Pandu Uji: Mercedes-AMG C43 - Racetrack Limousine, bukan sekadar nama samaran

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa bulan yang sudah, Mercedes-Benz melancarkan model pemasangan tempatan bagi model yang bernaung di bawah lencana AMG C43, iaitu Mercedes-AMG C43 sedan dan SUV Mercedes-AMG GLC 43.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Perkembangan ini amat menarik perhatian oleh kerana pihak pengeluar sudah mempercayai kualiti pemasangan tempatan sehinggakan model prestasi juga turut diberikan peluang untuk dipasang di Malaysia.

 


Kebaikannya? Harga jualan yang lebih murah berbanding model import sepenuhnya CBU, yang lebih menguntungkan para pembeli tempatan yang mahukan sesuatu yang lebih berkuasa pada harga yang masih boleh dimiliki. 

Jadi, peluang diberikan oleh pihak Mercedes-Benz Malaysia beberapa minggu yang lalu untuk menguji sendiri prestasi model pemasangan tempatan ini dengan laluan yang ditetapkan daripada Kinrara menuju ke puncak Genting Highlands. 

 


Pihak Mercedes Malaysia telah menyediakan beberapa buah sedan C43 dan SUV GLC43, yang mana Careta diberikan peluang untuk menguji kereta sedan C43 bersama rakan media yang lain. 

Sedikit maklumat teknikal berkenaan sedan prestasi yang lebih dikenali dengan Racetrack Limousine, ia menggunakan enjin biturbo V6 3.0 liter yang menghasilkan 367 kuasa kuda dan daya kilas sebanyak 520 Nm, sebelum kuasa itu disalurkan keempat-empat roda menerusi transmisi 9G-TRONIC.

C43 sedan ini mampu memecut sepantas 4.7 saat dari pegun sebelum mencecah 100 km/j, dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j. 

Turut ditawarkan empat mod pemanduan yang ditawarkan (Sport, Sport Plus, Eco dan Comfort) termasuklah pelarasan terhadap stereng dan sistem suspensi bergantung kepada ketetapan yang dibuat oleh pemandu. 
 


Dari segi luaran, tiada apa yang membezakan model prestasi ini dengan adik beradiknya yang lain melainkan penggunaan rekaan set rim 19 inci yang lebih sporty, serta dalaman kabin yang berwarna gelap piano black, dan dikontraskan dengan tali pinggang keledar berwarna merah terang. 

 


Konvoi AMG C43 dan GLC 43 ini memulakan perjalanan daripada Mercedes-Benz Kinrara pada jam 10.45 pagi sebelum perlahan-lahan menyertai kesesakan lalu lintas di lebuhraya yang paling sibuk dengan pelbagai binaan manusia, MRR2. 

Pemanduan 'santai' yang diselang seli dengan trafik yang agak sibuk, mod Comfort sememangnya lebih daripada cukup untuk mengharungi keadaan jalan yang direjam saban hari tanpa mengakibatkan kereta melantun-lantun tidak tentu hala. 
 


Di kala ini penulis berpeluang untuk menguji sendiri bagaimana lancarnya kuasa dari enjin 367 hp ini dikerah ketika dipaksa untuk mencelah ketika kereta di bahagian kanan memandu seperti mengambil angin di pantai. 

Mengambil inspirasi pemanduan daripada Fujiwara Takumi (Initial D), penulis kerap kali tersenyum setiap kali melihat ruang yang terbuka untuk diserang dan setiap kali pendikit minyak ditekan dengan semahunya, sedan C43 ini dengan selambanya meluru dengan tenang tanpa sebarang perasaan huru-hara.

Perasaan yakin ini turut dibantu oleh pemandangan keluar dari kabin pemandu yang begitu luas tanpa halangan daripada titik buta seperti kebanyakan kenderaan moden, memudahkan penulis mengagak jarak dengan begitu senang walaupun ini pertama kali penulis memandu sebuah Mercedes-Benz.
 


Mengakhiri kesesakan di Tol Gombak dan menaiki jalan curam ke Genting, disini kuasa dan prestasi sebenar C43 diuji. 

Mod Sport digunakan, dan penulis dapat merasai sendiri pengalaman menyelusuri selekoh-selekoh berkelajuan tinggi di Lebuhraya Karak dengan stabil oleh kerana sistem AWD 4MATIC membuatkan kereta melekat di setiap selekoh, walaupun ada ketikanya penulis seakan 'hilang kawalan' di salah sebuah selekoh tajam Genting. 

Walaupun ini pertama kali penulis mendaki Genting dengan sendiri dan menggunakan kereta sedan sport AMG ini, kawalan yang diberikan di setiap selekoh amat menyeronokkan.
 


Cukup agresif sekiranya pedal pendikit minyak ditekan lebih, tetapi masih mampu memberikan kawalan pemanduan yang mudah untuk dikawal, terima kasih kepada sistem kawalan keselamatan elektronik yang dibekalkan kepada C43 sedan ini serta stereng yang ditala secukup rasa.

Perasaan berat yang ditawarkan oleh stereng elektrik C43 AMG ini cukup untuk memberikan keyakinan kepada pemandu menyerang selekoh-selekoh di hadapan mengikut gerak hati pemandu, bukannya gelabah apabila kereta tidak mematuhi arahan stereng. 

Sistem suspensi standard talaan AMG Ride Control pada C43 Sedan ini menggunakan sistem gantungan multilink untuk bahagian hadapan dan belakang menyumbang kepada kurang daya olengan badan terhasil ketika pemandu sedang tenang mengemudi jentera AMG yang serba hensem ini. 
 


Tepat satu jam, konvoi kami tiba di puncak Genting Highlands sebelum menikmati hidangan tengah hari dan beramah mesra bersama Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz, Mark Raine dan pelumba negara, Nabil Jeffri bertempat di Burger & Lobster. 

Sebelum bergerak menuruni jalan Genting yang serba berbonggol itu, kami berkumpul di hadapan Genting Highlands Premium Outlet untuk sesi bergambar kenang-kenangan sebelum masing-masing memecut menuju ke arah KL. 

Merasai sendiri pengalaman menjadi penumpang ketika bergerak menuruni jalan Genting, penulis dapat merasai sendiri kualiti pemanduan yang ditawarkan oleh model prestasi tempatan ini. 
 


Walaupun ia dikhususkan untuk dilenjan di kawasan litar, dan selekoh berliku, ia masih menawarkan keselesaan yang tersendiri untuk pemanduan seharian, sehinggakan penulis sebenarnya hampir terlelap di kala Amirul dari DSF memandu menggunakan mod Sport Plus. 

Kerusi yang digunakan oleh C43 ini sebenarnya sudah cukup untuk meraikan kegunaan harian pemandu dengan selesa, urusan keluar masuk kereta dimudahkan dek kerana rekaannya yang tidak terlalu menyerupai kerusi sukan sebagaimana lazimnya kereta prestasi yang lain. 
 


Secara ringkas, Mercedes-AMG C43 Sedan merupakan sebuah jentera prestasi yang membuktikan nama gelaran Racetrack Limousine bukanlah sekadar nama timang-timangan yang diberikan oleh Mercedes untuk menakut-nakutkan pesaing. 

Terima kasih kepada pihak Mercedes-Benz Malaysia kerana sudi menjemput Careta untuk memandu uji jentera AMG ini bersama-sama rakan media yang lain. 

 


Spesifikasi Mercedes-AMG C43 Sedan
Enjin: 3.0 liter V6 biturbo (367 hp/520 Nm)
Transmisi: Automatik 9G-TRONIC with 4MATIC 
Penggunaan bahan api: 8.0 L/100 km (NEDC)
Rim aloi: 19"
Sistem gantungan: Multilink AMG Ride Control (depan dan belakang)
Keluasan boot: 480 liter
Sistem infotainmen bersaiz 8.4" dengan sistem hiburan Burmester Surround Sound System (13 Speaker)
Lampu depan LED Projektor dengan DRL, High Beam Assist
Sistem keselamatan: 7 beg udara, Stability Control, Autonomous Braking System with Collision Prevention Assist Plus, ISOFIX
Harga(GST sifar): RM385,883 tanpa insuran dan cukai jalan.

 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
AMG GT63 S E Performance dikuasakan nadi V8 4.0 liter turbo berkembar bersama bantuan motor…
Berita Global
   Juga baharu fungsi transparent bonnet yang memaparkan pandangan maya pada bahagian bawah depan…
Berita Global
Berbanding varian berkuasanya GT63, Mercedes-AMG GT43 bersama nadi baharu itu turut tidak…