Pandu Uji Media Mitsubishi Triton di Sabah - penuh drama!

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kira-kira seminggu awal sebelum pelancaran rasmi Mitsubishi Triton, sekumpulan pengamal media telah dijemput ke Kota Kinabalu, Sabah bagi menghadiri sesi pandu uji media untuk trak pikap Triton ini. 

Konvoi tersebut terdiri daripada enam buah Triton serba baharu (4 unit Triton VGT Adventure X dan 2 unit Triton VGT MT Premium) bagi memberi peluang kepada media merasai pengalaman pemanduan Triton di jalan biasa, serta off-road. 

Berikut merupakan input yang kami dapat daripada sesi pandu uji media Triton baharu. 
 

 

  • Bermula dari Hotel KK Marriot di Kota Kinabalu, barisan enam unit Triton baharu yang serba kacak  dan hensem ini diiringi dengan beberapa unit Triton model terdahulu berbaris memulakan perjalanan. 
  • Pada fasa awal trip ini, kami diberikan unit Triton VGT Adventure X dengan transmisi automatik memulakan perjalanan menuju ke Tamparuli.
  • Cuaca hujan pada ketika itu tidak menggugah keyakinan terhadap pengendalian yang diberikan oleh Triton, walaupun pada mulanya sedikit janggal kerana ia seakan membawa trak pikap yang bersaiz lebih besar.
     

 

  • Hal ini adalah disebabkan rekaan bahagian hadapan serba baharu pada Triton ini menyebabkan lampu utama dinaikkan tinggi 700 mm dari paras tanah, menjadikan rekaan bonet lebih tinggi. 
  • Pada penulis, ini adalah perbezaan yang ketara dari segi pandangan keluar di antara Triton terdahulu dengan Triton serba baharu. 
  • Kami juga diberikan penerangan bahawa ciri SuperSelect 4WD II yang didatangkan pada Triton ini membolehkan anda menukar konfigurasi pacuan dengan mudah (2 roda kepada pacuan empat roda) tanpa perlu memberhentikan Triton ini. 
  • Ciri-ciri keselamatan lain seperti Blind Spot Warning berfungsi dengan baik, cuma lampu indikasinya yang terletak di bahagian cermin sisi tidak begitu menyerlah, terutama ketika pemanduan di dalam cuaca hujan. 
     

 

  • Memasuki kawasan Tamparuli, kami dibawa memasuki jalan kampung sebelum merentas jalan off-road, terdiri daripada 80% tarmac dan 20% gabungan jalan off-road sederhana sukar, lintasan anak sungai dan cerun yang agak curam.
  • Keadaan jalan yang licin akibat hujan menyebabkan ujian ciri Hill Descent Control (HDC) tidak berfungsi dengan baik, apatah lagi kami memandu Triton dalam keadaan spesifikasi tayar standard kilang sepenuhnya, dan bukan tayar yang dikhaskan untuk off-road yang lebih sukar.
  • Bahkan hampir keseluruhan krew media 'menggelongsor' ketika sesi menuruni bukit akibat jalan yang terlalu licin disebabkan hujan yang turun pada awal pagi. 
     

 

  • Namun, di sesetengah seksyen di mana kadar cengkaman tayar sudah pun dirasai, ciri HDC ini mampu dimanfaatkan sepenuhnya, di mana pemandu hanya perlu memfokuskan kepada kawalan stereng sepenuhnya ketika menuruni bukit.
  • Setelah selesai mengharungi cabaran off-road, krew media berhenti di Kampung Bambangan Lama, Tamparuli disambut oleh puak Dusun yang amat baik hati untuk sesi rehat dan makan tengah hari. 
  • Tepat pukul 2 petang, kami meneruskan perjalanan keluar daripada kawasan Tamparuli menerusi jalan yang agak licin dalam keadaan hujan kembali turun membasahi bumi. 
     

 

  • Di sini penulis memberanikan diri untuk menguji pengendalian Triton dengan lebih berhati-hati setelah terserempak dengan sebuah sedan buatan tempatan yang terperosok ke dalam parit akibat jalan licin. 
  • Walaupun dipandu pada kelajuan yang tidak diizinkan (baca: masih terkawal) dan adakalanya ekor Triton ini sedikit membuang, trak pikap ini mampu memberikan pengendalian yang meyakinkan. 
  • Namun barang harus diingat, memandu trak pikap bukanlah seperti pemanduan sedan biasa dan anda perlu faham had batasan yang mampu diberikan oleh sesebuah trak pikap tidak kira apa jua laluan yang diharungi.
  • Seusai keluar daripada jambatan Tamparuli yang tiada penghadang sisi itu, kami meneruskan perjalanan melalui jalan berbukit menuju ke Kundasang. 
     

 

  • Di sini, kami diberikan cabaran untuk menunggang ATV dengan berlatarbelakangkan pemandangan Kundasang yang cukup mengasyikkan, dan ketika perjalanan pulang, hujan sekali lagi menyapa kehadiran kami. 
  • Dari Kundasang ke Kota Kinabalu, para media diberikan peluang untuk menukar kenderaan dan perjalanan kali ini penulis mengambil kesempatan untuk menguji Triton VGT MT Premium dengan transmisi manual enam kelajuan. 
  • Mungkin ini adalah kali pertama penulis memandu sebuah trak pikap dengan transmisi manual, jadi fasa penukaran gear dirasakan tidak lancar dari gear dua kepada gear tiga. 
  • Namun, ketika sesi soal jawab media yang diadakan pada malam tersebut, isu yang dirasakan oleh penulis ini nampaknya dibangkitkan oleh beberapa orang mengenai persoalan nisbah gear yang dirasakan tidak begitu sesuai. 
  • Pihak Mitsubishi menerima maklum balas tersebut dan berjanji akan meneliti kembali isu ini. 
     

 

  • Pemanduan pulang menuruni bukit disambut dengan kehadiran kabus tebal yang menghalang jarak pemandangan, jadi krew media memandu dengan lebih berhati-hati sambil menguji fungsi lampu kabus depan dan belakang yang kebanyakannya disalahgunakan oleh warga Semenanjung. 
  • Ketika penulis beralih tempat ke belakang kerana tumpuan pemanduan yang semakin menurun, penulis dapati kadar keselesaan baris kedua yang ditawarkan oleh Triton ini cukup mengkagumkan. 
  • Ini kerana rekaan tempat duduk baris kedua tidak begitu menegak, memberikan keselesaan yang berpatutan untuk sebuah trak pikap, selain ruang kaki yang lebih luas. 
     

 

  • Satu lagi aspek yang cukup membuatkan penulis suka dengan trak pikap Triton ini ialah kehadiran corong baris kedua yang diletakkan di bahagian bumbung. 
  • Sekali imbas, ia tidaklah menyerupai corong pendingin hawa, namun rekaannya yang sangat genius itu mengalirkan udara sejuk ke ruang belakang dengan lebih berkesan, dan penumpang belakang tidak lagi merasai pengalaman lutut beku sebagaimana pada kenderaan yang lain. 
     


Secara keseluruhannya, sesi pemanduan media yang merangkumi jarak lebih daripada 200 km ini mampu membuktikan Triton sebagai sebuah trak pikap yang memenuhi empat elemen utama yang ditekankan oleh Mitsubishi, iaitu 4Sure Power, 4Sure Control, 4Sure Safety dan 4Sure Agility

Bagi penulis yang mula meminati trak pikap sejak menceburi bidang penulisan ini, penulis kira Triton bakal menjadi satu pilihan yang cukup ideal bagi mereka yang mahukan sebuah kuda kerja yang mudah dipercayai serta tahan lasak. 

Dengan rekaan yang serba kacak, tampan umpama Shah Rukh Khan, serta tawaran spesifikasi yang baik di dalam kelas segmennya, mungkin ini pula giliran Triton untuk memberikan kata-kata "malu apa bossku!" kepada pesaing-pesaingnya. 

Terima kasih kepada Mitsubishi Motors Malaysia kerana membawa kami jalan-jalan makan angin di dalam sebuah trak pikap yang sangat awesome ini!
 

Spesifikasi Mitsubishi Triton boleh dibaca menerusi pautan di bawah:

BACA: Mitsubishi Triton baharu dilancarkan di Malaysia

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Untuk setiap pembelian dua versi model Triton ini, pembeli akan menerima duit raya bernilai RM2,000…
Berita Domestik
Pembesaran bilik pameran terbaru itu merupakan bilik pameran terbesar Mitsubishi Motors di Kuching…
Berita Domestik
Datang eksklusif dalam warna White Diamond, Triton AT Premium ini membawakan kemasan bampar depan…