia telah diberikan butang kawalan yang lebih bersegi, dan lebih 'keras' sampai ada kalanya jari-jemari terasa sakit selepas mendapatkan larasan tempat duduk yang diperlukan.
 

C200


Mujur fungsi simpanan memori masih lagi dikekalkan pada C 200 ini, jadi penulis boleh tetapkan kedudukan tempat duduk yang dikehendaki sewaktu memandu, serta sewaktu urusan masuk dan keluar.

Kesimpulan yang boleh penulis berikan, Mercedes-Benz C 200 Avantgarde berharga dari RM292,888 ini sepatutnya sebuah sedan 'aras mula' Mercedes-Benz yang patut anda pertimbangkan, jika anda mahu merasai secebis pengalaman mewah yang sebenar dari jenama Jerman.
 

c200


Spesifikasi ringkas Mercedes-Benz C 200 Avantgarde CKD
Enjin 1.5 liter turbo, empat silinder sebaris
Sistem hibrid ringan (MHEV) 48 voltan
201 hp @ 5,800 rpm, 300 Nm @ 1,800 rpm
Transmisi automatik sembilan kelajuan
0-100 km/j 7.3 saat
Kelajuan maksimum 246 km/j

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Hadir sebagai generasi kedua, The New All-Electric MINI Cooper menampilkan prestasi dan jarak gerak…
Informasi
Minggu lalu, GWM Malaysia telah mengumumkan harga jualan bagi Tank 300 ini yang diimport sepenuhnya…
Kereta
VW Touareg merupakan SUV pertama bagi jenama VW, tetapi ia seolah-olah ‘underated’ bagi kalangan…