Pandu Uji: Mazda6 2.0 liter dengan ciri G-Vectoring Control (GVC)

oleh Mohamad Hanif|
Apa jua perkara yang kita lakukan seharian, semuanya memang berkait rapat dengan tenaga graviti ataupun G-force, seperti duduk, berdiri, menaiki lif ataupun tangga, menolak kereta yang rosak di tepi jalan ataupun sekadar baring di atas sofa menunggu waktu punch out kerja.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sukar untuk diterangkan menerusi formula fizik, memandangkan penulis sendiri tidak begitu gemar subjek ini di zaman sekolah. 

Jadi, sebagai seorang yang ingin kekal bertenaga sepanjang hari, sudah tentu penulis mahukan sebuah mod pengangkutan yang menyenangkan dan tidak memenatkan badan, apatah lagi apabila mengharungi keadaan trafik yang serba serbi sesak di sana sini. 

Untuk membuktikan dan membezakan bagaimana G-force ini beraksi dalam pemanduan seharian, penulis telah diberikan peluang selama tiga hari untuk menguji Mazda 6 2.0 liter facelift yang telah dilengkapi dengan ciri G-Vectoring Control (GVC). 

Apa itu GVC?

 

G-Vectoring Control (GVC) ini tidak lain merupakan satu lagi inovasi daripada Mazda untuk mengawal dan mengurangkan kadar efek G-force yang diterangkan sebentar tadi, terutama ketika pemanduan kepada pemandu itu sendiri. 

Sistem ini mengesan perubahan input dan tindak balas yang dilakukan terhadap sudut stereng, dan beban yang diletakkan kepada tayar hadapan. 
 


Berdasarkan perubahan input bacaan tadi, sistem komputer seterusnya akan menghantar 'arahan' kepada enjin untuk melaraskan kembali kuasa yang diedarkan, di samping mengalihkan beban yang terhasil pada roda hadapan tadi kepada roda belakang. 

Ini memberikan cengkaman yang lebih kepada roda, dan seterusnya kereta membelok dengan sempurna dan stabil. 

Benar, perubahan ini sememangnya tampak kecil dan pada percubaan pertama pemanduan, penulis sendiri gagal mengesan perbezaan di antara model terdahulu dengan model yang dilengkapi GVC ini.

Namun, setelah beberapa ketika, pemanduan dirasakan lebih relaks dan tenang tanpa perlu melakukan perubahan yang ketara terhadap sudut putaran stereng, terutama ketika di dalam bandar ataupun sekali sekala melayan jalan dalam yang berliku untuk mengelakkan tol. 
 


Berdasarkan pendapat daripada seorang kawan yang sudah terbiasa dengan cara pemanduan penulis, beliau mengakui kurang pergerakan badan dirasai walaupun ketika menyelusuri jalan yang biasa dilalui seharian. 

Ketika berhenti mengejut, sistem GVC yang diaktifkan tadi memberi kesan G-force yang kurang terhadap badan penumpang malah beliau tidak terjaga sekalipun akibat perbuatan penulis mengelak daripada segelintir golongan pemilik hatchback yang enggan memberikan signal ketika menukar laluan. 
 


Menariknya, tidak seperti pengeluar lain yang cuba meletakkan sesuatu ciri baharu pada varian premium sahaja, Mazda menawarkannya untuk kesemua varian Mazda 6 termasuklah model sedan 2.5 liter, model Touring dan juga diesel 2.2 liter. 

Sebagaimana yang disebut di awal artikel, Mazda 6 ini merupakan varian 2.0 liter yang dikuasakan enjin SKYACTIV-G bersesaran 1,998 cc yang menjana kuasa 162 hp dan daya kilas 213 Nm, sebelum kuasa itu disalurkan kepada roda hadapan menerusi transmisi SKYACTIV DRIVE dengan enam nisbah kelajuan. 

Atas kertas, angka ini dilihat mampu mengalahkan pesaing terdekat Honda Accord 2.0 liter (153 hp/190 Nm) serta bersaing rapat dengan Toyota Camry 2.0 liter (165 hp/199 Nm). 

Malah menurut Mazda, enjin 2.0 liter ini mempunyai kadar penggunaan bahan api serendah 5.7 liter/100 km (kiraan NDEC), membolehkan ia mampu melepasi angka 700 km dengan mudah untuk setangki petrol penuh 62 liter. 
 


Secara peribadi, penulis tidak mempunyai masalah dengan sedan segmen D ini walaupun enjin tersebut ada kalanya sedikit meraung ketika dikerah secara kasar untuk memotong kenderaan di laluan kanan, namun setelah ia meraih kembali momentum yang diperlukan, 'suara' enjin tadi kembali senyap. 

Walaupun Mazda 6 ini sememangnya selesa di lebuhraya dengan tetapan suspensi McPherson di hadapan dan tetapan multi-link di belakang, namun gandingan tersebut nampaknya tidak menjadi di kawasan yang berlopak kecil dan berbonggol, di mana ia sedikit kasar dan tidak menyerap hentakan yang terhasil dengan sempurna. 
 


Memasuki ruang kabin, kerusi balutan kulit dengan 10 cara tetapan elektronik dan fungsi memori menyambut kehadiran pemandu, manakala penumpang belakang pula disajikan dengan ruang kaki yang luas, serta tempat perehat tangan dan slot USB terbina dalam!

Penumpang belakang nampaknya tidak perlu berebut dengan pemandu sekiranya peranti pintar jenama buah anda kehabisan tenaga di pertengahan hari.

Bahagian dalamannya juga cukup mengkagumkan, dari segi pemilihan material lembut yang digunakan, sehinggalah kepada kemasan akhir yang ditawarkan, sehinggakan penulis merasakan ia sebenarnya mampu menyaingi sedan-sedan mewah yang lain. 

Rekaan dan susun atur peralatan juga nampak kemas dan tidak terlalu banyak butang mengalahkan pusat kawalan pelancaran kapal angkasa lepas. 
 


Sistem hiburan MZD Connect bersaiz 8 inci ini terletak kemas dan memberikan paparan yang jelas tanpa gangguan silau yang keterlaluan disebabkan kedudukan perletakannya yang tegak dan tidak mengikut bentuk papan pemuka. 

Untuk kemudahan pemandu menukar beberapa tetapan, Mazda turut menghadirkan fungsi tombol pada konsol tengah membolehkan penulis menukar folder lagu yang digemari tanpa perlu mencapai paparan skrin sentuh tersebut untuk menikmati kualiti bunyi yang mengkagumkan daripada enam buah speaker. 

Dari segi keselamatan, Mazda 6 2.0 liter ini hadir dengan kelengkapan seperti enam buah beg udara, gandingan ABS, EBD dan kawalan kestabilan kenderaan dinamik (DSC), bantuan brek kecemasan (EBA), kawalan cengkaman (TCS), Emergency Stop Signal (ESS), bantuan mula mendaki serta cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak. 
 


Untuk sebuah sedan di dalam segmen D, Mazda meletakkan harga jualannya sedikit premium berbanding pesaing sekelasnya, iaitu RM165,215.60 atas jalan tanpa insurans termasuk cukai SST. 

Mungkin pada sesetengah orang, ia terlalu mahal, namun bagi penulis yang lebih menggemarkan aspek pengendalian yang memudahkan perjalanan di kemudian hari, ia merupakan suatu pelaburan yang amat berbaloi.

Satu sahaja penulis ingin katakan, "Tak kenal maka tak cinta!"

 

Spesifikasi Mazda 6 Sedan 2.0 Liter


Enjin: SKYACTIV-G empat silinder sebaris
Sesaran: 1,998 cc
Kuasa: 162 hp/213 Nm
Kapasiti tangki: 62 liter
Suspensi: McPherson/Multilink
Tayar/Rim: 225/55 R17, aloi
Keselamatan: 6 beg udara SRS, ABS, EBD, Dynamic Stability Control (DSC), Emergency Brake Assist (EBA), Traction Control (TCS), Emergency Stop Signal (ESS), bantuan mula mendaki (HLA), cagak ISOFIX

Harga: RM165,215.60 atas jalan tanpa insurans (termasuk SST)

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Ya, tekaan anda sama dengan apa yang penulis fikirkan - dua musuh ketat datang dari pengeluar Jepun…
Berita Global
Satu tempoh jangka hayat yang agak panjang untuk sesebuah generasi kereta moden. Setelah…
Pelancaran
Model edisi khas ini diperkenalkan sebagai tanda peringatan 20 tahun sejak model generasi pertama…