Pandu Uji: Mazda6 Touring - wagon untuk golongan bapa mithali!

oleh Mohamad Hanif|
Tidak dapat dinafikan, populariti SUV kian meningkat masa kini sehingga mampu menenggelamkan kenderaan yang ditawarkan dalam bentuk badan hatchback, sedan dan wagon.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Sudah banyak SUV yang penulis uji sebelum ini, dan ada di antaranya menawarkan spesifikasi yang cukup bagus dan praktikaliti yang tidak terkalahkan.

Namun jauh di sudut hati, penulis tetap berpendapat ia adalah sebuah kenderaan yang tidak sesuai dengan jiwa sebagai seorang pemandu.
 

mazda6


Apa yang dekat dengan jiwa ini ialah sebuah sedan dengan saiz yang cukup makan untuk kegunaan seharian, dan paling penting jika ada rezeki lebih, sebuah wagon yang sangat bergaya.

Dalam pasaran Malaysia sendiri memang tidak banyak model station wagon/estate yang ditawarkan oleh pengeluar.

Satu tabik hormat harus diberikan kepada Mazda Malaysia kerana berani menawarkan model Mazda6 Touring tatkala jenama pesaingnya kekal dengan penawaran bentuk badan sedan dan ada yang terus mengugurkannya daripada pasaran.

Peluang keemasan untuk memandu uji model 'wira tunggal' ini tidak seharusnya dilepaskan, dan ini merupakan sebab kenapa Mazda6 Touring ini satu model yang sangat sesuai digunakan oleh golongan bapa mithali:

 

1. Rupa paras yang terlalu hensem di pasaran

mazda66


Jujur cakap (ke tulis?), selain daripada Volvo yang memang pandai menghasilkan model wagon moden yang cantik, Mazda juga memang handal dalam bab ini.

Kemas kini yang dibawakan pada tahun lepas terus menjadikan rupa paras Mazda6 Touring ini kacak dan segak walaupun dalam keadaan statik tidak bergerak.
 

ms


Manakan tidaknya, bahagian luaran wagon ini didatangkan dengan kemasan krom yang agak minima, dan banyak dikuasai oleh warna krom gelap terutama pada bahagian jeriji depan, diikuti rim aloi 19 inci berwarna hitam berkilat.

Tidak banyak perubahan ketara dibuat pada model ini, dan ia bukanlah satu perkara yang negatif pun.
 

mazda


Pandanglah dari sudut mana sekalipun, paling penting di depan mata anda ialah sebuah wagon yang bergaya, sporti, kacak dan premium.

Sesuai sangat jika golongan bapa mithali mahu mencari sebuah kereta keluarga sejati yang bukannya sebuah SUV.

 

2. Ruang kabin berorientasikan pemandu

mazda


Sama seperti mana-mana kereta sedan dan liftback Mazda, Mazda6 Touring juga menawarkan posisi pemanduan yang cukup ergonomik.

Disebabkan ia sebuah wagon yang tidak terlalu tinggi, penulis lebih gemar untuk duduk rapat ke lantai untuk mendapatkan posisi yang lebih selesa dan mudah untuk mencapai segala butang fungsi yang ingin ditekan.

Penggunaan balutan kulit merah pada tempat duduk juga memberikan pengalaman di dalam kabin yang lebih premium.
 

mazda


Walaupun skrin infohibur itu nampak macam ketinggalan beberapa tahun, ia bukanlah satu masalah besar kerana segala fungsi utama yang ditawarkan (termasuklah Apple CarPlay) beroperasi dengan baik dibantu dengan susunan menu yang ringkas.

Saiz skrin tengah lebar yang tidak terlalu tinggi itu turut menyumbang kepada medan penglihatan yang lebih luas.

Tidak banyak perbezaan yang boleh dirasakan memandangkan apa yang penulis rasakan adalah sama sahaja dengan Mazda6 sedan yang telah dipandu uji sebelum ini.

 

3. Tempat duduk baris kedua yang lebih mesra penumpang

mazda


Satu perbezaan yang besar antara Mazda6 sedan dan wagon sudah pasti dari segi dimensi garis bumbung yang panjang.

Pada penulis, perbezaan inilah yang menjadikan ruang kepala penumpang untuk model wagon dirasakan lebih luas berbanding versi sedan.

Duduk di belakang juga masih lagi selesa, cuma penumpang perlu bersabar sedikit kerana ruang kaki masih lagi sama macam model sedan, agak terbatas.
 

mazda


Mungkin ia bukan satu kekurangan untuk penumpang kanak-kanak, atau orang dewasa bersaiz kanak-kanak.

Bukaan tingkap juga lebih besar, memang sesuai sangat untuk kanak-kanak menikmati pandangan luar semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

 

4. Enjin 2.5 liter itu perlukan urutan batin

mazda


Secara kasarnya, penulis berpendapat dinamik pemanduan Mazda6 Touring ini adalah sama sahaja dengan sedan Mazda6 yang telah kami pandu uji sebelum ini.

Selain posisi pemanduan yang ergonomik dan selesa, pulasan stereng juga cukup sifatnya untuk memastikan arah yang dituju adalah betul dan tidak pula rasa palsu, aspek brek yang boleh dipercayai, dan talaan suspensi yang lebih selesa terutama untuk pemanduan dalam bandar dan perjalanan jarak jauh.
 

mz


Kadar kebisingan, kekasaran dan gegaran (NVH) juga berada di tahap minima, menjadikan ruang kabin rasa lebih senyap tatkala kelajuan kenderaan dimalarkan mengikut had laju kebangsaan.

Berdasarkan pengalaman, penulis tidak berdepan dengan masalah besar untuk mengerahkan tenaga yang terhasil daripada enjin 2.5 liter Skyactiv-G itu, kecuali semasa memecut saat lampu isyarat bertukar hijau.

Disebabkan Mazda6 Touring ini lebih berat 62 kg berbanding model sedan, pecutan permulaan itu dirasakan kurang bertenaga, walaupun selepas menggunakan mod manual.
 

mazda


Selepas wagon ini beransur-ansur mencapai kelajuan pemanduan yang diinginkan di atas lebuh raya, enjin berkuasa 192 hp dan 258 Nm itu sedia untuk dikerahkan bila-bila mengikut arahan pemandu.

Pada kelajuan malar mengikut undang-undang, Mazda6 Touring nyata menawarkan pemanduan yang selesa, senyap dan stabil walaupun ada kalanya perlu bertembung dengan geng pilot darat yang sedang memotong dan berlumba mengejar trip.

Penulis memang tidak berniat untuk memandu wagon ini melebihi had laju yang telah ditetapkan, melihatkan kepada sifatnya sebagai sebuah kereta keluarga yang cantik dan selesa.

Persis sebuah arca seni yang bernilai, ia perlu dinikmati dengan sebaiknya, dan perlu diperlihatkan dengan sewajarnya kepada golongan peminat wagon di luar sana.

 

5. Kereta praktikal yang bukannya sebuah SUV

mazda


Secara standard, Mazda6 Touring menawarkan ruang kargo sebesar 522 liter, jauh lebih besar berbanding ruang kargo sedan Mazda6.

Perlukan ruang yang lebih besar? Baringkan saja tempat duduk baris kedua, dan anda akan mendapat ruang kargo sehingga 1,632 liter!

Tiada masalah untuk membawa muatan beg balik kampung milik ahli keluarga sepanjang tempoh musim cuti sekolah.
 

mazda


Anda tidak perlu untuk mengikut trend pemilikan SUV masa kini kerana Mazda6 Touring ini sebenarnya menawarkan praktikaliti yang hampir serupa dalam pakej pemanduan 'Jinba Ittai' yang lebih menyeronokkan.

Paling penting, ia adalah sebuah wagon!

Jadi, sekarang merupakan masa yang tepat untuk anda (dan penulis) untuk memiliki sebuah wagon yang sebenar sebelum spesies kenderaan berbumbung panjang ini pupus ditelan zaman.
 

Spesifikasi ringkas Mazda6 Touring (RM230,848)

mz


Enjin empat silinder sebaris Skyactiv-G 2.5 liter
192 hp @ 5,700 rpm, 258 Nm @ 3,250 rpm
Transmisi automatik enam nisbah kelajuan
Sistem pacuan roda depan
Rim 19 inci, tayar 225/45R19
Suspensi topang MacPherson/Multilink
Kapasiti kargo 522 liter-1,632 liter

Berita Berkenaan

Kereta
Setelah empat tahun berlalu, kami di Careta telah meminjam sebuah Proton X70 varian 1.8 TGDI…
Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…