Reka Bentuk Luar: Dominan dan Mewah
Melihat kepada penampilan luaran Denza D9, jelas bahawa ia membawa identiti reka bentuk MPV premium yang moden. Gril hadapan yang besar dan rekaan lampu hadapan LED penuh menonjolkan kehadiran kenderaan ini di atas jalan.
Dari sisi pula, garisan badan yang kemas dengan kemasan krom memberikan bayangan elegan, manakala roda bersaiz 19 inci pula menyeimbangkan rupa keseluruhan tanpa nampak keterlaluan.
Ruang Dalaman: Mewah dan Praktikal
Masuk ke ruang kabin, Denza D9 menyajikan suasana mewah yang tidak keterlaluan, tetapi cukup untuk meyakinkan anda bahawa ini adalah kenderaan premium.
Reka bentuk papan pemuka diserlahkan dengan paparan infotainmen bersaiz 15.6 inci di tengah dan paparan kluster digital 10.25 inci di hadapan pemandu.
Konsol tengah pula tampil kemas dengan tombol gear berbentuk potongan berlian, satu sentuhan rekaan yang eksklusif.
Antara kelebihan paling ketara ialah bukaan pintu gelangsar elektrik yang sangat luas, mencecah 1080mm, memudahkan akses bukan sahaja untuk pengguna biasa, malah juga bagi mereka yang memerlukan bantuan seperti kerusi roda.
Tempat duduk pula dibalut dengan kulit Nappa, memberikan sentuhan premium yang bukan hanya sedap dipandang, malah amat selesa diduduki.
Barisan tempat duduk kedua hadir dengan kerusi kapten (captain seats) yang dilengkapi skrin kawalan sesentuh pada bahagian perehat tangan, di mana pengguna boleh melaraskan fungsi tempat duduk sehingga 10 tahap kedudukan, termasuk mod urutan.
Walaupun tiada skrin hiburan belakang, penumpang tetap dilayan dengan baik menerusi kawalan suhu individu, pencahayaan ambien, dan sistem audio berkualiti tinggi. Dari segi NVH (Noise, Vibration & Harshness) pula, kabin Denza D9 cukup senyap walaupun pada kelajuan tinggi, sesuatu yang sering dicari oleh penumpang kelas atasan.
Pemanduan: Lembut, Stabil dan Bertenaga
Sebagai pemandu, pengalaman pertama yang dirasai ialah kelembutan suspensi ketika melalui permukaan tidak rata. Namun, ini boleh diubah dengan mod pemanduan Sport yang mengaktifkan sistem DiSus-C Intelligent Damping Body Control, iaitu sistem penyerap hentak adaptif pintar yang menstabilkan kenderaan mengikut keadaan jalan dan gaya pemanduan.
Motor elektrik dwi-pacuan AWD ini menghasilkan kuasa sehingga 370kW (sekitar 496hp) dan kadar tork 686Nm, memberikan prestasi yang cukup bertenaga walaupun membawa 7 penumpang dewasa. Pecutan dari 0 ke 100 km/j boleh dicapai sekitar 6.9 saat, satu angka yang mengagumkan untuk MPV bersaiz besar seperti ini.
Bateri & Jarak Gerak: Keyakinan Sepanjang Perjalanan
Denza D9 AWD dilengkapi pek bateri 103.6kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 520km mengikut kitaran WLTP. Dalam ujian kami dari Kuala Lumpur ke Desaru melalui Melaka, perjalanan sejauh hampir 400km berjaya dilengkapkan tanpa keperluan untuk mengecas semula, walaupun pemanduan dilakukan secara agresif.
Untuk pengecasan semula, Denza D9 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 166kW, membolehkan ia dicas dari 30 peratus ke 80 peratus dalam hanya 30 minit.
Ini bermakna, untuk penggunaan harian mahupun perjalanan jauh, kebimbangan mengenai jarak gerak bukanlah satu isu utama.
Spesifikasi Utama Denza D9 AWD (Malaysia)
- Motor: Dual motor AWD
- Kuasa maksimum: 370kW (496hp)
- Tork maksimum: 686Nm
- Pecutan 0-100 km/j: 6.9 saat
- Bateri: 103.6kWh Blade Battery
- Jarak gerak (WLTP): 520km
- Pengecasan pantas: 166kW DC (30-80% dalam 30 minit)
- Tempat duduk: 7 (konfigurasi 2+2+3)
- Harga: RM259,000 (FWD) – RM309,000 (AWD)
Kesimpulan: Gabungan Gaya, Teknologi dan Nilai
Secara keseluruhan, Denza D9 bukan sekadar alternatif kepada MPV mewah sedia ada, ia adalah pesaing yang serius. Dengan kombinasi gaya kontemporari, ruang dalaman yang selesa, ciri teknologi pintar serta kuasa pemanduan yang mantap, ia menawarkan nilai yang sukar ditandingi dalam julat harganya.
Bagi mereka yang mencari MPV premium elektrik dengan bajet di bawah RM310,000, Denza D9 wajar dimasukkan dalam senarai pendek anda. Ia bukan sahaja memberi keselesaan dan gaya, tetapi juga keyakinan untuk masa depan mobiliti yang lebih bersih dan efisien.