Pandu Uji: Mercedes AMG GLC 43 4MATIC CKD (RM465,888) - AMG dari Pekan, untuk yang kaki tekan!

oleh HEZERI SAMSURI|
Sebut nama Mercedes-Benz, pasti terbayang kenderaan-kenderaan premium yang cantik, bermutu tinggi dan paling penting, super-selesa.

Namun begitu, bila prestasi dan kelajuan yang dimahukan dari sebuah Mercedes-Benz, anda perlu menambah tiga huruf termahal di dalam kamus Jerman - A, M dan G.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Mercedes AMG ialah varian prestasi untuk jenama tersebut dan sebelum ini, ia adalah varian yang tersangat mahal.

Mercedes-Benz faham ia tidak boleh menidakkan kemahuan pelanggan, dan di samping itu, ia juga perlu memastikan mereka tidak akan lari kepada BMW.

 

 

Mungkin kerana itulah siri 43 AMG dihasilkan, dan ia popular di seluruh dunia kerana pelanggan dapat membeli varian AMG dengan harga yang lebih rendah.

Pelanggan Malaysia nampaknya lebih beruntung kerana Mercedes-Benz mengambil inisiatif untuk memasang varian 43 AMG secara tempatan di kilang mereka di Pekan, Pahang agar harganya hampir RM100,000 lebih rendah dari CBU.

Dan kerana itu, jika anda mahukan sebuah SUV Jerman dengan prestasi yang mampu membuatkan Civic FD bikin milik anak jiran anda itu tertunduk malu, kami usulkan model Mercedes AMG GLC 43 4MATIC.

 

 

Pilihan model GLC ini memang tepat kerana ia adalah antara model Mercedes-Benz yang paling popular di Malaysia.

Dari segi luaran, roda aloi AMG 21-inci, bamper depan belakang yang sedikit garang serta beberapa kemasan minimum membezakan GLC AMG ini dari varian GLC 200 dan GLC 250.

Oleh kerana ia sebuah AMG, GLC ini menerima enjin Mercedes-AMG V6 3.0 liter Biturbo yang dipadankan dengan transmisi automatik 9-kelajuan 4MATIC (talaan AMG) untuk menyalurkan 367PS dan 520Nm kepada keempat-empat rodanya.

Prestasinya tidak memalukan AMG. Pecutan dari pegun ke 100 kmsj dilakukan dalam 4.9 saat, dan jika pendikit dipijak rapat ke lantai, GLC ini akan terus memecut sehingga 250 kmsj - dibataskan sebagai menghormati perjanjian tidak rasmi antara syarikat kenderaan Jerman.

Sistem gantungan jenis udara AMG Sports Suspension (Air Body Control) yang dikawal oleh AMG Dynamic Select digunakan dan ia membenarkan SUV mewah ini berubah sifat. 

 

 

 

Melompat ke dalam, kabin GLC ini perlu nampak AMG, dan kerana itu ia menggunakan kombinasi warna hitam dan metalik besi seperti Night Package yang menjadi optional untuk varian GLC biasa.

Dari paparan meter yang lebih agresif dan stereng yang lebih kompak serta tempat duduk "bucket" dibalut dengan kulit sintetik Artico, anda akan terasa sedikit istimewa berbanding dengan GLC 200 dan GLC 250. 

Papan pemuka yang iras C-Class (platform yang sama sebenarnya) itu nampak jauh lebih sporty walaupun tidak seagresif pada model-model 63 AMG.

Mungkin ini lebih praktikal kerana jika terlalu agresif, akan ada yang terasa ia sedikit melampau pula.

 

 

Seperti biasa, penulis membawa balik AMG ini ke Kuantan, menggunakan Lebuhraya KL-Karak (KLK) yang penuh dengan cerun dan selekoh-selekoh panjang dan pendek, terus bersambung kepada lebuhraya LPT 1 yang selurus Ahli Parlimen Pontian dan kemudian keluar di Temerloh untuk menggunakan jalan persekutuan FT2 ke bandar Kuantan.

Walaupun ia tidak seperti sebuah BMW, pemanduan di Lebuhraya KLK (mod Sport) masih memberikan keyakinan, terutama dari segi respon stereng dan cara ia mengawal berat GLC ini ketika selekoh-selekoh diambil.

Mod Sport juga merendahkan SUV ini kepada tahap paling rendah, namun begitu masih ada sedikit olengan (body-roll) ketika selekoh diambil laju.

 

 

Ia tidak begitu teruk dan sebenarnya memberikan rasa "lateral G-force" itu diserap. Cuma mungkin ia tidak begitu meyakinkan seperti sebuah mmm ... BMW X3.

Masuk ke LPT 1, penulis memilih Mod Comfort dan kerana mahukan keselesaan maksimum. Ternyata, Mercedes-Benz memang cemerlang di dalam setting ini, jauh lebih baik dari errr .. BMW.

Walaupun respon stereng tidak setelus pesaingnya, ia tidaklah begitu menjengkelkan. Masih boleh diterima dan masih boleh dikawal semasa pendikit ditekan rapat ke lantai.

Apapun, penulis tidak akan ke Ulu Yam atau Kuala Kelawang dengan Mercedes AMG GLC 43 4MATIC. Ia masih sebuah SUV tinggi dan ada banyak lagi kenderaan lain yang lebih sesuai untuk jalan-jalan "touge" itu.

 

 

Di laluan persekutuan FT2, mod Sport+ dipilih. Ini adalah mod paling sporti untuk model ini.

Ternyata memang ada perbezaan ketara - baik dari respon pendikit, stereng dan juga enjin.

Jika sebelum ini penulis merasakan ia tidak cukup bertenaga untuk harganya, jalan lama KL-Kuantan ini membuktikan GLC ini masih sebuah AMG, cuma ia lebih praktikal dan lebih selesa.

Pecutan pantas dan brek yang baik membantu penulis untuk menghayati jalan persekutuan itu. Mengujakan, walaupun adakalanya terasa roda hadapan "understeer" terlalu awal.

 

 

Benar, AMG ini menggunakan sistem All-Wheel Drive dan Mercedes-Benz berkata kebanyakan tenaga masih dilebihkan kepada roda belakang tetapi sebagai langkah keselamatan, sedikit "understeer" dimasukan ke dalam talaan sistem gantungan ini agar ia lebih selamat dan mudah dikawal.

Untuk penulis, perkataan "selamat" dan "dikawal" adalah dua perkara yang bercanggah dengan perkataan "sporti" dan "AMG".

Hakikatnya, Mercedes AMG GLC 43 4MATIC ini direka sebagai sebuah SUV yang selesa, praktikal dan selamat tetapi diberikan sedikit prestasi untuk pemandu berseronok bila selamat.

Secara ringkas, ia umpama Datuk Siti Nurhaliza memakai but bola Nike Mercurial Superfly 360 “Just Do It” - lincah di padang tetapi tetap elegan dan bersopan-santun.

 

 

Spesifikasi Mercedes AMG GLC 43 4MATIC (CKD)

  • Enjin 
    • V6 2,996cc 32-valve DOHC BiTurbo Variable Valve Timing
  • Kuasa maksimum
    • 367 hp @ 5,500 rpm
  • Daya kilas maksimum
    • 520 Nm @ 2,500 rpm
  • Transmisi
    • 9G-Tronic automatik 4MATIC
  • Pecutan 0-100 kmsj
    • 4.9 saat
  • Halaju maksimum
    • 250 kmsj (dibataskan)
  • Penggunaan bahanapi
    • 8.7L/100 km
  • Berat kering
    • 1,845 kg
  • Tangki bahanapi
    • 66 liter
  • Harga
    • RM465,888 (termasuk SST, tidak termasuk insurans)

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Perkakasan gentian karbon dengan ciri aerodinamik pada bahagian bawah tampil berbeza dengan…
Berita Global
  Pemandu juga orang yang sama iaitu Maro Engel, duta jenama Mercedes-AMG dan pelumba DTM. …
Berita Global
  Warna Obsidian Black Metallic diilhamkan dari kereta lumba Mercedes-AMG F1 dan begitu juga…